Halaman

20 July 2011

Belia perlu manfaat kelebihan alam semulajadi setempat

Oleh: Aida Abd Rahman

Golongan belia seharusnya memanfaatkan alam semulajadi dan bentuk muka bumi di kawasan masing-masing supaya dapat menyemarakkan aktiviti yang mampu membina kesihatan fizikal dan minda golongan itu.

Pengerusi Persatuan Belia Fajar Menyingsing (Beladau Kepong), Mohd Afendi Abdullah, 23, berkata kelebihan geografi kampungnya yang terletak di tepi sungai memberi kelebihan untuknya serta kepimpinan setempat merangka pelbagai program berfaedah yang dapat memberi faedah kepada penduduk termasuk golongan muda.

Terbaru, persatuannya dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Beladau Kepong beragnding bahu menganjurkan Program Berakit `Sungaiku, Hidupku’ sepanjang lapan kilometer bermula dari Sungai Kampung Tiruk dan berakhir di Sungai Kampung Baladau Kepong, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Katanya, program berakit yang bakal menjadi acara tahunan dan program tradisi masyarakat itu bukan sahaja memupuk budaya mencintai sungai dan memulihara daripada pencemaran, malah turut merapatkan hubungan antara peserta serta penduduk kampung yang terlibat.

Program julung kali itu berjaya menarik penyertaan 30 rakit melibatkan 310 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat yang bersaing untuk merebut hadiah bagi kategori Rakit Berhias dan Rakit Laju.

Johan bagi Kategori Rakit Laju dimenangi Pasukan Citra Sari (Beladau Kepong), tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Pemuda Beladau Kepong dan JKKK Kampung Banggol Cempedak. Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah.

Sementara tempat pertama bagi kategori Rakit Berhias dimenangi JKKK Beladau Selat, manakala tempat kedua, JKKK Banggol Kemang dan ketiga Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu DUN Alor Limbat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Trivecosta Negeri, Dato’ Wan Zahari Wan Ngah. Pemenang bagi kedua-dua kategori mendapat RM500 (tempat pertama), diikuti RM400 dan RM300 masing-masing bagi tempat kedua serta ketiga.