Halaman

21 July 2011

Ijtima’ wanita saudara kita

Oleh: Esah Abdullah

Meningkatkan kefahaman terhadap agama suci Islam dan memantapkan bacaan al-Quran serta memperteguhkan amalan solat lima waktu antara matlamat Ijtima’ wanita (saudara kita) yang berlangsung di Merang Suria Resort, Setiu, selama dua hari bermula esok.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wanita Terengganu, Hajah Salmah Mohd Zain berkata, antara pengisian pada Ijtima’ itu ceramah dan motivasi bertajuk ‘Kenal dan Cintai Allah serta Nabi Muhamad S.A.W.

Antara pengisian lain katanya turut diadakan kuliah agama, bacaan yasin serta solat berjemaah di bawah bimbingan pegawai daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT).

“Seramai 40 peserta wanita Saudara Kita dari seluruh negeri telah mengesahkan penyertaan masing-masing dan bersama menjayakan Ijtima’ yang merupakan aktiviti tahunan Wanita Perkim,” katanya kepada Teganukita.

Menurut Hajah Salmah, majlis berkenaan akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat petang esok.