Halaman

13 October 2012

MARA Daerah Marang Anjur Program Kacau Bubur Lambuk.

Oleh :Amirullah Othman 


Sememangnya sangat nikmat jika dapat merasai beramai-ramai, itulah luahan hati semua pengunjung yang menghadir program Kacau Bubur Lambuk Peringkat Daerah Marang yang dianjurkan oleh MARA Daerah Marang di hadapan Pejabat MARA Daerah Marang hari ini.

Sebanyak 10 kawah bubur lambuk diwakili oleh 10 kumpulan yang terdiri dari daripada jabatan dan agensi menyertai pertandingan Bubur Lambuk yang dimenangi oleh Arkeb MARA daerah Marang.

Antara pasukan yang menyertai adalah Pejabat Daerah Marang, Majlis Daerah Marang, Kemas Daerah Marang, Kelab Myvi Negeri Terengganu, Arkeb MARA Daerah Marang, Arkeb MARA Bukit Payong, Peruncit Rusila, Risda Daerah Marang, Pejabat Agama Marang dan Usahawan MARA Daerah Marang.


Program ini telah dihadiri oleh Y.B.Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Tuan Haji Nik Dir Nik Wan Ku, Penolong Pegawai Daerah Marang, Ketua-ketua Jabatan dan pengunjung sekitar Bandar Marang.


Program ini sememangnya sangat baik untuk memperkenalkan juadah ini kepada anak-anak muda yang tidak pernah merasa bubur lambuk sebelum ini.


Jika kaedah pembuatan bubur lambu kini tidak diwarisi oleh golongan muda, sudah tentu resipi dan cara memasak masakan yang enak ini akan lenyap ditelan zaman.



 

Nasib Nelayan Terengganu Tidak Diabaikan

Nasib nelayan di Terengganu tidak pernah diabaikan sama sekali oleh pihak kerajaan negeri mahupun Pusat.

Menerusi program ‘Touch Point’ sejumlah RM211,049.00 peruntukan telah diluluskan oleh pihak kerajaan untuk membantu membaikpulih kolam dan sangkar ternakan kira-kira 887 golongan nelayan dan penternak di seluruh negeri ini.

Dato' Haji Ahmad Razif menunjukkan cara memakai jaket keselamatan dengan cara yang betul kepada seorang nelayan pantai. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, merangkap Adun Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman berkata program ‘Touch Point’ merupakan salah satu usaha pihak kerajaan untuk meningkatkan pendapatan serta mengurangkan bebanan kos operasi mereka (nelayan dan penternak).

Nelayan menolak bot yang dimuatkan unjam daun kelapa untuk diletakkan di beberapa lokasi bagi menambahkan lagi jumlah tangkapan ikan.
Menurut beliau, kerajaan negeri hari ini sentiasa berusaha mencari jalan untuk meningkatkan ekonomi penduduk setempat terutamanya para nelayan khususnya di perairan pantai Tok Jembal ini.

“Pelbagai bantuan telah diberikan seperti bantuan dalam bentuk makanan ikan,jaket keselamatan dan pemberian bot untuk kemudahan nelayan mencari rezeki halal untuk menyara keluarga.

Oleh hal yang demikan, saya berharap para nelayan dan penternak yang ada pada hari ini sentiasa mencari alternatif lain seperti mengusahakan satu produk baru berasaskan hasil tangkapan laut untuk memberi nilai tambah kepada produk sedia ada supaya pendapatan isi rumah penduduk di sini terus meningkat.” katanya.


Dalam ucapan perasmian Program Touch Point, Majlis Interaksi dan Pelancaran Unjam anjuran Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) Tok Jembal itu juga, Adun Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif turut menyatakan bahawa kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Seberang Takir sebagai “Sea Felda” atau Felda Laut.

“Pembangunan kawasan Seberang Takir akan dilaksanakan secara berperingkat tetapi masih mengekalkan tradisi nenek moyang dengan menjadikan laut sebagai sumber rezeki cuma kita akan gunakan pendekatan berbeza yang lebih sistematik.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM 9 juta untuk pembaikian pesisir pantai Tok Jembal ini selain RM 10 juta diperuntukkan dalam tahun 2006 hingga 2012 untuk pembinaan tukun konkrit penghalang pukat tunda di kawasan ini.”ujarnya.


Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu iaitu Profesor Ibrahim Mamat sedang berusaha mengumpul data penduduk setempat untuk mengukur tahap kemiskinan seterusnya membantu golongan ini menjana pendapatan berasaskan sumber laut.

Dalam menghadapi musim tengkujuh pula, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan sebanyak RM 200 sebulan kepada para nelayan menerusi peruntukan RM230 juta khusus buat golongan nelayan melalui pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini.

Justeru, Dato’ Haji Ahmad Razif mengharapkan golongan nelayan sentiasa menyokong Barisan Nasional supaya nasib mereka terus terbela.

Seramai kira-kira 250 orang hadir pada majlis perasmian tersebut. Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Haji Mohd Shafee Mohamad; Ketua-ketua KPEP dan ketua-ketua nelayan.

 

Kenaikan Gula Jangan Jadikan Isu Politik

Kenaikan harga gula mentah dunia telah menyebabkan harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Bahagian Penguatkuasa Bekalan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri ketika dihubungi berkata, walaupun harga gula telah meningkat tetapi bekalan gula tetap mencukupi untuk seluruh rakyat Terengganu.

Sehubungan itu, peruncit dan peniaga dinasihatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati kerana gula adalah di bawah barangan kawalan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh pihak KPDNKK sebelum ini, kenaikan harga gula tidak akan menjejaskan produk berasaskan minuman kerana penggunaan gula tidak banyak jika dibandingkan barangan lain.

Sebagai contoh, dalam secawan teh tarik hanya satu atau dua sudu kecil gula digunakan dan ianya tidak menjejaskan pendapatan perniaga. Justeru, kenaikan harga gula yang sangat minimum tidak seharusnya menjadi isu politik oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan kegelisahan di kalangan pengguna.



Rampas semula DUN Ladang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera pilihan raya Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang diminta bekerja keras bagi memastikan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi DUN Ladang pada pilihan raya akan datang dapat dicapai.

Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh, berkata pihaknya yakin ramai pengundi di kawasan tersebut telah sedar kesilapan mereka memilih calon Pas pada pilihan raya umum lalu.

“Jika jentera pilihan raya Umno bekerja lebih keras bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai apa yang telah Kerajaan BN buat dan apa keburukan Pas, kita akan menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Lebih 200 orang terdiri daripada jentera pillihanraya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Dato’ Haji Wan Hisham berkata, BN boleh merampas semula kawasan itu jika semua pihak mengembeleng tenaga untuk membantu calon yang dipilih oleh parti, tanpa mengira siapa calon berkenaan.

“Pada pilihan raya ini kita tidak mahu ada pihak yang mempertikaikan pemilihan calon dan melakukan sabotaj kerana tidak bersetuju dengan calon,” ujarnya.


Jentera Umno lakukan tugas mulia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Jentera pilihan raya Umno melakukan perbuatan mulia melalui tugas mereka mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata tugas yang dilakukan petugas Umno sekarang ini akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah kerana mereka berjuang untuk memastikan agama Islam terus menjadi agama rasmi negara.

Sebaliknya, kata beliau, perjuangan Pas yang didakwa jihad oleh pengikut parti itu bukannya jihad kerana mereka sering melakukan fitnah dan pelbagai perbuatan keji yang bercanggah dengan ajaran agama.

“Perjuangan Pas bukan jihad kerana mereka melakukan fitnah dan dakyah bagi memburuk-burukkan kerajaan BN yang bersusah payah menegakkan syiar Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Lebih 200 orang terdiri daripada jentera pillihanraya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh.

Haji Shamsuddin berkata, Umno dan BN menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan rakyat seluruh negeri, termasuk di bidang pendidikan dan agama.

“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu menukar kerajaan. Kini menjadi tugas besar jentera Umno untuk menjelaskan segala kekeliruan di kalangan rakyat supaya mereka menyokong Kerajaan BN pada PRU 13,” katanya.


UMT terajui usaha martabat Bahasa Melayu


Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diberi kepercayaan untuk menerajui usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau ini.

