Jika tidak menjadi pemain bola sepak profesional, pemuda tinggi lampai yang cukup dikenali umum ini mungkin sedang berkhidmat sebagai pegawai polis berikutan minat yang mendalam terhadap perkhidmatan awam itu ketika di bangku sekolah lagi.
Cita-cita untuk berkhidmat dalam bidang itu juga menyebabkan Mohd Mazuki Yusof, 30, bersama seorang rakan meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam Bawah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu sejurus menamatkan pelajaran di SMK Chendering pada 1994.
Bagaimanapun, impian menyarung pakaian seragam itu tidak menjadi realiti dek peluang yang ibarat `bulan jatuh ke riba’ yang menawarkan beliau untuk menyertai skuad bola sepak negara dalam kejohanan Piala Milo Bawah 18 tahun setahun kemudian.
Hasrat bergelar Inspektor polis juga terpaksa dilupakan, biarpun rakan baiknya sudahpun mengesahkan jawatan dalam profesional perkhidmatan awam itu sejurus menamatkan pelajaran di Tingkatan Enam Atas.
Keputusan yang dibuat pemuda berasal dari Kampung Aur Chendering 15 tahun dulu itu tidak sia-sia, malah beliau yang dilantik sebagai Kapten Terengganu sejak 2007 itu kini berada di landasan sebenar sebagai pemain bola sepak profesional.
Pernah berkelana ke Melaka bagi mewakili skuad Telekom Melaka sepanjang 2005 hingga 2006, namun dua tahun berhijrah bagi melebarkan sayap dalam bidang itu memberi pengalaman berbeza buatnya.
Namun, bapa kepada sepasang cahaya mata comel Mohamad Muhaimin dan Qaseh Mia Areesya, itu memutuskan untuk berbakti kepada negeri kelahiran sendiri kerana banyak kelebihan, apatah lagi keluarga tersayang berada di depan mata.
“Bukan saya tidak mahu mencuba nasib lebih lama di tempat orang, tetapi apabila di kampung halaman sendiri dengan keluarga tersayang berada bersama menyebabkan saya lebih fokus dan komitmen terhadap sukan ini lebih bermutu dan mantap,” kata pemuda yang melayari bahtera rumahtangga bersama suri pilihan, Shahida Emilia Muhamad, 30, sejak 2004 itu.
Selain isteri dan anak-anak yang memahami tugasannya yang mengemudi skuad bola sepak, Mazuki juga turut mengagumi dua individu yang menjadi watak penting menjadikanya sebagaimana hari ini.
Arwah bapanya, Yusof Mamat, sepanjang hayatnya sehingga saat-saat akhir sebelum meninggal dunia kira-kira enam bulan lalu akibat penyakit jantung, bersama-sama dengan ibunya, Wook Taib, sering memberi perangsang tanpa jemu.
Malah, setiap kali perlawanan secara langsung bersiaran melalui kaca televisyen, ibu dan juga arwah bapanya berubah menjadi cemas dan tidak mampu menonton aksi anak kelima daripada sembilan beradik itu.
“Mak dan arwah ayah memang jadi hilang arah. Dia selalu mendoakan yang terbaik dan bimbang kejadian buruk menimpa saya, sebab itu mereka tidak boleh menonton sebarang perlawanan bola sepak yang melibatkan saya. Malah, mereka juga tidak sanggup pasukan Terengganu kalah,” kata pemuda yang lahir 3 Januari 1981 itu lagi.
Dari sisi lainnya, mazuki kini menyimpan hasrat untuk terus menyumbang tenaga bersama skuad Terengganu selagi khidmatnya diperlukan serta kudratnya masih mampu memberi kelebihan untuk pasukan Peteh yang kini di bawah kendalian Irfan bakti abu Salim.
Hasil adunan pengurusan pasukan yang sistematik dan pemain yang member komitmen padu, Terengganu Berjaya menempatkan diri antara pasukan terbaik dalam Liga Malaysia.
Malah, 11 Jun juga menjadi detik paling manis dalam karier bola sepaknya, apabila membawa pulang Piala FA hasil kemenangan menentang negeri tetangga, Kelantan dalam perlawanan yang penuh dramatik.
“Melihat sokongan peminat, laungan mereka yang menambahkan semangat saya dan anak buah untuk terus mengasak kubu lawan. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi Terengganu dan tiada siapa berhak menafikan kejayaan itu,” katanya sambil tersenyum puas.
Beraksi di posisi pertahanan, Mazuki kini mengimpikan koleksi kemenangan selaku juara Liga Malaysia pula, selepas menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia pada 2001 ketika bersama skuad Terengganu.
“ Walaupun sasaran itu kelihatan sukar digapai, saya tetap optimis kerana dalam sukan bola sepak, apa sahaja boleh berlaku, asalkan semua rakan sepasukan gigih mahu memburu kejayaan dalam setiap perlawanan sehingga ke tiupan wisel yang terakhir,” katanya.