Halaman

01 August 2013

Jom beli barang raya di program jualan terus dari kilang

Oleh; Esah Abdullah 

Pelbagai jualan dan tawaran istimewa dibuat oleh peniaga dan juga agensi bagi menyemarakkan kedatangan Syawal yang bakal disambut minggu depan.

Encik Samsul Badrin
Ini termasuklah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) yang menganjurkan ‘Program Jualan Terus Dari Kilang Peringkat Negeri Terengganu’ (Jom Beli Barang Raya) di Perkarangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu bermula 25 Julai hingga 7 Ogos ini.

Pengarahnya, Encik Samsul Badrin Mohshin berkata, program yang berlangsung selama 14 hari itu merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memberi peluang kepada rakyat mendapatkan pelbagai barangan pada harga lebih rendah berbanding harga di pasaran dan seterusnya mengurangkan beban perbelanjaan rakyat semasa musim perayaan Aidilfitri.

Menurutnya, program ini diadakan di setiap negeri tetapi pada tarikh yang berbeza dan daripada pengalaman sebelum ini, program berkenaan mendapat sambutan daripada pengguna dan juga peniaga di negeri ini.

“Pelbagai barangan keperluan hari raya terutama pakaian raya dan barangan berjenama dijual pada harga yang istimewa dan jualan terus ini telah memasuki tahun ketiga dengan matlamat mengurangkan beban rakyat ketika menyediakan persiapan menyambut perayaan.

“Sebanyak 80 gerai dibuka melibatkan peniaga tempatan dan juga luar bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi dan waktu perniagaan mulai jam 10 pagi hingga 10 malam dengan menjual pelbagai produk dari pelbagai kategori untuk keperluan menyambut hari raya.

Katanya pelanggan yang membuat pembelian RM50 ke atas akan mendapat nombor cabutan bertuah dengan mengajikan pelbagai hadiah menarik yang bakal dimenangi yang akan dilakukan majlis cabutan pada hari terakhir jualan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud akan melakukan majlis pelancaran karnival bersebelahan premis Perbadanan Perpustakaan Awam negeri pada jam 2.30 petang ini

 

Pelbagai pengisian menarik sempena BBK 2013


Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka bakal mengadakan majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2013 peringkat Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam pada 9 Oktober depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka akan merasmikan majlis pelancaran BBK yang merupakan salah satu acara tahunan negara bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, pihaknya menyasarkan 50 peratus peserta terdiri daripada belia dan pelajar institusi pengajian tinggi akan menyertai program tersebut.

"Bersandarkan pendekatan merakyatkan bahasa dan sastera kebangsaan dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum, program berkenaan turut melibatkan kakitangan perkhidmatan awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO),serta masyarakat bukan Melayu.

"Selain mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan, program tersebut bertujuan menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara," ujarnya.

Sempena sambutan BBK yang bertemakan ‘Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita’ pelbagai program akan diadakan seperti kembara bahasa, pameran, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, pementasan teater, sayembara deklamasi puisi dan menulis cerpen serta pelbagai lagi acara menarik yang lain.


Pengundi di DUN Kuala Besut tidak lalai


Dato'Haji Wan Zakaria Abd Rahman

Oleh: Mohammad Ishak 

Pengundi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak lalai sebaliknya pilihan mereka mengundi calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, amat tepat dan bijak.

Malah, sikap pengundi di DUN berkenaan amat waras dan berfikiran matang kerana meneruskan piihan terhadap BN dengan menolak calon Pas.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Besut,Dato' Wan Zakaria Abd Rahman berkata, tindakan Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Aziz Nik Mat, menganggap penduduk Kuala Besut sebagai lalai dan mengetepikan tanggungjawab terhadap agama kerana memilih BN pada Pilhan Raya Kecil Rabu lalu, kerana cemburu dengan kejayaan BN.

Katanya, penduduk Kuala Besut tahu menilai kerana PAS bukan agama sebaliknya hanya sebuah parti politik dan sebab itu mereka menolak perjuangan parti itu.

Wan Zakaria yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama empat penggal menolak dakwaan Nik Aziz kehidupan rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan menyebabkan mereka sukar membuat pilihan terbaik untuk menaik taraf kehidupan mereka terutama berfikir demi kepentingan agama.

Beliau berkata, penduduk Kuala Besut sebenarnya sudah maju dalam pelbagai aspek kehidupan bukan sekadar nelayan malah ramai antara mereka sudah menjadi taukeh bot laut dalam dan dalam indistri pelancongan pula mereka mempunyai chalet dan dan bot pelancong.

“Adalah dangkal menuduh penduduk Kuala Besut masih ditahap lama dan berfikiran sempit.sebaliknya mereka juga berpengetahun tinggi dalam bidang agama,” katanya.

Wan Zakaria mengulas kenyataan Nik Aziz yang menganggap pengudi Kua Besut menolak agama Islam dibawa Pas kerana terus memilih calon BN untum kekal di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mubalih, Che Ku Rahman Che Ku Abdullah,74, yang juga bapa kepada calon BN Tengku Zaihan berkata,sewajarnya penduduk Kuala Besut menolak calon PAS kerana parti itu berjuang bukan kerana agama Islam.

Katanya, terlalu banyak fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas mendorong pengundi di DUN Kuala Besut menolak parti itu kerana banyak yang mengelirukan dan memecah belah umat Islam sendiri.

“Rakyat Kuala Besut paling cerdik dan mempunyai maruah tersendiri apabila menghancurkan angan-angan pemimpin Pas untuk menolak BN pada PRK berkenan sekali gus mengketepikan harapan untuk mereka memerintah Terengganu,” katanya. 

Jualan rempah murtabak laris

Oleh; Esah Abdullah 

Murtabak merupakan hidangan ‘wajib’ bagi penggemar menu tersebut ketika berbuka puasa dan tidak hairanlah peniaga juadah tersebut tumbuh bagai cendawan. .

Namun keenakan makanan tersebut bergantung kepada rempahnya dan setiap pelangan pasti mencari murtabak yang boleh membuka selera samaada perisa ayam atau daging.

Puan Syima menunjukkan pelbagai rempah dikedainya
Seorang peniaga rempah, Puan Syima Mohamad, 38, berkata, jika pada hari biasa rempah tersebut dijual sekitar 100 kilo dalam tempoh sebulan yang dibeli oleh peniaga pasar malam sahaja namun dengan kedatangan Ramadan peniaga bertambah termasuk mereka yang menjual murtabak dan tempias turut terkena kepada peniaga rempah sepertinya.

 “Sebelum Ramadan lebih 100 kilogram (kg) rempah murtabak sudah terjual manakala pada minggu kedua lebih 200 kg telah terjual,” katanya.

Menurutnya,seorang peniaga biasanya membeli dengan kuantiti yang banyak, dan ada sehingga 40 kg seorang. Sebab itu, sebelum kedatangan Ramadan, kami memastikan bekalan rempah terutama murtabak adalah mencukupi.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum, rempah murtabak terjual sekitar lebih 400 kg, iaitu tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Katanya, setiap rempah ratus yang dijual secara kilogram berharga RM4 bagi 100 gram sahaja dan sedia juga menerima tempahan.

“Selain menjual rempah yang dijual secara kilogram, kami jua menjual rempah secara paket bagi setiap hidangan dengan disertakan bersama resipi cara memasak,” katanya.
 

31 July 2013

Dua penggiat seni Terengganu terima `duit raya' RM10,000 seorang

Oleh: Aida Abd Rahman, Nurul Suraya Abdul Sukur dan Mohd Hafizuddin Taha (Pelatih)

Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma kira-kira seminggu lagi lebih bermakna buat dua penggiat seni Terengganu yang sedang uzur, apabila menerima `duit raya’ RM10,000 seorang , hari ini.



Sumbangan kerajaan negeri yang diluluskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco pertengahan bulan lalu, disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee kepada Encik Mazlan Zakaria, 53,dan Puan Habsah Jusoh,65, di rumah masing-masing, di Kampung Tasek, Bukit Payong dan Flat Kampung Kolam, Kuala Terengganu.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengharapkan sumbangan RM10,000 seorang itu daripada kerajaan dapat meringankan beban yang sedang mereka hadapi termasuk menanggung kos perubatan mereka.

Encik Mazlan aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan seterusnya menyertai perkumpulan teater Komputer dan pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada era 1990-an.

Bapa kepada tujuh itu mengidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kini kaki kanannya turut dipotong untuk mengelak jangkitan kuman.

Sementara Puan Habsah yang terkenal sebagai penyanyi lagu asli dan rakyat Terengganu seperti , Ulek Mayang, Anak Burung Baniong, Anak Udang dan Watimang Landak pernah memenangi Anugerah Tokoh Penggiat Muzik Terengganu 2010.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan mama mengidap serangan strok dan sering berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.


 





Kakitangan kerajaan negeri terima duit raya esok

Reaksi Menteri Besar kepada pemberita ketika mengumumkan kerajaan negeri akan membuat bayaran RM500 seorang kepada kakitangan awam mulai esok.
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan membuat bayaran khas kewangan sebanyak RM500 seorang kepada 6,795 orang penjawat awam di negeri ini mulai esok.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM3,397,500 dan jumlah berkenaan tidak termasuk bayaran kepada kakitangan badan berkanun yang turut menerima RM500 seorang.

Dato' Seri Haji Ahmad Said keluar dari bilik Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri bersama exco yang lain.
“Jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi bayaran khas kewangan kakitangan kerajaan negeri dan badan berkanun di negeri ini dianggarkan hampir RM7 juta,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Exco hari ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri untuk beri bayaran khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Besar berkata setakat ini belum diputuskan lagi.

“Portpolio berkenaan akan berjalan seperti biasa dengan tugas-tugasnya diambil alih oleh timbalannya iaitu YB Mohd Mahdi Musa,” katanya.
 

Yayasan Terengganu agih 800 bungkus bubur lambuk percuma

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor



Yayasan Terengganu mengagihkan 800 bungkus bubur lambuk percuma kepada pengguna jalan raya di laluan Jalan Sultan Ismail bagi menyemarakkan lagi sambutan Ramadan.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Zakaria Yusof berkata, tradisi mengagihkan sumbangan kepada masyarakat dilaksanakan setiap tahun oleh agensi berkenaan menjelang Aidilfitri.

"Tahun ini merupakan tahun kelima pihak kami mengadakan program seumpama ini dengan juadah yang berlainan.

"Jika tahun lepas diagihkan hidangan lauk berasaskan daging, kali ini kita sediakan bubur lambuk untuk masyarakat di luar sana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas selesai menyempurnakan pemberian bubur lambuk kepada penguna jalan raya di hadapan jabatan berkenaan, hari ini.

Katanya, pengagihan bubur lambuk tersebut adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihaknya terhadap masyarakat khususnya di bulan mulia ini.

Haji Zakaria berkata, seramai 40 orang kakitangan Yayasan Terengganu bergotong-royong memasak tiga periuk bubur lambuk sejak pukul 8 pagi untuk diedarkan kepada orang ramai.

 





Kanak-kanak istimewa ceria dihadiah baju raya

Oleh: Aida Abd Rahman

Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi memberi seribu pengertian kepada seorang pelajar kurang upaya, Siti Nooraini Abdullah, 5, apabila berpeluang memilih sendiri pakaian sempena hari raya di Mydin Mall, kelmarin.

Kanak-kanak istimewa itu ceria dan petah berkata-kata biarpun dilahirkan serba kekurangan, dibawa bersama 38 kanak-kanak lain daripada Pra Sekolah Pendidikan Khas, Pendidikan Khas dan Sekolah Kebangsaan Sultan Omar membeli belah di pasar raya itu oleh warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Nooraini yang tinggal bersama ibu dan neneknya di Dungun, kini bersekolah di Pra Sekolah Pendidikan Khas mengalami cacat kedua-dua kaki dan sebelah tangan berikutan kaki sebelah kiri mengerekot, sebelah lagi mereput dan kudung sejak lahir manakala, lima jari tangan kanannya turut kudung sejak kecil.

Dia yang cukup teruja terpilih ke program itu dengan ditemani gurunya, Haidatul Azila Johar, petah berbicara mengenai pakaian pilihannya semepana program itu yang dipilih berdasarkan warna diminatinya, iaitu hitam. 



Kanak-kanak malang itu yang seakan belum mengerti sepenuhnya kekurangan diri, memberitahu pernah diejek rakan, namun tetap mempunyai ramai rakan lain yang rapat dengannya dan tidak membezakannya. 

“Fadhil, Haikal, Muiz..semua kawan baik Nooraini. Ada juga yang ejek Nooraini, tetapi ada juga kawan-kawan yang layan Nooraini dengan baik.

 “Nooraini sekarang tinggal dengan tok dan Ummi, Ummi baik..,” katanya.

 Menurut Haidatul, Noraini antara kanak-kanak yang ceria di dalam kelas dan amat cerdas, walaupun dirinya dilahirkan cacat fizikal. 

“Walaupun dia tidak boleh berjalan, dia tidak menyusahkan guru apabila hendak ke tandas, dia pandai menguruskan dirinya sendiri, pandai basuh sendiri apabila buang air kecil atau air besar.

 “Alhamdulillah, Nooraini adalah budak pintar dan kita harap dia akan terus berkembang dengan baik sehingga mencecah alam remaja dan dewasa nanti,” katanya.





PENGUNDI KUALA BESUT SIFATKAN NIK AZIZ SEBAGAI ORANG ISLAM YANG TIDAK REDHA DENGAN KETENTUAN ALLAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Perbuatan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menghina pengundi Kuala Besut sebagai lalai dan mengenepikan agama kerana memilih calon Barisan Nasional (BN) baru-baru ini adalah terlalu biadab.
 Beberapa pengundi ditemui, meminta supaya Datuk Nik Aziz menarik balik kata-katanya yang celupar itu, apatah lagi turut pula menghina golongan nelayan yang memilih BN dengan mengaitkan dengan habuan wang.
Pengundi wanita, Maznah binti Daud berkata, perkataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari seorang yang disanjung oleh orang Pas sebagai ulamak dan berpengetahuan agama.
Beliau meminta supaya Nik Aziz menarik balik kata-kata yang menghina penduduk dan pengundi dalam Kuala Besut sebagaimana yang ditulis dalam Facebook Nik Aziz 26 Julai dan disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan. Tajuk tulisan Nik Aziz ialah Kuala Besut, Kuala Ujian.
  Nik Aziz dalam kenyataan itu menyifatkan penduduk Kuala Besut lalai apabila memilih BN dalam pilihanraya kecil baru lalu. Nik Aziz berkata, kehidupan rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan sukar membuat pilihan terutama demi kepentingan agama.
 Nelayan beri peluang cerah BN tabur projek dan habuan wang ringgit, kata Nik Aziz mengulas kemenangan BN dalam PRK Kuala Besut.
 Penyakit ghaplah atau lalai merajai penduduk Kuala Besut, kata Nik Aziz dalam FBnya.
  Seorang lagi pengundi, Kamarul Izwan bin Md Kamaruzzaman menyifatkan Nik Aziz sebagai orang Islam yang tidak redha dengan ketentuan Allah yang sepatutnya tidak berlaku kepada seorang yang berpelajaran agama seperti bekas Menteri Besar Kelantan itu.
 "Walaupun nelayan, ia tidak sepatut dihina dan dipandang rendah sebegitu rupa oleh Nik Aziz kerana nelayan juga manusia yang berjasa dan berperanan kepada masyarakat dan negara," katanya.
  Saiful Nizan Mohd Sabri, pengundi di pekan Kuala Besut meminta Nik Aziz memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan yang menghina penduduk Kuala Besut itu.
“Yang banyak tabur habuan wang ringgit, merasuahkan pengundi ialah Pas sendiri,” katanya yang menolak dakwaan Nik Aziz bahawa pengundi ditabur habuan wang ringgit menyebabkan mereka sokong BN di Kuala Besut baru lalu.

Peniaga, pemborong akur

Oleh; Esah Abdullah

Peniaga dan pemborong ayam di negeri ini mula mematuhi arahan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menetapkan harga ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram semasa skim kawalan harga musim perayaan tahun ini.

Tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang dan sekitar mendapati rata-rata peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu, dianggap masih tinggi pengguna, manakala peniaga dan pemborong ayam pula melihat penetapan tersebut merugikan

Penetapan harga ayam kepada RM7.70 itu turun sebanyak 70 sen daripada harga purata runcit sebelum ini sekitar RM8.50 dilaksanakan selama 17 hari bermula 26 Julai lalu sehingga 11 Ogos atau hari raya ketiga.

Seorang peniaga dan pemborong, Rafiah Ismail, 44, berkata, ayam kini di jual mengikut harga siling yang ditetapkan KPDNKK dengan RM7.70 kg, manakala harga borong pula adalah RM7.

“Harga yang ditetapkan kerajaan sedikit merugikan kami, tetapi tetap akur dengan keputusan tersebut. Sebab harga ayam hidup masih pada kadar harga yang sama sebelum ini, iaitu RM5.40 kg.

“Sekiranya, harga ayam hidup diturun juga, ia mungkin sedikit berbaloi sebab dengan kadar baru itu adakalanya tidak dapat membayar gaji pekerja,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Encik Shaharizan Rosli, 33 berkata, meskipun harga yang ditetapkan itu merugikan para peniaga namun perlu akur dengan arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menyelasaikan isu harga ayam.

“Para peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu tidak memberi keuntungan kepada kami. Pengguna juga telah sedia maklumkan berhubung harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, pihak KPDNKK juga sering turun padang membuat pemeriksaan, dan adalah mustahil arahan tersebut tidak dipatuhi oleh para peniaga.