Halaman

21 July 2011

Hadiah iringi tiga anak Terengganu ke Olimpik 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga anak Terengganu yang berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012 bakal mendapat habuan awal daripada Kerajaan Terengganu sebelum berangkat membawa cabaran negara ke kejohanan dunia itu nanti.



Selain atlet berbasikal kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa, seorang lagi anak negeri yang mengesahkan penyertaan dalam temasya itu adalah atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad .
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan berita gembira itu sempena Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

“Justeru itu, kerajaan negeri tidak lokek untuk memberi pengiktirafan kepada atlet kita yang berjaya. Hari ini kita berbangga dengan Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa dalam acara berbasikal serta Khairul (Khairul Anuar Mohamad) seorang atlet memanah yang juga anak Terengganu bakal membawa cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik London 2012.

“Kita berharap mereka berlatih bersungguh-sungguh dan tahun depan sebelum mereka berangkat ke Sukan Olimpik London 2012, kerajaan negeri akan mengumumkan sesuatu sebagai hadiah kepada mereka,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai `hadiah’ yang bakal diterima itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata pihaknya hanya akan mendedahkan perkara itu apabila tiba masanya kelak.