Halaman

22 July 2011

Parti komponen BN perlu muhasabah diri

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengajak parti komponen BN supaya muhasabah diri dan mengetepikan kepentingan diri dan pelbagai aspek berbau perkauman, bagi memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Beliau berkata, amat penting bagi BN memastikan kemenangan mereka pada PRU 13 bukan saja di Terengganu, tetapi seluruh negara agar mereka tidak dihina seperti yang berlaku pada tahun 1969.

“Pada tahun 1969 kita menjadi macam ‘kucing kurap’ selepas kalah banyak kerusi kepada parti pembangkang, menyebabkan masyarakat negara ini tidak hormat lagi kepada kerajaan.



“Keadaan politik yang tidak stabil pada masa itu akibat kedudukan parti Perikatan yang tidak mendapat sokongan padu rakyat telah menyebabkan berlaku huru hara dalam negara,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Terengganu 2011 di Kediaman Seri Iman malam ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan BN Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua Umno bahagian, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua parti komponen BN negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar menyeru parti komponen supaya berganding bahu menggerakkan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan BN di Terengganu.

“Kita mahu BN menang di Terengganu bukan saja dengan majoriti dua pertiga, tetapi kita dapat merampas semula beberapa kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU 12,” ujar beliau.

Beliau meminta komponen BN memberi tumpuan kepada program yang boleh menarik rakyat menyokong kerajaan untuk dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat ini.



“Kita mahu parti komponen bergerak mulai sekarang dan kita tidak mahu budaya selesa kerana kemenangan dalam pilihan raya lepas masih ada di kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti komponen BN,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengajak pemimpin Umno dan BN supaya melupakan segala perbalahan antara mereka dan memberi tumpuan kepada usaha memperkemaskan jentera pilihan raya BN.