Halaman

21 July 2011

Insentif kemenangan, biasiswa RM2.3 juta untuk atlet Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM2.3 juta sebagai insentif dan biasiswa kepada atlet pelajar, Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 serta pemain bola sepak Terengganu berikutan pencapaian membanggakan yang dihasilkan sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM600, 000 diperuntukkan sebagai bayaran awal skim biasiswa kepada atlet pelajar di sekolah sukan termasuk Sekolah Sukan Bukit Nenas (Setiu), Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Padang Midin dan SMK Sultan Sulaiman melibatkan lebih 200 pelajar yang belum mendapat sebarang penajaan lain.



Sementara itu, kira-kira RM900,000 diagihkan sebagai insentif kemenangan Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011 , manakala peruntukan kira-kira RM800,000 sebagai hadiah kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Terengganu berikutan kejayaan menjulang Piala FA musim ini.

“Tahniah kepada atlet Sukma Ke-14. Tahniah juga kepada pemain bola sepak kerana menjuarai Piala FA dan memenanginya dalam keadaan dramatik sekali. Begitu juga, ucapan terima kasih kepada atlet muda dan bakat baru yang masih belajar di mana kerajaan bersedia memberikan biasiswa kepada mereka bermula 1 Jun yang akan diberikan hari ini.

“Ini merupakan antara usaha-usaha kerajaan Terengganu bagi memartabatkan atlet anak Terengganu dalam bidang sukan, sebagaimana yang saya sebutkan sejak kali pertama Terengganu menjuarai Sukma (2008), Insya-Allah Terengganu menjadi kuasa baru sukan negara kita,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Menteri Besar berkata, kejayaan itu juga menyebabkan ada segelintir pihak luar Terengganu mengiktiraf kehebatan dan kemajuan Terengganu dengan menyatakan hasrat supaya pelajar bukan berasal dari Terengganu memasuki sekolah di negeri ini agar turut cemerlang dalam bidang sukan.



“Justeru itu, kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi sebarang pengiktirafan kepada atlet kita yang berjaya. Hari ini kita berbangga dengan Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa dalam acara berbasikal serta seorang atlet memanah yang juga anak Terengganu kerana bakal membawa cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik London 2012,” katanya.