Halaman

21 July 2011

Skuad Terengganu berlepas ke London malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Skuad bola sepak Terengganu bakal berlepas ke London malam ini sebagai ganjaran selepas memenangi trofi Piala FA 2011 pada 11 Jun lalu.

Sebelum itu, mereka terlebih dahulu menerima habuan berupa wang tunai RM10,000 setiap seorang daripada kerajaan negeri di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, malam tadi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata percutian pasukan yang diketuai kapten, Mohd Mazuki Yusof bersama beberapa pegawai termasuk jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim ke London selama seminggu sebagai suntikan semangat dan pengiktirafan atas kejayaan membanggakan skuad berkenaan.

“Kita harap dengan ganjaran yang kita berikan, pemain akan terus meningkatkan imej sukan bola sepak ke tahap lebih baik. Malah, kita mahu mereka berusaha bersungguh-sungguh dan dapat memenangi Piala Malaysia pula nanti,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Menteri Besar berkata, sebanyak RM800,000 diperuntukkan sebagai insentif kemenangan dan menaja percutian melibatkan tiket dan penginapan mereka ke London.

Katanya, percutian skuad Terengganu ke London sebagai menunaikan janji kerajaan negeri sebelum ini sekiranya pasukan `Peteh Ganu Peteh’ itu berjaya memenangi piala berkenaan.

Malah,katanya jika tiada sebarang halangan, pihak pengurusan juga akan mengambil peluang berada di negara asing itu untuk mengatur perlawanan dengan mana-mana pasukan negara itu.

Dalam perlawanan 11 Jun lalu, Terengganu menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik, di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain gantian, Ahmad Nordin Alias yang masuk menggantikan Ismail Faruqi muncul wira pasukan Penyu apabila berjaya menjaringkan gol penentuan kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 selepas tempoh 90 minit berakhir.