Halaman

18 August 2013

JPJ kesan plat motosikal tertera ucapan hari raya

Oleh: Aida Abd Rahman

Segelintir pemilik kenderaan khususnya motosikal di negeri ini dipercayai kreatif tidak bertempat apabila sanggup melanggar undang-undang jalan raya dengan memasang nombor plat yang tertera ucapan hari raya pada kenderaan masing-masing.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie, berkata pihaknya mula mengesan trend itu pada hari raya ketiga, iaitu 10 Ogos lalu melibatkan empat kes termasuk sebuah kereta.

 “JPJ negeri ini mula mengesan kes itu di sekitar bandar raya serta daerah Setiu dan kita percaya mereka menempah khas nombor plat pendaftaran tersebut di kedai tertentu serta bertindak sedemikian bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri.

"Kita telah mengesan trend yang rata-ratanya dilakukan golongan remaja melalui rondaan harian dan beberapa sekatan jalan raya sepanjang musim perayaan dan kesemua pesalah telah disaman serta diberikan notis arah periksa,” katanya.

Tuan Abdul Rahman Emang Anyie berkata, menggunakan nombor plat pendaftaran yang dihias dengan ucapan hari raya adalah menyalahi undang-undang kerana nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan terlalu kecil dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPJ.

Beliau berkata, kes seumpama itu yang dilakukan warga tempatan negeri ini merupakan kes pertama kali dikesan berlaku ketika sambutan hari raya kali ini.

 “Kita nasihatkan mana-mana pemilik kenderaan yang masih berbuat demikian diingatkan agar tidak melakukan kesalahan berkenaan walaupun sekadar untuk memeriahkan suasana perayaan kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya .