Halaman

17 July 2011

Kedai Menu Rakyat 1Malaysia tawar harga murah

Oleh; Esah Abdullah

Sarapan pagi berupa roti canai dan teh tarik berharga RM2 manakala makan tengahari pula nasi putih, ayam goreng, sayur dan teh O ais boleh didapati dengan harga RM4 sahaja.

Orang ramai yang ingin menikmati harga murah berkenaan boleh mendapatkannya di premis Menu Rakyat 1Malaysia yang ada disetiap daerah di seluruh negeri.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Encik Ghazali@Suhaimi Muhammad berkata, terdapat 124 premis makanan di bawah Program Menu Rakyat 1Malaysia di negeri ini dan orang ramai boleh nikmati hidangan pada harga tersebut.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 40 premis terletak di Kuala Terengganu diikuti Hulu Terengganu (26), Marang (20), Dungun (17), Kemaman (8), Setiu (7) dan Besut (6).

“Setiap kedai makan Menu Rakyat boleh dikenali dengan pemasangan kain rentang (bunting) di hadapan premis berkenaan sebagai pengenalan tujuan menarik pelangan,” katanya.

Katanya, program julung kali diadakan ini bertujuan meringankan beban masyarakat, mengatur perbelanjaan harian mereka.

“Program ini terbuka kepada semua pengusaha yang berminat dan premis mereka akan disenaraikan dalam laman web PPDNKK menerusi Portal 1Malaysia Pengguna Bijak untuk memudahkan orang ramai berkunjung ke kedai berkenaan,” katanya.