Halaman

19 July 2011

Sekolah Orang Asli sertai Smart English

Oleh; Esah Abdullah

Dua buah sekolah Orang Asli dan sekolah di pulau adalah antara yang diberi peluang menyertai pertandingan Smart English dan Speech Choir bagi merebut Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDRSM) tahun ini.

Program Smart English bagi murid sekolah rendah dan Speech Choir bagi pelajar sekolah menengah bertujuan merangsang minat mereka agar berusaha meningkatkan kemahiran dan kecekapan berbahasa Inggeris serta menggunakannya dengan tepat dan berkeyakinan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDRSM, Dato’ Prof Emiritus Dr Abdul Rahman Embong berkata, penyertaan tahun ini diperluaskan mencakupi semua sekolah termasuk sekolah di pulau, sekolah Orang Asli selain sekolah elit dan sekolah harian.

“Keupayaan menguasai Bahasa Inggeris (BI) baik lisan mahupun tulisan akan membantu mereka untuk melangkah ke tahap lebih tinggi samaada di dalam atau di luar negara,” katanya di majlis penutup Program Pengukuhan BI Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan Sekolah-Sekolah Terengganu 2011 di Universiti Malaysia Terengganu semalam.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baderulzaman; Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya, program ini bukan setakat terbuka kepada pelajar yang baik pencapaian dalam BI sebaliknya pelajar yang sederhana dan rendah pencapaiannya turut diberi peluang.

“Yayasan percaya perhatian khusus kepada pelajar sederhana dan rendah pencapaiannya dalam BI dapat menyuntik minat dan semangat lebih mendalam serta menyemarakkan gelombang belajar ke semua sekolah termasuk pendalaman,” katanya.

Menurutnya, program usahasama YDRSM dan Jabatan Pelajaran Terengganu serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi rakan dengan menyediakan kemudahan dalam kampus UMT sebagai tempat pertandingan akhir dan majlis penutup.

“Program yang mula diperkenalkan tahun lalu ini telah mendapat perhatian banyak pihak termasuk dari luar negara dan kehadiran pemimpin, pegawai, guru dan pelajar dari Maros, Sulawesi Selatan, Indonesia hari ini amat dialu-alukan,” katanya.