Sejarah dan budaya Barisan Nasional (BN) perlu dipupuk dan disemai kepada generasi baru terutamanya kepada Puteri dan Pemuda agar dapat menghayati dan meletakkan BN di hati masing-masing.
Setiausaha MIC Terengganu, Encik Mangaleswaran Annamalai berkata, semua pemimpin parti komponen juga perlu didedahkan dengan sejarah dan budaya BN termasuk diberi peluang mengikuti kursus dan sebagainya.
“BN bernasib baik kerana dari dulu hingga sekarang mempunyai pemimpin yang memiliki visi serta berpandangan jauh dan futuristik,” katanya ketika berucap mewakili parti MIC di Konvensyen BN Negeri Terengganu 2011 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu hari ini.
Hadir sama Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, semua pemimpin dan ahli parti komponen BN iaitu UMNO, MIC, MCA , Gerakan dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Veteran serta sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Kita berada di zaman serba canggih dengan perkembangan teknologi pantas di mana budaya serta nilai berubah lebih-lebih lagi dengan konsep dunia tanpa sempadan,” katanya.
Katanya, suka atau tidak masa depan negara terletak pada konsep 1Malaysia, mungkin sekarang ada yang kurang senang dengan konsep ini namun orang bukan Melayu percaya konsep ini adalah keadilan yang sebenarnya.
Selain itu katanya, dengan acuan kita sendiri mampu membawa banyak manfaat kepada generasi akan datang dan dalam suasana negara telah maju anak-anak kita bersatu di bawah konsep 1Malaysia.
Sehubungan itu MIC turut mencadangkan agar semua parti komponen mengutamakan konsep dan budaya BN setiap masa dan selesaikan perbalahan melalui perbincangan serta umum nama calon lebih awal bagi mengatasi masalah yang timbul diperingkat kawasan.