Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Terengganu bukan saja memberi tumpuan kepada saudara kita (baru) sebaliknya turut membantu saudara seagama untuk memantapkan kefahaman terhadap agama Islam.
Naib Pengerusi 1Perkim Terengganu merangkap Pegawai Khas Agama pejabat Menteri Besar, Dato’ Haji Alwi Mohamad berkata, pelbagai program dilaksanakan dalam usaha memberi kefahaman dan mendekatkan saudara kita tentang kebesaran Allah SWT.
“Tumpuan khusus dilakukan di perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman dan Sungai Berua Hulu Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtima’ Wanita Perkim di Merang Suria Resort, Setiu petang semalam.
Hadir sama, Pengerusi Wanita Perkim Terengganu, To’ Puan Fatimah Kasma Mokhtar dan timbalannya To’ Puan Noraini Mohd Said serta 40 peserta saudara kita dari seluruh negeri.
Katanya, Perkim sedia maklum ada antara yang memilih Islam kerana ikatan perkahwinan di mana keihklasan dan kefahaman terhadap Islam itu masih cetek dan memerlukan bimbingan yang berterusan.
Menurut Dato’ Haji Alwi kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan yayasan Islam sentiasa seiring menjalankan dakwah seperti mengadakan ceramah agama dan motivasi kepada mereka,
“Ada saudara kita yang menghadapi masalah rumah tangga, berpisah dengan pasangan terus menyalahkan agama sebagai penyebabnya dan menjadi tanggung jawab kita untuk perbetulkan keadaan,” katanya.
Katanya, cara mendidik saudara kita juga tidak sama, terdapat tiga peringkat iaitu yang telah lama memeluk Islam, pertengahan dan yang baru nak mengenali Islam.
“Langkah yang diambil Wanita Perkim dengan mengadakan Ijtima’ ini diharap dapat memberi pendedahan serta mengukuhkan pegangan mereka terhadap ajaran agama suci kita,” katanya.
Ijtima’ yang berlangsung dua hari (22 hingga 23 Julai) turut mengundang dua penceramah motivasi iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Ismail dan Ustazah Hajah Azizah Mohamad dari Yayasan Islam Terengganu (YIT).