Sehubungan itu, sebuah Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara telah dibentuk dengan penyertaan 10 buah IPT iaitu enam dari Malaysia, tiga dari Indonesia manakala sebuah dari Brunei.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, majlis itu akan membincangkan kaedah atau pendekatan untuk menterjemahkan langkah mengangkat nilai bahasa Melayu ke tahap lebih tinggi dengan penggunaan lebih meluas. 

12 October 2012

UMT dan PKT bekerjasama teroka bidang penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Jalinan kerjasama antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Politeknik Kuala Terengganu (PKT) mampu meneroka dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Dekan FST, Prof Dr. Tengku Sifzizul Tengku Muhamad berkata, usahasama ini juga akan dapat merangka dasar yang bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ia dapat memberi peluang kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan sokongan melanjutkan pelajaran dan latihan di UMT,” katanya di Seminar Pemantapan Matematik (Semat) dan Majlis Menandatangani Surat Niat di antara FST dan PKT di UMT semalam.

Hadir sama Pengarah PKT, Hajah Radiah Che Su dan Penyelaras Program Semat, Prof Madya Dr. Sabri Ahmad serta 40 pelajar dan 11 pensyarah PTK mengikuti Seminar Semat.

Katanya, surat niat yang ditangani bersama ini antara lain akan mengadakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran berasaskan teknologi dan multimedia interaktif di samping menjalankan penyelidikan dan kajian bersama dalam bidang-bidang yang dikenalpasti.

Selain itu katanya, UMT juga menyokong dan menggalakkan pensyarah PKT melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran serta memberi peluang kepada pelajar lepasan Diploma menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda di UMT.

“Saya percaya pelajar PKT akan mengambil peluang ini untuk memantapkan diri dalam persediaan untuk mempelajari subjek matematik di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu katanya dapat merancakkan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan di negara ini serta melonjakkan nama institusi masing-masing ke peringkat antarabangsa.

 

MBKT bina terminal teksi RM350,000

Oleh: Suriati Ali

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan membina terminal teksi bernilai RM350,000 berdekatan Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, sebagai ganti kepada terminal teksi lama.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata kerja-kerja pembinaan terminal baru yang mempunyai 36 lot tempat letak teksi itu akan bermula bulan depan dan dijangka siap akhir tahun ini.

"Kerja-kerja pemindahan akan dilakukan bulan depan oleh kontraktor yang dilantik, dan buat sementara waktu, kita akan meletakkan kanopi untuk pemandu teksi memulakan operasi mereka," katanya.

Katanya, terminal itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk penumpang termasuk menempatkan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

“Pihak kami berharap dengan adanya terminal baru itu, ia akan melancarkan sistem teksi di bandar raya ini.

"Kita bina terminal teksi ini di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah bandar bagi memudahkan penumpang menggunakan perkhidmatan ini.

 "MBKT juga akan menyediakan tempat khas untuk pemandu teksi di Stesen Bas MBKT untuk memudahkan mereka mengambil dan menghantar penumpang. Namun jumlah teksi yang diletakkan di situ adalah terhad," katanya.



Zahafis utamakan kepuasan pelanggan

Oleh: Suriati Ali

Memperkenalkan slogan `Jemaah Mabrur Zahafiz Unggul..InsyaAllah’ membuatkan Zahafis Travel & Tour Sdn Bhd (Zahafis) terus mendapat kepercayaan pelanggan tempatan dan luar Malaysia.

Zahafiz dahulunya dikenali El-Rayan Travel & Tours Sdn Bhd dinaungi Pengerusi Eksekutif,Dato’ Haji Zainal Abidin Yusof beribu pejabat di Shah Alam, Selangor Syarikat yang mula ditubuhkan pada pertengahan 1996 kini giat melebarkan sayap perniagaan ke serata negeri dan luar Malaysia, termasuk Indonesia dan Singapura.

Bagi cawangan Zahafiz di Terengganu, ia diberi amanah kepada Haji Wan Mustapa Wan Othman supaya terus memperkenalkan puluhan produk dan perkhidmatan syarikat itu kepada masyarakat di Pantai Timur, khususnya Terengganu.

