Halaman

12 November 2011

MB minta PBSNT cari pemain Import

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencari pemain import yang berkaliber bagi memantapkan lagi barisan pemain pasukan Terengganu.

Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya tidak mahu menggunakan khidmat atau mewakilkan mana-mana ejen untuk tujuan itu sebaliknya mahu PBSNT mencarinya sendiri.



“Kita tidak mengira dari negara mana, asalkan pemain import itu boleh memberi sumbangan setimpal untuk pasukan Terengganu, berdisplin dan tidak menimbulkan sebarang masalah yang tidak diingini.



“Jika sesuai dan menampilkan persembahan terbaik, kita sanggup membayarnya walaupun dalam jumlah yang agak mahal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rapat 1Malaysia, di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam (11 November).



Hadir sama, Ketua Pengarah Jasa Malaysia, Dato’ Fuad Tan Sri Hassan, Pegawai Pembangunan Parlimen, Dato’ Wan Farid Wan Ahmad, Pengerusi Kelab Belia Prihatin Kuala Terengganu, Encik Badrol Hisham Zaki dan beberapa pemimpin setempat.

Lebih 15 aktiviti dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Terengganu bertujuan mengukuhkan hubungan rakyat bersama pemimpin setempat dan mengalakkan penduduk mengamalkan kehidupan secara sihat.



Antara aktiviti itu termasuk pertandingan yamaha motoshow, motosikal klasik, vespa tercantik, wau bulan, mewarna, dam aji, sukan rakyat, makan keropok; persembahan okestra Cina, tarian 1Malaysia, dikir barat, basikal fixie dan tarian tradisional.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu Terengganu merupakan negeri paling ramai menghantar senarai atlet iaitu seramai 64 orang bagi menjayakan Kejohanan Sukan Sea di Palembang dan Jakarta, Indonesia yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 11 dan 12 November.

“Kesemua atlet yang terpilih menyertai kejohanan sukan Sea itu adalah mereka yang lahir daripada sukan Sukma dan sebahagian besar mereka masih boleh bertanding di Sukma 2012 dan 2013,” katanya.






Pemilih kawasan Parlimen Besut kini menigkat 64,000 orang

Oleh: Mohammad Ishak


Abdullah (tengah) mengayuh basikal bersama penduduk kampung Gong Gucil,Jertih.


Seramai 64,000 pengundi baru layak menjadi pengundi di kawasan Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) jika ia diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, jumlah itu meningkat 6,000 pemilih selepas Pilihan Raya Umum Ke 12 yang lalu.

Katanya, pemilih baru tidak membimbangkan usaha Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kerana yakin mereka akan terus member sokongan kepada calon daripada BN.

Menurutnya, BN tidak menghadapi masalah menghadapi saingan terutama PAS di Parlimen Besut kerana sebahagian besar penduduk daerah itu mahu BN terus kekal memerintah negeri ini.

Beliau yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri berkata, apa yang penting dilakukan pemimpin BN negeri ini yang ada sekarang ialah meningkatkan lagi perpaduan bagi mengukuhkan kedudukan parti.

“Pengundi Melayu kini terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ada dan sokongan mereka kini meningkat kepada 70 peratus berbanding pada pilihan raya lalu,” katanya selepas merasmikan Program Khabar Malaysia peringkat Parlimen Besut di Kampung Gong Gucil,Jertih,hari ini.

Pada majlis itu Abdullah yang juga Bendahari Umno Besut. turut menyertai kayuhan basikal tuan sejauh lima kilometer mengelilingi kampong itu bersama ahli Jawatankuasa Umno dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Abdullah menghabiskan masa sehari suntuk menghadiri empat program menemui penduduk sekitar daerah Besut sebagai usaha mendekati rakyat dan mengagihkan pelbagai bantuan kepada rakyat.

Lebih RM600 juta belanja untuk PPR

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM600 juta untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini dan insyaAllah mulai bulan depan PPR akan dilaksanakan di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek rumah mampu milik ini akan dibina setinggi 30 tingkat bagi rumah kaediaman manakala enam tingkat dikhaskan untuk parkir kereta.

“Kerajaan ambil inisiatif membina bangunan yang tinggi untuk menjimatkan ruang bagi melaksanakan pembangunan lain,” katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke rumah bekas ketua kampung yang juga rakan karib Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri, Haji Ngah Abdullah, 90. di Kampung Banggol Pauh, Bukit Tunggal, Parlimen Kuala Nerus hari ini.

