Halaman

21 July 2011

177 terima Pingat Kebesaran Negeri

Oleh: Esah Abdullah


Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Terengganu menerima pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan darjah kebesaran.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Istana Maziah Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ahli Mesyuarat Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja; Tengku Sri Laksamana Raja; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Seramai 177 orang penerima Pingat-Pingat Kebesaran Negeri pada hari kedua di Istiadat Pengurniaan sempena Ulang Tahun ke-49, Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri termasuk Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) sembilan orang, Bintang Lama Berjawatan (B.L.B) tujuh orang, Pingat Lama Berjawatan (P.L.B) 19 orang dan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) 142 orang.

Dalam majlis pengurniaan semalam tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan empat Pegawai Kanan Kerajaan menerima Darjah Dato’ Paduka Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Dato’ serta 259 orang menerima Darjah Kebesaran dan Pingat Kehormatan.