Halaman

19 August 2013

140 peserta bakal sertai PGM Terengganu Master 2013

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu terus menganjurkan Kejohanan Golf `PGM Terengganu Master 2013 bertempat di lapangan Awana Kijal Golf Beach & Spa Resort, Kemaman.

Presiden Persatuan Golf Terengganu (PGT) Ahmad Zubir Azhari berkata kejohanan yang berlangsung selama empat hari dan bermula 21 Ogos itu bakal disertai 140 peserta dari 19 negara.

 Antara negara yang bakal menyertainya, termasuk Afrika, Australia, Thailand, Filipina, Indonesia, Taiwan, Brunei, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea, India dan Burma.

Katanya, semua peserta yang sudah mendaftarkan diri itu adalah di kalangan pemain-pemain terbaik dan professional.

 “Kejohanan tersebut merupakan antara usaha kerajaan Terengganu untuk menarik minat pengunjung tempatan dan luar negara.

 “Pihak kami percaya melalui pendekatan seumpama ini, konsep sukan melalui pelancongan mampu dijayakan, seterusnya mencapai hasrat Tahun Melawat Terengganu 2013,” katanya.

 Menurutnya, kerajaan negeri yang menyumbangkan RM400,000 berusaha menjadikan PGM Terengganu Master sebagai acara tahunan yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf tempatan dan luar negara.

 “Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelbagai pihak menganjurkan lebih banyak acara seupama ini.

 “Setiap peserta yang mengunjungi Terengganu bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai destinasi menarik seperti pantai dan pulau malah mampu membantu peniaga mempromosi produk masing-masing,” katanya.