Halaman

19 July 2011

YPKT lahir 8,928 graduan jahitan

Oleh: Esah Abdullah



Seramai 8,928 graduan dalam industri jahitan berjaya dilahirkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dalam tempoh 11 tahun (2005-2011).

Pengarah YPKT , Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa bekata, sehingga ini terdapat 32 Kelas Jahitan Komuniti (KJK) di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri dan tujuh Akademik Jahitan Daerah (AJD).

“Kerajaan telah membelanjakan RM700,000 setahun untuk kos pengurusan KJK dan AJD yang diadakan dua sesi dalam setahun,” katanya di majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Pelatih Jahitan Sesi 1/2011 YPKT di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai petang ini.



Penyampaian Sijil Tamat Latihan telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut , YB Haji Nawi Mohamad.

Encik Shafaruddin berkata, KJK dan AJD memberi peluang kepada semua golongan suri rumah, ibu tunggal dan belia lepasan sekolah untuk memdapat kemahiran dalam bidang jahitan.

“Walau pun jumlah yang dikeluarkan kerajaan agak tinggi namun kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta kursus menggunakan kemahiran jahitan berjaya meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.



Selain itu beliau melahirkan keyakinan, mereka yang berpeluang mengikuti latihan di YPKT bukan sekadar mendapatkan sijil semata-mata tetapi secara ikhlas untuk mendapatkan ilmu untuk membina kerjaya masa depan.

Katanya, YPKT turut menawarkan pinjaman kepada pelatih untuk memulakan kerjaya dalam bidang jahitan dan setakat ini 64 orang telah membuat pinjaman berjumlah RM224,000.



“Kita tahu mereka tentu tidak mampu untuk menyediakan peralatan jahitan dan pihak YPKT sentiasa menawarkan pelbagai khidmat nasihat serta pinjaman kewangan kepada mereka,” katanya.