 Haji Wan Mustapa berkata dia berani menubuhkan Zahafiz di Terengganu selepas mendapat kepercayaan Dato’ Haji Zainal dan pihak pengurusan di Shah Alam supaya mengembangkan sayap perniagaan sedia ada.

“Saya nekad membuka operasi Zahafiz di Terengganu pada awal 2010 sambil dibantu tiga kakitangan berpengalaman kerana ingin membuktikan kepercayaan itu.

 “Pada masa sama ingin manyahut saranan kerajaan supaya lebih ramai Bumiputera melibatkan diri dalam bidang pelancongan bagi membangunkan ekonomi negara ketahap yang lebih membanggakan,” katanya.

 Zahafis menawarkan beberapa perkhidmatan menarik walaupun menyedari terdapat syarikat pelancongan lain turut berbuat demikian.

 Antara perkhidmatan itu, termasuk menyediakan perkhidmatan haji dan umrah; kemudahan pengangkutan Madinah dan Makah; penyediaan makanan masakan Malaysia dan mutawwif untuk membimbing jemaah.

 Perkhidmatan lain penghantaran barang; kursus umrah atau haji; menyediakan buku panduan, beg sandang dan membekalkan air zam – zam secara percuma. Menurut Haji Wan Mustapa, berkata rata-rata jemaah yang menggunakan perkhidmatan Zahafiz sebelum ini berpuas hati dengan apa yang ditawarkan.

"Kami menitikberatkan keselesan, kebajikan dan kemudahan pelanggan semata-mata tidak mahu timbul masalah dan sebarang rungutan apabila tiba di Tanah Suci.

 “Semua penginapan di tawarkan bertaraf empat ke lima bintang serta menyediakan kemudahan katering untuk setiap jemaah,” katanya.

 

Peluang baik ceburi industri minyak, gas negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Prospek dan peluang menceburi diri dalam industri minyak dan gas ini amat cerah dan begitu luas kepada sesiapa sahaja, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 “Saya merasakan tidak ada masa yang lebih baik dan sesuai dari sekarang, bagi penggiat industri untuk melibatkan diri dalam industri ini.

 “Saya percaya, penglibatan dalam industri ini merupakan langkah yang bijak dan bertepatan sekali. Oleh itu, saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan para peserta sekalian agar mengambil langkah yang tepat dan memberanikan diri untuk menceburi industri minyak dan gas ini,” katanya baru-baru ini.

Dato’ Mazlan juga percaya bahawa umum sudah sedia maklum Terengganu merupakan pengeluar gas petroleum utama di Semenanjung Malaysia di mana industri itu bertapak sejak di era 70-an lagi.

Katanya, beberapa loji pemprosesan gas dan petroleum yang beroperasi di Kerteh menjadi mercu tanda atau `landmark’ utama bagi negeri ini jika melalui laluan jalan raya melalui pantai menuju ke Kuantan.

Beliau berkata pelantar minyak juga dibina bagi mengeluarkan minyak mentah seperti petroleum dan gas asli di tengah-tengah laut. Pada masa kini, ExxonMobil yang menjadi rakan niaga Petronas bagi pihak Kerajaan Pusat menjalankan operasi di 43 buah pelantar minyak di sekitar perairan Terengganu.

Selain itu, beliau berkata Taman Polimer Kertih (KPP) diunjur mampu menarik pelaburan berjumlah lebih RM7 bilion selain bakal mewujudkan lebih 8,000 pekerjaan baru kepada penduduk negara ini dan Terengganu khasnya, menjelang 2020.

 KPP yang dibangunkan di Kompleks Industri Petroleum Petronas(PPIC) memfokuskan pembuatan produk berasaskan etilena berkembang maju dengan sokongan hasil penyelidikan dan juga pembangunan (R&D) bertaraf dunia oleh Pusat Teknologi Polimer Petronas (PPTC).

 “Sebagai pusat teknologi yang berpandukan pasaran, ianya akan mempertingkatkan tahap perkhidmatan teknikal pelanggan, di samping membantu dari segi penambahbaikan dan pembangunan aplikasi polimer.

 “Pusat ini juga akan mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara para pengeluar polimer dan pengusaha produk plastic di KPP dalam usaha meningkatkan standard bagi industri plastik dan polimer negara ini,” katanya.