Halaman

21 July 2011

YPKT pasang CCTV di Taska

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha menjaga keselamatan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah kelolaannya.



Pengarah YPKT, Encik Mohd Sharuddin Mustaffa berkata, setakat ini pihaknya telah memasang 16 Kamera Litar Tertutup (CCTV) di premis Taska di pusat-pusat bandar.

“Setiap premis Taska YPKT berada dalam kawasan berpagar dan sentiasa berkunci beserta pintu premis yang dipasang besi penghadang serta sentiasa berkunci,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan agar setiap taman asuhan perlu ada pengawal keselamatan bagi menjamin keselamatan penghuninya berikutan insiden pencerobohan sebuah Taska di Selangor baru-baru ini.

Encik Mohd Shafaruddin berkata, sehingga ini YPKT mempunyai 66 buah Taska seluruh negeri dan belum bercadang untuk menggunakan khidmat Pegawai Keselamatan di setiap premis miliknya.

“Dengan apa yang telah kita lakukan seperti memasang CCTV, pasang besi penghadang setiap pintu dan tingkap serta setiap premis dilengkapi pagar, saya harap tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Selain itu katanya, kadar yang dikenakan terhadap ibu bapa bagi seorang anak hanya RM180 sebulan di mana kadar ini sangat rendah berbanding apa yang terdapat di pusat bandar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya.

Namun katanya, beliau tidak mengenepikan cadangan sesetengah pihak agar ada Pengawal Keselamatan di setiap Taska di negara ini kerana keadaan dan suasana yang tidak dijangkakan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.