Halaman

09 February 2013

RM32 juta baiki rumah, ganti atap

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM32 juta tahun ini bagi tujuan membaiki rumah penduduk miskin dan menggantikan atap kediaman yang bocor di seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya mengagihkan RM1 juta bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana mereka yang layak dikenal pasti melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kerajaan mahu penduduk di negeri ini mendiami rumah yang selesa dan tidak ada lagi masalah rumah yang atapnya bocor,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah penduduk yang uzur di Kampung Pondok Pasir, Kijal, hari ini.

 Salah seorang warga emas yang uzur dan berusia melebihi 100 tahun di kampung berkenaan, Nik Wook Nik Lah, turut dilawati Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Sebelum itu, beliau turut menyertai penduduk Kampung Bukit Takal bergotong-royong menggantikan atap empat buah rumah penduduk di kampung tersebut. Sempena program turun padang di DUN Kijal hari ini,

Dato’ Seri Haji Ahmad turut meluangkan masa menziarahi tujuh penduduk di beberapa kampung yang uzur.

“Program turun padang ini saya mulakan sejak lama dulu dan diteruskan hingga sekarang ini. Sempena program hari ini saya menyertai program membaiki atap rumah dan menziarahi orang sakit dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan RM11,000 disediakan bagi mengantikan atap rumah penduduk di Kampung Bukit Takal yang bocor.

 

Sambutan meriah, acara Walk About Kampung Cina dilanjutkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang memanjangkan tempoh masa sambutan Tahun Baru Cina 2013 kepada dua hari berikutan sambutan baik yang diterima di kalangan pengunjung ke acara Walk About Kampung Cina malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sambutan baik itu diharap supaya dapat menyemarakkan kehadiran pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Saya rasa sambutan pada kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya dan kita harap supaya ia dapat dirancang dengan lebih baik supaya dapat membantu menarik pelancong pada tahun ini serta tahun akan datang.

 “Kalau boleh saya mahu pastikan supaya jalan di Kampung Cina ditutup sepanjang dua hari bagi memastikan orang ramai yang pulang bercuti dapat meluangkan lebih masa menyaksikan acara sambutan ini di Kampung Cina (Esplanade),” katanya selepas melancarkan Majlis Walk About Kampung Cina bersempena Tahun Baru Cina 2013 di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Dato’ Seri Haji Ahmad meminta supaya Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dapat melancarkan usaha itu, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia untuk mengawal trafik dan tahap keselamatan orang ramai.


Selamat Tahun Baru Cina, moga perniagaan makin maju : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di negeri ini. Sempena tahun ular air pada kali, diharapkan supaya perniagaan mereka bertambah maju pada masa akan datang, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Selain itu, saya juga melihat kemeriahan sambutan pada tahun ini lebih berganda berbanding tahun sebelumnya dan ini membuktikan kejayaan kepada usaha kerajaan untuk menyemarakkan perpaduan serta persefahaman di kalangan semua masyarakat di negeri dan negara ini amnya.

“Saya juga yakin kedudukan ekonomi bertambah baik dan masyarakat Tionghua di negeri ini akan terus memberi sokongan kepada pembangunan negeri serta kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Walk About Kampung Cina bersempena Tahun Baru Cina 2013 di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.


Peniaga perlu daftar dengan SSM untuk dapatkan perlindungan insuran

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan memperuntukkan RM16 juta untuk melaksanakan skim perlindungan insuran berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang dikenali sebagai Pelan Insuran 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (Pimpin).

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan , Dato, Sri Ismail Sabri Yaakub berkata, skim ini akan mula dilaksanakan tahun ini.

“Peniaga perlu mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi Semenanjung Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media di Majlis Bicara Pengguna di Dewan Majlis Daerah Marang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Dato’ Md Arif Abdul Rahman dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar.

Katanya, setelah mendaftar peniaga secara automatik dilindungi insuran berkelompok tersebut dan jumlah insuran yang dilindungi adalah antara RM1,000 hingga RM5,000.

“Antara perlindungan yang diberi termasuklah kematian akibat kemalangan, keilatan akibat kemalangan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan, jenayah ragut serta kematian semulajadi,” katanya.

Selain itu katanya, KPDNK turut perkenalkan Skim Pembiayaan Mikro untuk membantu golongan penjaja dan peniaga kecil menambah modal pusingan atau membeli peralatan perniagaan yang lebih baik dan moden.

“Selain mempermudahkan proses pinjaman dan tempoh bayaran balik yang lebih panjang, peniaga boleh membuat pinjaman sehingga kadar maksimun RM50,000,” katanya.
 

Rumah terbuka Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku

Majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina 2013 akan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman esok, bagi meraikan warga bandaraya ini, khususnya di kalangan masyarakat kaum Tiong Hua.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Toh Chin Yaw dan pemimpin MCA Negeri Terengganu akan sama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

Orang ramai boleh mengahdiri majlis berkenaan yang diadakan dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari.

Atlet Sukma sehari bersama penduduk kampung

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Perasaan gembira dan teruja menyelubungi penduduk tiga buah kampung iaitu Kampung Buluh, Buluh Batu Bersurat dan Padang Tara apabila dapat bersua muka serta beramah mesra dengan 172 atlet Sukma Terengganu ke 16 di sini.

Kehadiran atlet Sukma meluangkan masa bersukaneka serta bermesra dengan penduduk di situ bagi menjayakan Program Sukaneka Rangkaian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) Bersama Atlet Sukma Terengganu ke 16 sempena Majlis Perasmian Penutup Program Mini Kem Siri 1 Sukma XVI 2013.

Salah seorang penduduk yang ditemui ,Encik Ahmad Noferi Ismail berkata, program seperti itu memberi peluang kepada penduduk kampung untuk mengenali atlet sukan yang selama ini hanya di lihat melalui media cetak atau televisyen sahaja.

“Saya sebagai peminat dan penyokong utama menharapkan atlet kita dapat mengekalkan gelaran juara pada Sukan Sukma akan datang serta meningkatkan lagi mutu sukan Negeri Terengganu” kata beliau kepada Teganu Kita di sini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Mohd Nor Othman dalam ucapan perasmiannya berkata, Terengganu kini bukan sahaja sebagai kuasa baru sukan di Malaysia tetapi sebagai negeri Anjung Ilmu hasil pemerintahan cemerlang Barisan Nasional serta sokongan rakyat.

“Rakyat berperanan penting untuk memastikan segala matlamat Kerajaan Negeri terus dapat di capai supaya perancangan yang di atur tidak berhenti separuh jalan sahaja.Ini bagi membolehkan Terengganu terus unggul pada masa akan datang,” katanya.


Umno Terengganu giat lancar siri ceramah

Oleh: Suriati Ali

 Penerangan Perhubungan Umno Terengganu sudah melancarkan beberapa siri ceramah besar-besaran di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjelaskan kepada rakyat berhubung program dan dasar kerajaan.

 Ketuanya, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penceramah berkenaan menyalurkan maklumat semasa mengenai bantuan dan program yang dilaksanakan Kerajaan BN bagi membantu rakyat tempatan, khususnya golongan berpendapatan rendah.

 “Pada masa yang sama penceramah Umno turut menjelaskan isu-isu semasa kepada seluruh rakyat Terengganu agar mereka tidak dikelirukan dengan fakta-fakta tidak tepat seperti ditimbulkan parti pembangkang dalam ceramah mereka,” tambahnya .

Katanya, sebelum ini, semua peti undi diarah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing, termasuk menyediakan bilik gerakan dan petugas daalm semua aspek, bagi memastikan kemenangan BN.

 “Umno negeri mengarahkan semua peti undi membentuk petugas bagi mengendalikan urusan pilihan raya seperti jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi, jawatankuasa penerangan, kewangan, perbekalan, ‘polling and counting agent’, keselamatan dan pengundi luar,” katanya.

 Dato’ Haji Ahmad Razif turut memberitahu, pihaknya yakin dengan persiapan yang teliti itu BN berpeluang untuk mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat negeri ini, termasuk daripada generasi muda.

 “Kita harap Umno dan BN akan terus menang pada pilihan raya kali ini dan kekal memerintah di Terengganu dan negara ini,” ujarnya.

 

Bekas penyokong Pas pilih Umno

Oleh: Noraini Jusoh

Semakin dekat hari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin ramai penyokong Pas keluar parti dan memilih Umno setelah timbul kesedaran dan kecewa dengan dengan sikap pemimpin pas yang hanya pandai menabur janji-janji kosong.

Ramly Abdullah, 53, dari Kampung Jerong Seberang, Marang merupakan salah seorang bekas penyokong Pas yang keluar dari parti tersebut dan memilih Umno kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan Pas.

Katanya, setelah 30 tahun lebih bersama Pas telah mula timbul kesedaran dalam dirinya untuk membuat perubahan.

"Walaupun di pulau oleh peyokong Pas setelah membuat keputusan untuk memilih Umno ia tidak mematahkan semangat saya.

"Saya akan terus membuat perubahan dalam masyarakat untuk mendapatkan pembelaan daripada kerajaan walaupun mendapat tentangan dari ahli Pas yang lain,” katanya ketika ditemui Teganukita pada majlis Selamat Tinggal Pas di kediaman Seri Iman, baru-baru ini.



Beliau yang pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas di kampungnya telah menjadi wakil kepada 80 bekas penyokong Pas Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Chempedak, Marang dan hadir bersama-sama mereka ke majlis tersebut untuk menyerahkan borang keahlian Umno masing-masing kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sementara itu, bagi Zulharimi Din pula, beliau melihat kepimpinan Pas tidak ada masa depan dan menyebabkannya memilih Umno.

"Apa yang saya lihat, Pas tidak cakna golongan pemuda kerana kurang aktiviti yang melibatkan golongan tersebut.

"Sedangkan, dalam Umno golongan pemudanya dapat melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti contohnya seperti pertandingan bola sepak yang selalu diadakan,” ujarnya.

Katanya, disebabkan Pas yang hanya pandai menabur janji-janji kosong, lebih baik beliau memilih Umno.

Wakil golongan muda, Mohd Zulfadly Zakaria, 28, berpendapat apabila bersama Pas susah hendak maju ke depan dan menyebabkan beliau bertekad untuk menyokong Umno.

 

08 February 2013

i-Heal tarik minat pusat rawatan luar negara

Oleh: Rozita Abd Wahab

 Persekitaran yang baik dan lokasi sesuai serta kos yang efektif memberi kelebihan kepada iHeal Medical Centre menarik minat pusat rawatan luar negara untuk bekerjasama memberi rawatan kepada pesakit.



 Hari ini pusat perubatan pakar yang beroperasi di Kuala Lumpur itu telah menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan Hospital RK charitas,Palembang Indonesia, di pusat perubatan itu.

 MoA itu ditandatangani Pengarah Perubatan iHeal Medical, Dr. David Khoo Sin Keat dengan Pengarah Rumah Sakit RK Charitas, Palembang, Professor Dr. Hardi Darmawan dan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar ketika ditemui pemberita selepas majlis itu memberitahu, pusat perubatan pakar yang beroperasi di Kuala Lumpur itu akan memberi perkhidmatan kesihatan khususnya rawatan penyakit jantung kepada pesakit dari Palembang.

“Hospital charitas merupakan hospital yang tertua di Indonesia dan telah beroperasi selama 87 tahun. Ia di buka sejak 1926.

Mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas. Cuma tak ada rawatan untuk pesakit jantung. Jadi jika sekiranya ada kes jantung boleh rujuk pada iHeal. Ia merupakan pasaran baru kepada kita. MoA ini adalah satu cara untuk iHeal tambah pesakit,” katanya.

Sementara itu menurut Professor Dr. Hardi Darmawan, Rumah Sakit RK Charitas memilih untuk bekerjasama dengan iHeal kerana misi iHeal sama dengan hospital berkenaan. Selain daripada itu, katanya mereka kagum dengan kepakaran yang dimiliki iHeal dalam menyediakan kemudahan kepada pesakit.




JKKK raikan 30 anak kampung yang berjawatan profesional

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 30 anak jati penghuni Perumahan Awam Seberang Jertih, di sini yang memegang pelbagai jawatan penting sebagai profesional akan diraikan dalam satu majlis Malam Penghargaan Transformasi Anak Bangsa yang akan diadakan di Dataran Rumah Awam Seberang Jertih pada 9 Februari.

Program anjuran Pejabat Penyelaras DUN Jertih dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam bertujuan memberi penghargaan kepada mereka yang berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Setiausaha JKKK Rumah Awam Seberang Jertih, Wan Mohamad Ibrahim berkata, pihaknya mengambil masih enam bulan membuat kajian terhadap sosio ekonomi dan pendidikan anak penghuni yang menetap di perumahan itu sejak 25 tahun lalu.

Katanya, haasil pendidikan yang berkualiti berikutan bimbingan ibu bapa dan bantuan kerajaan ramai anak penduduk memegang jawatan penting dalam bidang kedoktoran, jurutera, pensyarah dan akauntan.

Menurutnya, kejayaan itu mendorong pihak JKKK dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada ibu bapa serta anak mereka dalam program berkenaan.dalam pelbagai kmerjaya.

Beliau berkata, program pertama seumpama itu diharap dapat membangkitkan semangat dan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai kejayaan melahirkan anak yang cemerlang Idris yang juga

Pengerusi MARA akan merasmikan program itu dan menyampaikan sijil dan plug kepada mereka yang terpilih dalam program itu.