Halaman

23 July 2011

Pencapaian emas terbaik di Sukma 2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian Terengganu pada Sukan Malaysia Ke-14 Kuala Lumpur adalah yang terbaik berbanding dua kejuaraan Sukma yang terdahulu apabila mencapai 23.25 peratus pingat emas keseluruhan yang ditawarkan pada temasya itu.

Peratusan pungutan emas pada Sukma Ke-13 tahun lalu sebanyak 10.76 peratus, manakala 15.05 peratus pada Sukma Ke-12 2008.
“Kejayaan Sukma di Kuala Lumpur baru-baru ini mengatasi sasaran yang ditetapkan, iaitu 27 pingat emas. Tahniah kepada pasukan kanu, judo, mendayung dan berbasikal kerana berjaya mempamerkan pencapaian hebat, sekaligus melepasi sasaran pingat yang ditetapkan bagi acara masing-masing,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Daripada keempat-empat acara sukan itu, Terengganu berjaya memperolehi 28 pingat daripada 30 pingat emas keseluruhan yang dipungut atau berjumlah 93.33 peratus.

YB Haji Rozi berkata, baki dua lagi pingat emas yang berjaya diperolehi adalah menerusi bola baling dan sofbol.

“Seramai 20 atlet pula memenangi pingat berganda, iaitu 11 atlet lelaki dan sembilan atlet wanita, manakala atlet kanu pula berjaya memecahkan dua rekod Sukma.

“Bagi sukan tenis, walaupun hanya memperolehi pinhat gangsa, namun acara itu berjaya mencipta rekod tersendiri apabila memecah kebuntuan pingat sejak Sukma diperkenalkan 26 tahun lalu,” katanya.