Pentadbiran Negara akan menjadi huru hara dan perbalahan politik terus merebak jika Pakatan Rakyat (PAS,DAP, PKR) dibenarkan memerintah negara ini.
“Keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan turut terjejas,” kata wakil parti MCA Terengganu, Encik Yeo Sin Soon ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu 2011, di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu hari ini.
Katanya, BN mesti mendedahkan segala tipu helah mereka dan memberi penerangan hingga ke akar umbi mengenai senario yang akan berlaku jika PR berjaya mengambilalih pucuk pimpinan negara.
Katanya, DAP tidak akan menerima dasar Islamisasi PAS yang semestinya dituntut oleh akar umbi PAS manakala PAS pula tidak akan menerima dasar liberalisasi dan pro-Kristian DAP yang semestinya dituntut penyokong DAP dan PKR serta masyarakat bukan Islam.
“Hari ini kita lihat ramai generasi muda tertarik dengan dasar liberalisasi dan meritrokasi yang disebar PR dan golongan mendapat maklumat dari semasa ke semasa melalui internet,” katanya.
Katanya, BN perlu mencari cara terbaik untuk menambat hati golongan muda tetapi bukan dengan cara paksaan sebaliknya dengan bersemuka dan berbincang secara intelektual dalam keadaan hormat menghormati.
“BN perlu lakukan sesuatu untuk menambat hati rakyat termasuk menggalakkan kreativiti dan inovasi selain menangkis serangan yang dibuat parti pembangkang,” katanya.
Katanya, semua parti komponen perlu bekerja lebih kuat untuk memenangi hati rakyat dan apa yang disebarkan tidak tertumpu kepada satu kaum atau satu parti dalam BN sebaliknya hendaklah menyeluruh.
MCA turut menyarankan BN menyusun agenda mempertemukan semua kaum dengan lebih kerap agar mereka memahami satu sama lain dengan lebih mendalam kerana akhir-akhir ini interaksi kaum semakin berkurangan kecuali untuk urusan tertentu sahaja.
“Perjumpaan sosial hendaklah diadakan membabitkan semua lapisan masyarakat dan komposisi kaum biar seimbang supaya tidak berlaku dominasi,” katanya.