Lebih 400 anak peneroka Felda dilatih sebagai pembantu jururawat di pusat latihan Yayasan Felda di Kelana Jaya, bagi membantu masalah kekurangan pelatih untuk mengisi jawatan tersebut di pusat-pusat perubatan di seluruh negara.
Penasihat Khas Felda, Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Mohd Yusof Nor, berkata setakat ini semua lulusan pusat latihan berkenaan sudah ‘ditempah’ majikan yang berminat dan mereka kini sedang dalam proses ditawarkan jawatan berkenaan.
“Yayasan Felda mula menawarkan latihan di bidang tersebut empat tahun lalu dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada anak-anak peneroka,” katanya pada sidang media selepas majlis meraikan pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.
Beliau berkata, yayasan itu akan melatih lebih ramai anak peneroka di bidang berkenaan kerana ia mampu memberi peluang pekerjaan lebih baik kepada generasi baru Felda.
“Pada masa yang sama kita juga dapat membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di bidang kejururawatan,’ ujar beliau.
Tan Sri Mohd Yusof berkata, selain anak peneroka pihaknya juga turut memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mengikuti latihan di bidang tersebut dengan agihan kuota 90 peratus:10 peratus.
“Kita akan mengambil anak peneroka sebanyak 90 peratus manakala kuota 10 peratus akan diisi oleh masyarakat luar Felda,” katanya.