Halaman

21 July 2011

Yayasan Felda komited beri kemahiran kepada anak-anak peneroka

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Yayasan Felda komited dalam usaha memberi kemahiran kepada anak-anak peneroka di seluruh negara bagi memastikan generasi baru Felda tidak tercicir daripada menjalani pelbagai kursus kemahiran.

Penasihat Khas Felda, Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Mohd Yusof Nor, berkata pihaknya akan membantu mengikuti pelbagai kemahiran mengikut minat masing-masing, jika mendapat maklumat anak peneroka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian sedia ada.

“Kita tidak mahu ada anak peneroka yang tertinggal daripada mendapat kemahiran daripada mana-mana institusi atau pusat latihan kerana pucuk pimpinan negara mahu mereka diberi peluang itu,” katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis meraikan pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, tengahari ini.

Hadir sama Pengarah HSNZ Dr Tengku Ramelah Tengku Senik dan pegawai kanan hospital berkenaan.

Yayasan Felda memberi sumbangan barangan makanan dan wang tunai kepada 130 pesakit di hospital itu yang bernilai RM39,000 bagi membolehkan mereka melakukan persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Puasa.



Selain itu, yayasan berkenaan turut menyumbang RM5,000 kepada Tabung Kebajikan Hospital tersebut bagi kebajikan pesakit.

Tan Sri Mohd Yusof Nor, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada misi Yayasan Felda untuk melaksanakan kerja-kerja amal dan kebajikan.