Halaman

20 July 2011

Tiga Exco, empat pegawai kanan kerajaan negeri terima gelaran Dato’

Oleh: Suriati Ali



Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan empat pegawai kanan kerajaan negeri menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Mereka ialah Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YB Encik Noorbahri Baharuddin manakala tiga Exco terdiri daripada YB Haji Yahya Khatib Mohamad, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said dan YB Encik Toh Chin Yaw.



Penerima lain ialah Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tuan Mamat Tuan Ngah; Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mustofa Abdul Rahman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

Turut menerima D.P.M.T ialah dua ketua jabatan Persekutuan iaitu Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Haji Hamzah Ngah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan.



Istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat kehormatan itu berlangsung di Istanah Maziah pagi ini dan disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).