Halaman

18 July 2011

Pasukan TSG dicabar raih kejayaan lebih besar dalam LTdL 2012

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dicabar supaya meraih kejayaan lebih besar dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, di mana Terengganu telah diberi penghormatan sebagai destinasi terakhir perlumbaan bertaraf antarabangsa itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata pasukan itu yang ditubuhkan pada tahun lalu mula menjadi perhatian negeri-negeri lain kerana ia mampu mengukir nama dalam masa singkat.

“Jadi saya rasa amat sesuai jika pasukan TSG meraih kejayaan lebih besar dalam LTdL kali ini bagi mengharumkan lagi nama pasukan dan negeri Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kemenangan kepada pelumba TSG sempena kejohanan LTdL 2011, di sebuah restoran di Pasir Panjang, malam tadi.

Pada penyertaan sulung di kejohanan LTdL 2011 pasukan TSG meraih tempat kelima keseluruhan yang melibatkan pasukan antarabangsadan johan bagi pasukan negara ini.
Sebelum ini, perlumbaan berprestij yang disertai pelumba seluruh dunia itu ditamatkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, mengumumkan Terengganu dipilih sebagai tuan rumah destinasi terakhir bagi memberi penghormatan kepada negeri ini atas usaha dan pelaburannya dalam menghasilkan ramai pelumba negara melalui acara trek dan lebuh raya.

YB Haji Rozi berharap pasukan TSG akan berlatih dengan lebih gigih agar mereka mampu mencapai banyak kejayaan di masa depan, termasuk kejohanan LTdL.

“Pemain perlu meneruskan latihan secara konsisten sepanjang bulan puasa ini kerana ia bukan halangan untuk mereka berbuat demikian,” tambahnya.

Cabaran LTdL edisi ke-17 melibatkan perlumbaan sejauh 1,414.8km bermula dari Putrajaya pada 24 Februari hingga 4 Mac di Kuala Terengganu yang juga tuan rumah tiga peringkat bagi peringkat ke-8, 9 dan terakhir, 10.

Sebanyak 22 pasukan profesional termasuk tiga pasukan tempatan yang juga skuad kebangsaan termasuk TSG dan Le Tour Cycling Team bakal membawa cabaran negara dalam LTdL yang bertemakan `Ready For The World' musim depan itu.

MBKT sedia 3,137 tapak niaga Bazar Ramadan

Oleh: Aida Abd Rahman


Foto: wan hassan

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan 3,137 tapak niaga di Bazar Ramadan sekitar daerah Kuala Terengganu bagi membolehkan peniaga menjual pelbagai menu dan juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

Permit bagi tujuan itu mula ditawarkan kepada orang ramai sejak 5 Julai lalu bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di 26 lokasi seluruh kawasan bandar dan sekitar daerah Kuala Terengganu.

Setiausaha MBKT, Haji Samiun Salleh, berkata pihaknya menetapkan caj permit bagi setiap petak niaga antara RM70 hingga RM150 di mana ia bergantung kepada lokasinya dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi peniaga.

Berdasarkan syarat am permohonan permit itu, tambahan bayaran RM30 perlu dibuat bagi peniaga air tebu, air kelapa, ayam bakar, ayam pusing dan ikan bakar yang menggunakan arang .

“Setiap tapak bazar diselia oleh penganjur dan persatuan masing-masing bagi memastikan sebarang proses dan urusan perniagaan berjalan lancar di bawah satu bumbung,” katanya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Lokasi Bazar Ramadan 2011 termasuk di Pasar Kedai Payang (350 petak niaga), Pasar Batu Enam (225) Pasar Chabang Tiga (280),Pasar Manir (280 ) dan Dataran Syahbandar I, II dan III, masing-masing menyediakan 208 petak niaga.

Dataran Syahbandar (depan Bangunan Mara) (229 petak niaga), tapak Pasar Malam Gong Badak (197), Pantai Batu Buruk (160), Pengadang Baru (160), Jalan Budiman (96),tapak Pasar Malam Wakaf Tengah (80), Taman Permin Jaya (70), Hock Kee Seng Gong Badak dan Masjid Tengku Tengah Zaharah (60), Dataran Syahbandar (depan Tabung Haji)(56), Pasar Bukit Besar (45 ) serta depan Ibai Klinik (40).

Lain-lain lokasi ialah Jalan Batas Baru (B) (30 petak), Pasar Teluk Ketapang (25) dan 20 petak niaga masing-masing di Jalan Batas Baru (A), Pasar Kedai Buluh dan Kampung Baru Seberang Takir serta 10 petak niaga di depan Bazar Warisan.

Selain itu, satu tapak karnival dibuka kepada orang ramai di Dataran Syahbandar sepanjang Ramadan nanti.



Kerajaan tangani isu pindah penduduk - Dato’ Che Mat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kira-kira 100 keluarga dari Pantai Pandak, Chendering yang terlibat dengan perpindahan ke kawasan perumahan Tok Adis, Kuala Ibai diminta supaya bersabar dan tidak mudah menerima dakyah pihak pembangkang yang sengaja mengambil kesempatan isu berkenaan untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata kerajaan negeri sudah melaksanakan pelbagai usaha dan pendekatan bagi memastikan projek pembinaan rumah flat berkenaan berjalan mengikut jadual.

Bagaimanapun, katanya, faktor tapak tanah dan masalah teknikal yang berkaitan menyebabkan projek itu tertangguh. Pun begitu,kini ia ini berjalan dan dijangka dapat disiapkan mengikut perancangan.

“Saya kesal dengan tindakan segelintir penduduk yang terlalu gemar menerima hasutan dan dakyah yang tidak betul daripada pihak lain terutama pembangkang menyebabkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada kerajaan.

“Kerajaan negeri tetap berpegang kepada janji dan segala yang dirancang untuk kemudahaan dan manfaat rakyat pastinya akan dilaksanakan,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Beliau berkata, kira-kira 100 keluarga dari Pantai Pandak yang terlibat dengan proses perpindahan sejak tiga tahun lalu sudah diberi tempat tinggal secara percuma di Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Chendering.

Malah, katanya, mereka yang tidak menetap di flat berkenaan dan menyewa di sekitar kawasan itu pula diberi subsidi tambahan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan beban mereka yang majoritinya bekerja nelayan dan bekerja kampung.

“Kita membantu dari pelbagai aspek dan tidak akan sesekali membebankan penduduk. Cuma, kita minta penduduk terlibat faham dan bersabar kerana satu masa nanti mereka akan berpeluang tinggal di penempatan yang lebih selesa,” katanya.




SPR Terengganu siap sedia hadapi pilihan raya

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan



Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri Terengganu sudah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.



Pengarah SPR Negeri, Haji Mohd Noor Haji Daud berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan awal bagi membolehkan proses pengundian di seluruh negeri ini dilakukan apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti pusat-pusat mengundi yang akan digunakan di seluruh negeri bagi menghadapi pilihan raya tersebut yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

“SPR negeri bercadang untuk menyediakan 315 pusat mengundi di seluruh negeri Terengganu bagi membolehkan mereka yang layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU13,” katanya dalam satu pertemuan dengan Teganukita di pejabatnya semalam.

Seramai 585,366 orang penduduk di negeri ini yang telah mendaftar sebagai pemilih, layak mengundi pada PRU13 akan datang.

Beliau berkata, pada PRU12 SPR Negeri menyediakan hampir 300 pusat mengundi bagi tujuan yang sama.

Haji Mohd Noor berkata, pihaknya mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah di Wisma Darul Iman, pada 9 Jun lalu bagi memaklumkan mengenai pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan petugas-petugas pilihan raya bagi menghadapi PRU13.

Semua Pegawai Daerah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya manakala pegawai kerajaan, penjawat awam dan mereka yang terpilih dilantik sebagai petugas bagi menguruskan perjalanan pilihan raya akan datang.

“Pihak kami sedang dalam proses untuk mengadakan kursus kepada semua petugas pilihan raya, dalam masa terdekat ini bagi membolehkan mereka mendapatkan gambaran mengenai proses tersebut,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, SPR Terengganu mendaftar 8,399 pengundi baru manakala 904 orang menukar alamat tempat mengundi.

Haji Mohd Noor berkata, proses pendaftaran pengundi baru sentiasa dilakukan dan warga negara yang genap berusia 21 tahun boleh mendaftar sebagai pemilih sama ada di pejabat SPR atau melalui Penolong Pendaftar yang dilantik SPR di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Orang ramai perlu datang sendiri bagi mendaftar sebagai pemilih dan membawa kad pengenalam masing-masing bagi tujuan tersebut,” katanya.


MB rasmi Pasar Kedai Buloh.

Oleh: Esah Abdullah



Pembinaan Pasar Kedai Buloh yang berharga RM9.3 juta akhirnya berjaya disiapkan dan perasmian pembukaannya dijangka dilakukan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 28 Julai depan.



Perasmian pasar tersebut akan dilakukan serentak dengan dua lagi pasar yang baru siap iaitu Pasar Kepong dan Pasar Wakaf Tengah.

Pasar Kedai Buloh mula dibina pada 25 Jun 2007 di kawasan seluas 1.5 hektar bagi menggantikan pasar lama yang terletak di kiri kanan jalan utama di kawasan berhampiran menerima rungutan orang ramai kerana menganggu kelancaran kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Pelaksanaan projek yang dijadualkan siap setahun kemudian itu (17 Januari 2008) tertunda sekian lama disebabkan beberapa masalah teknikal dan setelah menerima peruntukan tambahan, ia siap sepenuhnya tahun ini.



Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelengaraan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Zulkifli Hassan berkata, bajet asal kira-kira RM8 juta kemudian ditambah menjadikan RM9.3 juta untuk menyiapkkan pasar itu.

Katanya, pasar ini mempunyai 16 unit kedai makan, gerai kering, buah-buahan dan sayuran (128) dan gerai basah (44) serta kedai barangan kering (18).

“Seramai 80 peniaga di pasar lama secara automatik akan memiliki ruang niaga yang terdapat di pasar berkenaan manakala selebihnya akan dibuka kepada peniaga baru,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, proses temuduga peniaga baru sudah pun selesai minggu lalu dan keputusan pemohon yang berjaya dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

Selain itu katanya, pihak kontraktor juga akan membuat penyerahan projek kepada pihak MBKT dalam masa terdekat iaitu sebelum majlis perasmian berlangsung.

“Dengan siapnya pasar baru ini, memberi keselesaan kepada orang ramai yang berkunjung dan berbelanja di mana peniaga juga dapat berurusan dengan pelanggan dalam persekitaran yang bersih dan tersusun,” katanya.





17 July 2011

Gudang Bukit Kor pusat edar produk ke seluruh T’Shoppe

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menjadikan pusat pengumpulan dan pengedaran produk di Bukit Kor, Marang sebagai gudang utama yang membekalkan barang ke seluruh rangkaian T’Shoppe.

Langkah itu bertujuan meluaskan pemasaran produk keluaran usahawan di negeri ini secara seragam dan lancar.



Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik, berkata Cakna Sdn Bhd telah diamanah dan diberikan tanggungjawab bagi mengendalikan pusat pengumpulan dan pengedaran itu yang baru beroperasi sejak tiga hari lalu itu.
“Usaha itu perlu bagi mengukuhkan kedai serbaneka, T’Shoppe sebagai pusat jualan pelbagai produk tempatan sama ada jenamanya sudah dikenali di pasaran atau produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dihasilkan oleh pengusaha kampung,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini .

Beliau berkata, menjelang 2020 YPU menyasarkan 70 peratus produk IKS akan dapat dipasarkan menerusi rangkaian T’ Shoppe dan usaha ke arah itu sedang giat dilaksanakan.

Sehingga kini, sebanyak 18 buah T’Shoppe melibatkan 14 di seluruh Terengganu dan empat lagi di luar Terengganu yang beroperasi sejak dua tahun lalu.

Antara rangkaian T’Shoppe di Terengganu termasuk di Kuala Berang, Dataran Shahbandar, Kelulut, Marang; Geliga, Kemaman; Paka, Dungun dan Gong Kemuntong, Besut. Manakala dua di Kedah dan satu masing-masing di Ampang dan Melaka.

Dalam pada itu, T’Shoppe perlu mensasarkan jualan RM2,500 hingga RM3,000 sehari bagi memastikan kedai serbaneka itu mampu meraih keuntungan sekaligus dapat menampung pusingan modal pembelian produk dan bayaran sewa premis setiap bulan.

Sehingga kini, dua T’Shoppe yang mampu meraih jualan membanggakan adalah di Kuala Berang dan Kemaman.

Selain itu, Haji Azmi berkata, kos sewa premis yang terlalu tinggi menyebabkan T’Shoppe Gong Kapas, Kuala Terengganu terpaksa dipindahkan ke bangunan kedai yang baru di Pengadang Baru, sejak awal bulan ini.

“Jika terus kekal di premis sedia ada, T'Shoppe itu pastinya gagal meraih keuntungan dan mencapai sasaran yang dikehendaki sebagaimana rangkaian kedai yang lain di seluruh negara,” katanya.




585,366 penduduk Terengganu layak mengundi

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Seramai 585,366 orang penduduk di negeri ini yang telah mendaftar sebagai pemilih, layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri, Haji Mohd Noor Haji Daud, berkata berdasarkan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Mac 2011, seramai 585,366 orang atau 91.4 peratus daripada keseluruhan 640,667 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

“Hanya 55,301 atau 8.6 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya dalam wawancara khas dengan Teganukita di pejabat SPR Negeri, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan SPR penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

Katanya, ini bermakna bilangan penduduk di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah yang terendah di negara ini, berbanding negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Putera Jaya (49.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (35.8 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (32.9 peratus), Sarawak (31.3 peratus) dan Selangor (29.1 peratus).

Mengikut statistik SPR, kira-kira 3.84 juta orang penduduk di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih atau 24.2 peratus daripada keseluruhan 15.87 juta rakyat yang layak.

