Halaman

23 July 2011

Skate rangsang pencapaian sukan dan akademik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menyediakan pakej rangsangan kepada atlet pelajar menerusi Skim Kecemerlangan Atlet Terengganu (Skate) yang merangkumi bayaran biasiswa bulanan kepada pelajar yang tidak menerima mana-mana penajaan, bayaran asrama bagi atlet yang menginap di asrama dan penyediaan tuisyen secara percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri berharap dengan insentif dan pakej bantuan itu mampu menyuntik serta merangsang atlet pelajar bagi meningkatkan komitmen dalam bidang sukan dan akademik.
“Ibu bapa pula diharap tidak terbeban dengan perbelanjaan untuk persekolahan anak-anak serta tidak bimbang lagi dari aspek kebajikan anak masing-masing yang bergiat dalam sukan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

YB Haji Rozi berkata, kerajaan negeri memberi penekanan yang khusus selain komitmen yang tinggi dalam bidang sukan. Malah, tiada negeri lain yang mengiktiraf pencapaian atlet sebagaimana yang dilakukan Kerajaan Terengganu kini.

“Saya harap semua penggiat sukan supaya mengambil peluang yang terhidang ini bagi menggembleng bakat yang ada supaya mampu mengangkat martabat sukan negeri dan negara amnya.

“Selain itu, Terengganu pastinya akan terus berusaha untuk menjadi kuasa baru sukan negara dan pada masa yang sama memastikan akademik atlet pelajar berada di tahap yang baik selaras dengan hasrat menjadikan negeri ini sebagai anjung ilmu,” katanya.