Halaman

18 July 2011

Program pengukuhan BI untuk pelajar

Oleh: Esah Abdullah

Program Pengukuhan Bahasa Inggeris telah berjaya memberi impak kepada pelajar dalam menambah kecintaan mereka secara menyeluruh terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, lebih signifikan lagi bila pihak Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan Jabatan Pelajaran negeri membuat penambahbaikan secara menyeluruh bagi program kali kedua tahun ini.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan seiringan untuk menjadikan pendidikan sebagai satu pelaburan penting untuk mengoptimunkan potensi setiap warga agar dapat mencapai aspirasi negara,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian di majlis penutup Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan Sekolah-sekolah Terengganu 2011 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah kepada pemenang.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baderul Zaman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Dato’ Prof Emiritus Dr. Abdul Rahman Embong.

Katanya, bagi mencapai hasrat tersebut kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan RM250 juta bagi bidang pendidikan tahun ini.

“Pelbagai insentif disediakan untuk mencapai peningkatan dalam bidang pendidikan termasuk peruntukan khas bagi pencapaian peperiksaan awam, pengagihan e-book, serta mewujudkan kelas dan peperiksaan maya ,” katanya.

Selain bantuan kecemerlangan pendidikan katanya, peluang juga diberi kepada pengetua dan guru besar sekolah yang cemerlang untuk mengadakan lawatan penanda aras ke luar negara.

“Alhamdulillah, pencapaian dalam semua peperiksaan awam bagi anak Terengganu menunjukkan peningkatan yang membanggakan saban tahun dan selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan negeri anjung ilmu,” katanya.