Halaman

21 July 2011

Terengganu jangka terima pelaburan RM3.5 bilion

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan terus menggandakan usaha dan memastikan peranan yang lebih komited bagi memacu pembangunan negeri maju menjelang 2020.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pada masa sama Terengganu akan terus mendukung gagasan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

Menurutnya, dalam meraih pertumbuhan ekonomi negeri, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada penggunaan sumber yang cekap di dalam sektor yang memiliki daya saing bagi menarik pelaburan ke negeri ini.

"Pada tahun 2010, ekonomi negeri telah berkembang pada kadar 5.5 peratus dan pada tahun ini dijangka berkembang pada kadar 6 hingga 6.5 peratus.

“Kerajaan negeri meluluskan pelaburan sebanyak RM2.33 billion pada tahun lalu, Manakala bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sebanyak RM1.11 bilion dengan mewujudkan 1,843 peluang pekerjaan dan menjangkakan menerima RM3.5 bilion pelaburan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-49 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, di sini semalam (20 Julai). .

Dato’ Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri juga komited dalam meningkatkan punca pendapatan isi rumah melalui program bina pendapatan dan bina upaya.

"Pendekatan berstrategi dan bersepadu yang telah diambil terbukti memberi impak kepada golongan sasar keluar dari belenggu kemiskinan di mana kadar kemiskinan negeri pada 2010 menurun kepada 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.6 peratus manakala kemiskinan tegar sifar telah dicapai pada tahun tersebut.

“Menjelang 2013, sebanyak 10,000 unit rumah akan dibina melibatkan 40 projek di seluruh negeri dan pada masa ini sebanyak 22 projek perumahan telah dilaksanakan melibatkan 6,737 unit dengan kos RM660 juta,” katanya.

Kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pihak swasta dan agensi kerajaan bagi memikul tanggungjawab bersama dalam melaksanakan projek perumahan bagi menyediakan kediaman yang lebih sempurna kepada rakyat.