Menteri Besar diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, HajiIsmail Nik dalam rangka lawatan sehari ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal bermula seawal 8 pagi dan berakhir jam 12 malam ini.

Selain itu katanya, sebanyak 1,000 unit PPR sedang dalam pembinaan di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan projek perumahan di Pulau Duyong akan diserahkan kepada kontraktor pada akhir tahun ini.

Tambahnya, 722 unit rumah turut dibina di Seberang Takir yang kini dalam proses penentuan kos dan harga sebenar serta masing-masing 150 unit di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

“Sasaran kerajaan membina 10,000 unit rumah di seluruh negeri membabitkan 32 DUN dalam tempoh lima tahun mampu dirialisasikan dengan jayanya dan sehingga ini semua tapak pembinaan dikenal pasti malah ada yang sedang dalam proses merata tapak,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa berfikir dan berusaha untuk memberi yang terbaik kepada rakyat terutama golongan miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas.




Terengganu negeri pertama wujud kolaborasi dengan SME Bank

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu merupakan negeri pertama yang mewujudkan kolaborasi rasmi dengan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) bagi melaksanakan program khas di negeri ini.

Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, dua program yang hanya khusus untuk negeri ini adalah Dana Usahawan Negeri Terengganu (DUNT) dan Program Satu Industri Satu Daerah (SDSI) untuk songket dan batik.

“Manakala program khas lain yang dilaksanakan di sini adalah Kompleks Kilang Bank, Dana Batik dan Kraf, Tabung Usahawan Siswazah (TUS) dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED),” katanya di majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara SME Bank dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Wisma Darul Iman.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ haji Mohamed Awang Tera; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar bandar dan Wilayah (KKLW), Encik Zazali Salehudin dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Katanya, SME Bank cawangan Terengganu telah mencatat rekod operasi terbaik iaitu pembiayaan 79 projek bernilai RM106.72 juta dalam Sembilan bulan pertama tahun ini.

“Pencapaian ini amat terkehadapan berbanding negeri-negeri lain dan keupayaan golongan usahawan negeri ini berwibawa dan berdaya maju telah meyakinkan pihak kami,” katanya.

Katanya, kerjasama stratejik yang berlangsung ini menjadi satu lagi tanda aras hubungan baik bank dengan kerajaan negeri dalam bidang pemabangunan keusahawanan IKS.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah meluluskan ‘Program Managed Lending’ atau PML di mana sebarang permohonan di bawah kerjasama ini mendapat perhatian khusus serta diberi keutamaan dari segi pemerosesan syarat dan asas pembiayaan.

“Sebagai sebuah badan keusahawanan negeri yang berwibawa, saya yakin YPU mampu melahirkan usahawan berdaya maju dan berdaya saing,” katanya.




11 November 2011

Pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK ) tunjuk bakat menyanyi

Oleh: Mohammad Ishak


Persembahan nyanyian oleh pelatih PDK Jertih


Bakat seni bukan sahaja dimiliki oleh orang biasa sahaja malah mereka yang kurang bernasib baik juga mampu menunjukkan kebolehan dalam pelbagai bidang seni termasuk nasyid dan nyanyian.

Begitulah yang sempat ditunjukkan oleh pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih, ketika mereka mempersembahkan nyanyian berkumpulan sempena majlis Hari Terbuka dan perasmian bangunan PDK baru berkenaan.

Sekumpulan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) dari kelas berkenaan berjaya mencuit hati tetamu jemputan apabila muncul di pentas dan menyanyikan pelbagai rentak lagi untuk hiburan tetamu yang hadir.

Malah, kehadiran Pengarah Jabatan Kebaikan Masyarakat (JKM) Terengganu,Zuhaimi Omar, turut menarik perhatian dan dengan penuh minat mendengar nyanyian kanak-kanak berkenaan.

Golongan berkenaan sememangnya gemar kepada seni dan muzik dan tidak hairanlah mereka tidak segan dan malu untuk tanpil mengadakan persembahan setiap kali diadakan program oleh pihak tertentu.

Kumpulan pelatih PDK Jertih selain diberi latihan dalam bidang kemahiran mereka juga diajar mengenai pelbagai aspek kehidupan lain supaya dapat bergaul mesra dengan masyarakat selepas berada dalam komuniti.

Penyelia PDK Jertih, Salina Mat Ali berkata, guru PDK sentiasa memberi penekanan terhadap keupayaan golongan OKU yang mengikuti di kelas berkenaan bagi mempastikan mereka dapat hidup sama seperti orang biasa malah ada dikalangan mereka mempunyai kemahiran lebih baik dibandingkan orang biasa.


YPU buka 100 buah T’Shoppe menjelang 2013

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan merancang membuka 100 buah T’Shoppe didalam dan luar Terengganu bagi tempoh 2010-2013 dengan anggaran kos RM11 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, bagi tempoh yang sama kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) merancang menambah bilangan perniagaan T’Kafe, T’Kraf dan T’lodge.

“Kita yakin dengan pembukaan kedai baru ini akan memberi pulangan berkesan kepada pencapaian objektif pelaksanaan program di bawah T’Brand yang menelan belanja RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPU dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di Wisma Darul Iman semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir sebagai saksi pertukaran dokumen usahasama antara YPU dan SME Bank bagi altenatif pembiayaan Program Flagship Keusahawanan (PFK) di negeri ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar bandar dan Wilayah (KKLW), Encik Zazali Salehudin; Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik dan Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Tambahnya,MoU ini dipersetujui atas dasar kerjasama mendapatkan pembiayaan daripada dana Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang meliputi pelbagai perniagaan seperti T’Shoppe, T’Kafe, T’Kraf dan T’Lodge.

“Pembiayaan SPED ini berlandaskan konsep Syariah dengan had pembiayaan antara RM20,000 hingga RM250,000 bagi pengusaha yang beroperasi kurang dari tiga tahun manakalapengusaha yang beroperasi tiga tahun ke atas phad pembiayaan RM250,000 ke RM500,000,” katanya.

Selain itu katanya, tempoh pembayaran balik adalah antara tiga hingga lima tahun bagi pinjaman RM250,000 ke bawah dan lima hingga tujuh tahun bagi pinjaman RM250,000 ke atas.

Katanya, keistimewaan SPED ialah peminjam akan dipertimbangkan untuk pemberian geran 30 peratus dengan kadar bayaran perkhidmatan lima peratus setahun berasaskan baki pinjaman.

Katanya, melalui MoU ini juga SME Bank dan YPU bersetuju menyediakan khidmat nasihat dan perundingan kewangan serta melancarkan pelaksanaan perniagaan.




Tuanku Mizan berkenan rasmi jambori pengakap antarabangsa

Oleh; Esah Abdullah

Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2011 di Kem Telaga Batin, Seberang Takir minggu depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, seramai 11,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuklah 4,000 peserta negeri ini, 6,000 peserta dalam negara serta 800 lagi dari luar negara.

“11 buah negara mengambil bahagian dalam jambori berkenaan yang bermula 18 November ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Keluarga (YPU) dan SME Bank di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya , antara negara terbabit termasuklah Mesir, Jepun, Hongkong, Singapura, Vietnam, Nepal, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives dan Kazakhstan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, Baginda Tuanku Mizan merupakan Penaung Utama Persekutuan Pengakap Malaysia.

Tambahnya, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail yang menjadi Penaung kepada Majlis Pengakap Negeri Terengganu akan menyertai jambori berkenaan.

Menteri Besar akan merasmikan majlis penutup pada 24 November di Kem Telaga Batin, Seberang Takir.




Ibu bapa prihatin mengenai pendidikan anak-anak

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat terutama ibu bapa di negeri ini di minta mengutamakan pelajaran anak masing-masing dengan mengambil peluang segala kemudahan pembelajaran yang disediakan pihak kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata kerajaan sememangnya prihatin berikutan menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan semata-mata mahu melihat anak jati Terengganu berjaya dan memiliki masa depan yang cerah.


“Melalui pendidikan saja, setiap insan dapat mengubah keadaan ekonomi keluarga, keluar daripada dibelenggu kemiskinan dan seterusnya mampu mengecapi kehidupan lebih selesa,” katanya ketika berucap sempena Hari Konvokesyen Tabika Kemas Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, di Dewan Serbaguna Kampung Maras, Setiu, semalam (10 November).

Seramai 130 kanak-kanak berusia enam tahun dari 20 Tabika Kemas di kawasan DUN itu menerima sijil masing-masing bersama sumbangan pakaian sekolah.

Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan pentas, termasuk senamrobik, nyayian lagu kanak-kanak dan teater.

YB Haji Khazan turut memberitahu, sistem pelajaran yang diterapkan kini cukup berbeza jika di banding mereka yang menerima ilmu ketika awal 50-an dulu.