Sehubungan itu, Haji Mohd Noor meminta penduduk di negeri ini yang berusia 21 tahun dan ke atas tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih, supaya berbuat demikian secepat mungkin.

“Pihak kami menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga negara menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih, termasuk memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Musim.

“Melalui sistem ini, orang ramai boleh mendaftar sebagai pemilih sama ada di pejabat SPR atau semua pejabat pos di seluruh negeri bila-bila masa pada waktu pejabat,” ujar beliau.

Selain itu, SPR juga turut melantik 210 orang Penolong Pendaftar yang terdiri daripada wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti-parti politik, persatuan pesara kerajaan dan tentera serta agensi-agendi kerajaan terpilih di seluruh negeri Terengganu bagi membantu mendaftar orang ramai sebagai pemilih.

Pada masa yang sama, katanya, SPR juga turut mengadakan pendaftaran pemilih di tempat-tempat tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai, termasuk ketika program-program besar anjuran NGO mahu pun badan politik, bergantung kepada permintaan.

“Dengan adanya kemudahan yang sedemikian rupa untuk mendaftar sebagai pemilih, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu mengelak daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih,” katanya.

Pasar baru untuk kemudahan masyarakat setempat

Oleh; Esah Abdullah



Pasar Kepong dan Pasar Wakaf Tengah yang baru siap sepenuhnya bakal beroperasi tidak lama lagi bagi kemudahan masyarakat setempat.

Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Zulkifli Hassan berkata, Pasar Kepong siap Mac lalu manakala Pasar Wakaf Tengah pada Oktober tahun lalu.

“Pasar Kepong yang berharga RM383,000 mempunyai tiga kedai pelbagai perniagaan dan masing-masing enam gerai basah dan gerai kering melibatan sayur-sayuran, ikan, daging atau barangan kering lain.



“Pihak MBKT mengambil inisiatif mewujudkan ruang niaga ini atas dasar permintaan masyarakat setempat melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, Pasar Wakaf Tengah pula berharga RM430,000 mempunyai enam kedai pelbagai dan masing-masing lapan kedai basah serta kedai kering merupakan pasar lama yang dibaikpulih untuk menyediakan ruang yang selesa dan bersih.

Di kawasan pasar ini katanya, MBKT turut menyediakan kemudahan lain termasuk tiga tandas awam beserta bilik mandi dengan peruntukan tambahan berjumlah RM112,000.

“Mengambil kira keselesaan semua pihak termasuk peniaga dan pengunjung ke pasar-pasar tani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa menambah serta mewujudkan kawasan baru serta membaik pulih pasar sedia ada,” katanya.




Tiga masjid baru di DUN Batu Burok siap 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga masjid baru dengan kos peruntukan sebanyak RM3 juta hingga RM4 juta setiap buah untuk kegunaan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok dijangka siap pada 2013.



Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Dato’ Che Mat Jusoh berkata, pembinaan masjid baru itu melibatkan tiga kawasan iaitu Kampung Kubang Ikan, Kampung Gong Tok Nasek dan Permint Jaya, Chendering.

Katanya, pihak yang terlibat kini sedang menyelesaikan kerja peringkat awal terutama melibatkan reka bentuk dan tapak projek sebelum pembinaan dilaksanakan segera tahun ini.

“Pembinaan Masjid Permint Jaya umpamanya, sedikit terjejas berikutan penduduk di kawasan itu yang berhasrat mengekalkan pembinaan masjid baru di tapak asal surau yang sedia ada.

“Saya akan membawa hasrat penduduk itu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berikutan beliau (Menteri Besar)sudah meluluskan pembinaannya di tapak baru berhampiran tapak surau lama itu,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, apabila segala perundingan dan perancangan berjalan lancar, kerajaan negeri akan menyegerakan projek pembinaan masjid berkenaan supaya tempat ibadat untuk kemudahan umat Islam itu dapat siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Dalam pada itu, Masjid Raja Chendering yang gagal siap pada hujung tahun lalu, dijangka dapat digunakan pada Ramadan ini bagi kemudahan penduduk sekitar melakukan ibadat terawih.

Masjid bernilai kira-kira RM9.2 juta yang gagal siap mengikut tender itu turut mendapat perhatian Menteri Besar yang meninjau projek berkenaan pada 14 Mei lalu.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengarahkan supaya kontraktor terlibat menyiapkan segera pembinaan masjid itu supaya ia dapat digunakan sepenuhnya menjelang bulan puasa ini.



Teganukita 43



Dapatkan naskah percuma TeganuKita dari Unit Komunikasi Negeri, Jalan Pejabat, 20200 Kuala Terengganu.