Seramai 585,366 orang penduduk di negeri ini yang telah mendaftar sebagai pemilih, layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri, Haji Mohd Noor Haji Daud, berkata berdasarkan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Mac 2011, seramai 585,366 orang atau 91.4 peratus daripada keseluruhan 640,667 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.
“Hanya 55,301 atau 8.6 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya dalam wawancara khas dengan Teganukita di pejabat SPR Negeri, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan perangkaan SPR penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.
Katanya, ini bermakna bilangan penduduk di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah yang terendah di negara ini, berbanding negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Putera Jaya (49.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (35.8 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (32.9 peratus), Sarawak (31.3 peratus) dan Selangor (29.1 peratus).
Mengikut statistik SPR, kira-kira 3.84 juta orang penduduk di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih atau 24.2 peratus daripada keseluruhan 15.87 juta rakyat yang layak.
Sehubungan itu, Haji Mohd Noor meminta penduduk di negeri ini yang berusia 21 tahun dan ke atas tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih, supaya berbuat demikian secepat mungkin.
“Pihak kami menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga negara menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih, termasuk memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Musim.
“Melalui sistem ini, orang ramai boleh mendaftar sebagai pemilih sama ada di pejabat SPR atau semua pejabat pos di seluruh negeri bila-bila masa pada waktu pejabat,” ujar beliau.
Selain itu, SPR juga turut melantik 210 orang Penolong Pendaftar yang terdiri daripada wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti-parti politik, persatuan pesara kerajaan dan tentera serta agensi-agendi kerajaan terpilih di seluruh negeri Terengganu bagi membantu mendaftar orang ramai sebagai pemilih.
Pada masa yang sama, katanya, SPR juga turut mengadakan pendaftaran pemilih di tempat-tempat tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai, termasuk ketika program-program besar anjuran NGO mahu pun badan politik, bergantung kepada permintaan.
“Dengan adanya kemudahan yang sedemikian rupa untuk mendaftar sebagai pemilih, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu mengelak daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih,” katanya.