Halaman

19 July 2011

Sasar peningkatan purata hari penginapan pelancong sempena TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri mensasarkan enam hari dan 5.5 hari sebagai purata hari penginapan pelancong asing dan domestik ke negeri ini bagi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 berbanding 4.8 hari dan 3.4 hari yang direkodkan pada TMT 2008.

Sasaran itu sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negeri sebanyak 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada penghujung 2013.

Peningkatan purata hari penginapan (2013) itu juga dijjangka mendorong kepada peningkatan jumlah perbelanjaan pelancong asing kepada RM500 dan pelancong tempatan kepada RM350 seorang, berbanding RM330 (pelancong asing) dan RM200 (pelancong tempatan) pada 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata, kerajaan negeri mengisyhtiharkan 2013 sebagai TMT dengan mensasarkan peningkatan pelancong sebanyak 20 peratus.

Pada program TMT 2008 sebanyak tiga juta pelancong direkodkan berkunjung ke seluruh Terengganu.

"Kita akan mempertingkatkan lagi usaha untuk menambah kedatangan pelancong dan menambah kadar purata hari penginapan pelancong ke negeri ini.

“Peningkatan purata hari penginapan pelancong asing dan domestik pada TMT 2013 pastinya mendorong kepada memacu ekonomi negeri,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan produk pelancongan sedia ada di samping memberi nilai tambah semua tempat peranginan yang ada.

Datuk Abdul Rahin berkata, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang mempunyai 10 buah pulau kecil yang dibangunkan sebagai destinasi tarikan pelancongan akan menjadi faktor utama pelancong untuk mengunjungi Terengganu.

Pada masa yang sama, Gunung Berembun dan Air Terjun Chemerong, Dungun juga akan dijadikan sebagai antara produk pelancongan berikutan kekayaan warisan alam semulajadinya yang masih kekal, selain menjadi air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara.