Halaman

20 August 2013

Satu belanja RM20 juta tukar paip lama

Oleh: Suriati Ali

 Syarikat Air Terengganu (SATU) sudah membelanjakan RM20 juta bagi menukar paip lama di kawasan kritikal di Terengganu selepas dikenalpasti sentiasa berlaku kebocoran dan tekanan air rendah.

 Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong berkata, bagi tujuan sama, kerajaan negeri meluluskan RM10 juta untuk menukar paip lama di seluruh negeri , sepanjang tahun ini .

 

 Katanya, pihaknya mengenalpasti antara kawasan yang kerap mengalami gangguan terutama di daerah Kuala Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Wakaf Mempelam, Losong, Taman Semarak dan Gong Badak.

"Masalah utama yang dihadapi ialah tekanan air rendah dan sering berlaku gangguan air berpunca daripada rangkaian paip sedia ada sudah usang berusia lebih 20 tahun.

 "Kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa dan ketahannya tidak lagi terjamin,”katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya, di perkarangan pejabat Satu, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama meraikan majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud dan beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Wakil Rakyat.

 Kira-kira 1,000 jemputan hadir pada majlis yang diserikan dengan dendangan lagu raya dan pelbagai jenis menu, termasuk nasi dagang, nasi minya, ais cendol, lemang, ketupat, tapai dan pelbagai aneka kuih muih.

 "Melalui kajian dibuat, sudah tentu paip perlu diganti dengan rangkaian paip baru dengan menggunakan teknologi baru bagi memastikan bekalan air bersih di daerah ini sentiasa stabil,” katanya.

 "Perkara ini kita sudah dipanjangkan kepada kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan kerajaan negeri bersetuju menyediakan peruntukan tahun demi tahun mengikut keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan negeri," katanya.

 

Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu anjur Kempen Kibar Jalur Gemilang


Pengarah JPNIN,Terengganu, Burhanuddin Daud

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu, meneruskan tradisi penganjuran Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan pembabitan komuniti setempat menyambut Hari Kemerdekaan Negara Ke 56 pada setiap tahun.

Program membabitkan penyertaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terpilih di seluruh negara itu juga sebahagian usaha jabatan menggalakkan pembabitan semua pihak khususnya KRT dalam meningkatkan semangat patriotik dan perpaduan dalam masyarakat.

Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud berkata,pihaknya memilih 21 KRT dari seluruh negeri ini untuk menyertai pertandingan yang bermula dari 17 Ogos dan berakhir 17 September depan.

Katanya, satu majlis pelancaran kempen berkenaan akan diadakan di di Dataran Che Kundur,Lorong Haji Da,Kuala Terengganu, pada 24 Ogos ini.

Program dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu itu akan dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Menurutnya, jabatan memilih tiga KRT dari setiap daerah untuk menyertai pertandingan itu yang menawarkan wang tunai RM3,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan kepada tempat pertama.

Manakala nab johan akan menerima RM2,000,piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga RM1,000 bersama piala iringan dan sijil penyertaan.

Selain itu,katanya, lima hadiah saguhati bernilai RM500 turut disediakan untuk lima KRT yang terpilih.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama dan sokongan orang ramai yang tinggal di kawasan pentadbiran KRT terbabit supaya membabitkan diri dengan memasang jalur gemilang di rumah kediaman, premis perniagaan, bangunan pejabat dan jalan raya.

Pameran Air Tangan 22 Ogos - 21 Oktober

Oleh: Aida Abd Rahman

Muzium Negeri Terengganu berjaya mengumpul 250 koleksi lukisan yang memenangi hadiah utama pertandingan Melukis Citra Terengganu bermula 2005 hingga 2013.

Koleksi itu menjadi kebanggaan muzium kerana memiliki signifikan dari sudut sejarah serta perincian seni yang jitu.

Jurucakap muzium negeri berkata, pihaknya mengambil peluang untuk menonjolkan karya hebat itu kepada orang ramai menerusi Pameran Air Tangan yang berlangsung pada 22 Ogos hingga 21 Oktober ini.

“Kemunculan acara ini dianggap istimewa kerana ia membuka lembaran baru bagi pelukis mencurahkan bakat serta daya krestiviti masing-masing selain menjdi pencetus budaya menyayangi warisan sendiri di kalangan masyarakat umum.

 “Pertandingan dianjurkan bertemakan Citra Terengganu yang berpaksikan kepada budaya, sejarah, alam sekitar Terengganu itu sendiri,” katanya.

Katanya, buat julung kalinya, muzium negeri dengan berbesar hati menonjolkan koleksi terpilih citra melalui Pameran Air Tangan ini.

Menurutnya, muzium negeri mengharapkan agar ramai pelukis dan pencipta seni membuat peluang untuk menghayati aspirasi seni citra Terengganu.

“Bagi karyawan yang sudah menghasilkan karya berprestijini, pihknya berterima kasih dan berbangga dengan komitmen yang diberikan sepanjang penganjuran pertandingan itu.

“Pameran bertujuan memberi apresiasi terhadap seni lukis tanah air dengan memgumpul karya-karya terpilih dalam satu pameran,” katanya.

Katanya, pameran itu juga mampu memberi pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai citra negeri menerusi seni lukis.

Selain itu, pameran itu sebagai menyokong dan menyuntik motivasi kepada pelukis tanah air dalam proses kreativiti seni mereka.

Malah, ia juga diharap sebagai kaedah mempromosikan pertandingan Citra Terengganu yang merupakan sebagai satu aktiviti tahunan jabatan serta mengisi program muzium ke arah memperkasakan warisan menerusi medium seni lukis.

 

19 August 2013

UMT tuan rumah The Fourth WESTPAC Summer School

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor (pelatih)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya menganjurkan ‘The Fourth WESTPAC Summer School On The Seagoos Monsoon Onset Monitoring and Its Social & Ecosystem Impact (MOMSEI) selama lima hari bermula hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, IOC Sub Commisioon for the western Pacific (WESTPAC) telah memilih UMT untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran kali ke-4 program berkenaan.

“Program Summer School pada kali ini mengumpulkan 30 peserta daripada sembilan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Maldive, Sri Lanka, Bangladesh, Vietnam, Amerika Syarikat dan Myammar.

"Seminar yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai keadaan monsun di Asia, dan pada masa yang sama mengkaji kesan perubahan monsun terhadap aspek sosial dan ekosistem negara telah diadakan buat pertama kalinya di China, diikuti Thailand dan kembali semula ke China dan baru di Malaysia.

"Summer School sebenarnya berkenaan mengkaji tengkujuh dan monsun di Asia serta kesan kepada ekosistem dan juga sosial. Kajian cuaca amat penting kerana ia memberi kesan besar kepada aktiviti sosio ekonomi masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program tersebut, di Auditorium Inos, UMT, hari ini.

Katanya, musim monsun di Asia memainkan peranan besar dalam perkembangan agrikultur dan kesejahteraan penduduk di kawasan sekitar Asia.

"Jika berlaku kelainan cuaca, ia akan mengakibatkan masalah seperti banjir dan kemarau yang boleh menyebabkan terganggunya operasi agrikultur dan perpindahan ke kawasan yang lebih selamat.

"Ditambah pula jika musim monsun tiba lebih lambat daripada biasa, kesan yang paling dapat dilihat adalah seperti pertambahan suhu lautan yang mengakibatkan kepupusan terumbu karang.

"Atas dasar tersebut, amat penting untuk penyelidik mengenalpasti keadaan monsun di kawasan Asia untuk pelbagai kepentingan ekosistem dunia.

Menurut beliau, selain kesan terhadap ekosistem kedatangan monsun turut memberi kesan kepada sosio ekonomi masyarakat khususnya yang terlibat dengan sektor pertanian, pembinaan dan sebagainya.

"Sebagai contoh, musim tengkujuh yang kebiasaanya melanda Pantai Timur bermula bulan November sehingga Mac menyukarkan nelayan mencari rezeki sehingga memaksa kerajaan memberi subsidi bagi meringankan beban kewangan mereka.

"Secara tidak langsung, fenomena ini akan mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat kerana kemungkinan kesukaran mendapatkan sumber kewangan menjerat mereka untuk terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti dadah dan sebagainya,” ujarnya.

Jelas beliau, UMT dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama dengan First Institute of Oceanography, China selama ini menjalankan kajian bersama berkaitan dengan monsun yang bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam perubahan cuaca yang berlaku dari dulu sampai sekarang.

"Kalau kita tahu perubahan yang mungkin berlaku pada masa hadapan hasil daripada kajian monsun yang terdahulu, ia memberikan kita lebih keupayaan untuk meramal kesan di masa hadapan.

"Monsun adalah proses semulajadi yang memainkan peranan penting ke atas ekosistem. Sekiranya mempunyai ramalan awal berdasarkan kajian yang dibuat ia akan memberi kita satu kelebihan untuk mengetahui adakah akan semakin teruk atau tidak dan sekiranya teruk apa pula kesan kepada ekosistem dan tindakan terbaik yang harus diambil untuk mengatasinya,” katanya.

Seminar tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas sains keadaan di kawasan Asia yang mengalami musim Monsun, cara terbaik untuk memantau keadaan monsun di Asia Tenggara serta memantau keadaan terumbu karang.

