Halaman

22 July 2011

Tiga anak jati Terengganu terima A.M.T

Oleh: Suriati Ali



Tiga atlet anak watan Terengganu yang menerima Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.) menyifatkan anugerah yang mereka terima sempena Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, Rabu lalu (20 Julai) sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang mengharum nama negara dan Terengganu di persada dunia.

Mereka yang juga atlet berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah Mustafa turut berazam menggandakan usaha supaya terus cemerlang dalam beberapa kejohanan yang bakal disertai dalam tempoh terdekat.

Mohd Azizulhasni, 23, berkata dia terharu dan bangga kerana Terengganu menghargai jasa dan keringatnya sebagai pelumba basikal dengan menganugerahan A.M.T.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik supaya nama Terengganu dan negara sentiasa menjadi perhatian pihak luar dengan pelbagai kejayaan membanggakan terutama apabila menyertai Olympic 2012 di London nanti,” katanya kepada pemberita.

Seramai 259 orang menerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan Negeri Terengganu. Penerima pingat itu termasuk Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan empat pegawai kanan kerajaan negeri menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Dato’

Mereka ialah Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YB Encik Noorbahri Baharuddin manakala tiga Exco terdiri daripada YB Haji Yahya Khatib Mohamad, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said dan YB Encik Toh Chin Yaw.

Penerima lain ialah Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tuan Mamat Tuan Ngah; Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mustofa Abdul Rahman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

Fatehah, 22, berkata, tiada apa yang ingin diucapkan melainkan jutaan terima kasih di atas penganugerahan yang terima ini.

“Penganugerahan A.M.T adalah hadiah paling besar buat diri saya sepanjang penglibatan dalam arena sukan lumba basikal dan ia mampu melonjakkan semangat saya untuk terus mencipta nama di persada antarabangasa,” katanya yang kini menjalani latihan di Melbourne, Australia bersama Azizuhasni.