Halaman

19 August 2013

Maidam sedia bantu kerajaan bawa pulang pelajar

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membawa pulang pelajar ke tanah air jika keadaan memerlukan berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutinya, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh (gambar kecil) berkata, Maidam akan membantu dari segi kewangan untuk melancarkan operasi di Kuala Lumpur , Mesir dan Jedah.

“Situasi yang sama pernah berlaku pada 2011 di Mesir dan Maidam telah mengeluarkan perbelanjaan berjumlah RM1.2 juta bagi mengurus kepulangan pelajar kita dari Mesir ke Terengganu,” katanya kepada pemberita di Pejabatnya semalam.

Dalam situasi hari ini katanya, pihaknya sedia memberi kerjasama dan menunggu berita selanjutnya sama ada perlu memindahkan pelajar kita di sana atau sebaliknya.

Katanya, setakat ini tidak ada pelajar tajaan Maidam menuntut di Mesir tetapi terdapat pelajar-pelajar di bawah bantuan Maidam sahaja.

“Seperti tahun 2011, Maidam akan bersama-sama kerajaan negeri membantu menguruskan kepulangan pelajar kita jika mendapat arahan,” katanya.

Menurutnya Maidam juga sedang memantau keadaan yang berlaku di Mesir dan berharap pelajar tempatan tidak terlibat dalam demostrasi serta mencampuri urusan rakyat di negara itu.

 “Pelajar juga perlu bergerak ke tempat-tempat yang diyakini selamat seperti ke rumah pelajar negeri sahaja dan tidak cuba berkomunikasi melalui media sosial dengan orang luar mengenai pergolakan yang berlaku kerana akan mengundang bahaya,” katanya.

Katanya, jagalah keselamatan diri masing-masing dan kerajaan akan membawa mereka pulang ke tanah air sebaik sahaja menerima arahan dari pihak berkuasa.