“Pada waktu itu, mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah layak ditawarkan jawatan disegani masayarakat, termasuk sebagai guru, pegawai kanan kerajaan dan sebagainya.

“Kini tidak lagi, kerana untuk memegang jawatan seumpama itu perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah ,” katanya



Kanak-kanak istimewa miliki keyakinan tinggi

Oleh: Suriati Ali

Kesungguhan, komitmen tinggi dan sikap tidak jemu yang ditonjolkan guru pendidikan khas dalam mendidik kanak-kanak istimewa membuatkan golongan itu kini tidak segan berdepan dengan masyarakat normal.



Kebanyakan mereka mempunyai keyakinan tinggi untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti termasuk menyertai persembahan pentas dan bergaul dengan insan normal.

Isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil rakyat Terengganu, To Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memberitahu insan istimewa yang ada pada hari ini cukup membanggakan semua pihak kerana mampu melakukan pelbagai perkara seperti individu normal.

”Tidak pernah terfikir golongan ini mampu berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik, sukan dan kokurikulum di pelbagai universiti tempatan.


”Orang ramai terutama keluarga dan Ibu bapa diminta memberi peluang serta ruang yang seluas-luasnya supaya anak-anak istimewa ini mampu berdikari dan tidak berasa tersisih,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Tarian dan Ekspedisi Seni Pendidikan Khas Kebangsaan 1 Malaysia.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dengan Kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia itu melibatkan 192 peserta dan 162 guru dan pegawai pengiring dari 16 buah negeri.



Kumpulan kanak-kanak istimewa dari Melaka dinobatkan sebagai johan pertandingan sekaligus layak membawa pulang wang tunai RM1,000 bersama sijil dan piala iringan.

Tenaga pengajar kumpulan itu yang juga guru Sekolah Menengah Pendidikan Khas Semabuk, Melaka, Shanti A/P Kanasan Mutty, berkata minat dan komitmen tinggi yang ditampilkan setiap peserta memudahkan dia bersama enam lagi tenaga pengajar lain mendidik, mengasah bakat dan memberi tunjuk ajar seperti apa yang dikehendaki.

“Kami mengambil masa sebulan untuk mengasah bakat masing-masing. Walaupun pada awalnya agak sukar, tetapi hasil kesabaran dan kerjasama yang ditonjolkan , ia mampu menghasilkan kejayaan membanggakan,” katanya.



Program sukaneka Cawangan Geliga Pantai Kemaman meriah


Oleh: Nurul Aziela Saberi

Hujan renyai pada pagi itu tidak mematahkan semangat orang ramai untuk turun ke pantai bagi sama-sama memeriahkan dan menyertai sukaneka yang dipertandingkan sempena sukaneka Cawangan geliga Pantai Kemaman, baru-baru ini.

Permainan sukan rakyat seperti bermain catur, lari dalam guni, gelek tayar, kukur kelapa, pikul pasir pantai dalam guni dan tarik tali mendapat sambutan baik, walaupun dalam keadaan cuaca yang kurang baik.

Menurut salah seorang peserta Mohd Roslan Mamat 25, yang memenangi pertandingan tempat pertama gelek tayar berkata aktiviti seperti itu memang dinanti-nanti oleh orang ramai terutama remaja seperti beliau yang amat meminati sukan rakyat.

“Aktiviti sukaneka yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Geliga Pantai seperti ini telah menjadi acara tahunan warga Geliga Pantai. Sehubungan itu, remaja seharusnya bersyukur dengan kerajaan yang ada sekarang kerana pihak begitu prihatin dengan minat orang muda kini.,” katanya.

Nafisah Jaafar 47, begitu gembira dengan sambutan yang diadakan seperti ini kerana dapat merapatkan hubungan antara penduduk kampung terutama golongan belia dengan orang kampung.

“Aktiviti seperti ini dapat mewujudkan semangat kerjasama dan perpaduan antara para peserta dalam satu-satu kumpulan tersebut,” katanya.

Orang ramai juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah melalui cabutan bertuah. Antara hadiah yang dimenangi seperti basikal, oven, kipas, pinggan mangkuk, dan pelbagai lagi barangan yang cukup menarik.

Pertandingan karaoke juga mendapat sambutan yang baik daripada semua lapisan umur tidak kira tua dan muda. Keadaan itu menjadikan suasana lebih meriah dengan pelbagai aksi peserta yang mencuit perasaan.