Selain itu, ia juga memberi penerangan mengenai projek yang sedang dijalankan dan peserta akan dibawa ke kawasan yang mempunyai kelengkapan yang cukup untuk pemerhatian serta cara yang betul untuk menyimpan data dalam bidang mengkaji monsun.

 

Rakyat perlu sambut baik kempen kibar bendera-MB

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said memasang Jalur Gemilang pada beca roda tiga  selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Masyarakat pelbagai kaum di negeri ini diminta menjadikan acara Kibar Jalur Gemilang sebagai satu budaya setiap kali menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan tanpa menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan.

 Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, sebagai warga Malaysia, setiap rakyat perlu menyambut baik kempen itu sebagai satu kewajipan dan tanda terima kasih kepada negara.


Menurutnya, orang ramai tidak perlu segan-silu untuk mengibarkan bendera Malaysia di mana sahaja, sama ada di sekolah, rumah, pejabat, kedai malah pada kenderaan sendiri.

"Jangan harapkan bendera percuma, hadiah pertandingan dan habuan lain atau notis daripada pihak kerajaan sebagai syarat untuk kita kibarkan Jalur Gemilang.

 "Apa salahnya kita berbelanja untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara atau lebih dari itu kita sendiri yang keluarkan belanja untuk beri kepada orang lain, " katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, petang ini.

Dato' Seri Ahmad turut memberitahu, menerusi usaha tersebut, ia akan menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab untuk menghormati dan memelihara maruah negara.

 "Dalam hal ini, saya melihat bahawa sikap masyarakat yang menganggap Jalur Gemilang hanya sesuai dikibarkan di sekolah dan bangunan kerajaan juga harus dikikis kerana amalan mengibar bendera merupakan tanggungjawab bersama," ujarnya.


Majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat hadir menjayakan majlis yang diserikan dengan upacara perarakan masuk 56 Bendera Malaysia oleh Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) dan penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Pegawai Daerah.

 Tema bulan kemerdekaan ke-56 `Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’ bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa.

 

Pencuri telur penyu boleh didenda RM3,000

Oleh; Esah Abdullah 

Orang ramai yang mencuri telur penyu di kawasan rizab kerajaan boleh dihukum denda maksimun RM3,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Enakmen Penyu Negeri Terengganu 1995 (pindaan 1987).

Pengurus Pusat Konvervasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Terengganu, Encik Abd. Halim Mat Nor berkata, orang ramai diminta tidak berbuat demikian kerana ia menganggu usaha kerajaan membiak penyu yang semakin pupus.

“Kita dapat mengesan beberapa kes kecurian dan ada pihak mencuri telur penyu ditempat dieramkan seperti di PKPP di negeri ini,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai tidak menganggu penyu bertelur di pantai bagi menggalakkan penyu berkenaan mendarat di pantai terutama pada musim bertelur sekitar April hingga September setiap tahun.

Katanya, setakat ini pihaknya berjaya mengeramkan hampir 180,000 telur penyu agar di kawasan rizab kerajaan di negeri ini.
 

Tiga KRT Daerah Besut dipilih mewakili Besut ke Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu.


Noor Almizan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pengerusi KRT Bandar Jertih.

Oleh: Mohammad Ishak 

Pejabat Perpaduan Daerah Besut, memilih tiga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah itu untuk mewakili daerah ke Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu, tahun ini.

Pegawai Perpaduan Daerah,Nor Almizan Mahmood berkata, tiga KRT terbabit ialah KRT Bandar Jertih, mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, KRT Lay Out Tok Saboh (DUN Kuala Besut) dan KRT Perumahan Awam Pengkalan Nyireh, dari DUN Kota Putera.

Katanya, tiga KRT terbabit adalah antara 48 KRT yang ada di daerah itu dipilih berdasarkan beberapa kretiria yang ditetapkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu selaku penganjur.

Menurutnya, pertandingan Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan itu bermula pada 17 Ogos dan berakhir 17 September ini. Satu majlis taklimat dan penyerahan Jalur Gemlang kepada KRT yang terpilih menyertai pertandingan itu diadakan di Pejabat Perpaduan Daerah Besut, semalam.

Sehubungan itu, Nor Almizan berharap, komuniti yang tinggal di kawasan pentadbiran KRT terbabit turut sama memberi sokongan dan kerjasama dengan memasang jalur gemilang di rumah, pejabat dan premis masing-masin sepanjang tempoh pertandingan berkenaan berjalan.

Menurutnya, penal hakim pertandingan itu diwakili tiga pegawai mewakili Pejabat Tanah dan Daerah, Majlis Daerah Besut, Pejabat Kesihatan Daerah,Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Pelajaran Daerah.

Duta Besar Jepun kagumi keunikan Terengganu

Mr Shigeru Nakamura (kiri) kagum sambil melihat gambar santuari gajah ketika membuat kunjungan hormat Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun, Mr Shigeru Nakamura dalam pertemuan di Hotel Primula Becah Resort, Kuala Terengganu, tengahari ini.

Dalam pertemuan pertama kali itu, kedua-dua pemimpin saling berkongsi pengalaman dan bercerita perkembangan dalam pelbagai sektor serta meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam bidang yang mampu menjana ekonomi kedua-dua pihak.

Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud (kanan) bertukar cenderahati meraikan lawatan isteri Duta Besar Jepun, Mrs Anna Nakamura.
Mr Shigeru yang mengadakan lawatan sehari ke negeri ini dengan ditemani isteri, Mrs Anna Nakamura sebelum itu menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, kira-kira jam 10 pagi.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis itu dengan diiringi Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.


Sejurus pertemuan di hotel yang berakhir dengan acara bertukar-tukar cenderati kenang-kenangan, rombongan kemudiannya dibawa mengunjungi Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man dengan menaiki tram khas bagi melawat monumen senibina Islam dan juga Masjid Kristal.

Mr Shigeru dan isteri turut berpeluang meninjau lebih dekat pemandangan dan khazanah semula jadi di sepanjang sungai Terengganu menerusi `river cruise' yang disediakan TTI.

Rombongan ternyata kagum dan tertarik dengan produk pelancongan yang terdapat di sepanjang pesisir sungai Terengganu dan TTI termasuk keunikan Tasik Kenyir menerusi buku khas mengenai tasik buatan manusia itu yang dihadiahkan kepada beliau sempena kunjungan ke negeri ini.



Bertanding secara sihat – Ketua Pemuda Umno KT

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki (gambar) , meminta pemimpin dan ahli
Umno yang bakal bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan tahun ini supaya berkempen secara sihat dan tidak melakukan kegiatan yang boleh menjejaskan parti.

Beliau berkata, tidak ada gunanya mereka memegang jawatan tinggi hasil perebutan kuasa hingga menimbulkan perpecahan kepada parti kerana ia akan menguntungkan pihak lawan.

 “Umno tidak mampu lagi menanggung pelbagai masalah selepas pemilihan kali ini kerana ia akan melemahkan parti dan menguntungkan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya yang juga Pegawai Khas Kepada Menteri Besar bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Badrol Hisham yang melepasi umur kelayakan Pemuda, ketika dihubungi Teganukita hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut bagi membantu memperkukuhkan parti, terutama dalam menghadapi parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

 “Jika diberi kepercayaan oleh para perwakilan, saya akan sama-sama membantu pimpinan di peringkat bahagian bagi menebus kekalahan Barisan Nasional (BN) di semua kerusi DUN dan Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya.

Katanya, beliau sedia bekerja sama dengan semua pemimpin yang bakal bertanding pada pemilihan peringkat bahagian nanti asalkan mereka tidak melampaui batas dan menjadikan perpaduan parti sebagai agenda utama.

 

140 peserta bakal sertai PGM Terengganu Master 2013

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu terus menganjurkan Kejohanan Golf `PGM Terengganu Master 2013 bertempat di lapangan Awana Kijal Golf Beach & Spa Resort, Kemaman.

Presiden Persatuan Golf Terengganu (PGT) Ahmad Zubir Azhari berkata kejohanan yang berlangsung selama empat hari dan bermula 21 Ogos itu bakal disertai 140 peserta dari 19 negara.

 Antara negara yang bakal menyertainya, termasuk Afrika, Australia, Thailand, Filipina, Indonesia, Taiwan, Brunei, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea, India dan Burma.

Katanya, semua peserta yang sudah mendaftarkan diri itu adalah di kalangan pemain-pemain terbaik dan professional.

 “Kejohanan tersebut merupakan antara usaha kerajaan Terengganu untuk menarik minat pengunjung tempatan dan luar negara.

 “Pihak kami percaya melalui pendekatan seumpama ini, konsep sukan melalui pelancongan mampu dijayakan, seterusnya mencapai hasrat Tahun Melawat Terengganu 2013,” katanya.

 Menurutnya, kerajaan negeri yang menyumbangkan RM400,000 berusaha menjadikan PGM Terengganu Master sebagai acara tahunan yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf tempatan dan luar negara.

 “Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelbagai pihak menganjurkan lebih banyak acara seupama ini.

 “Setiap peserta yang mengunjungi Terengganu bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai destinasi menarik seperti pantai dan pulau malah mampu membantu peniaga mempromosi produk masing-masing,” katanya.