Halaman

19 August 2013

UMT tuan rumah The Fourth WESTPAC Summer School

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor (pelatih)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya menganjurkan ‘The Fourth WESTPAC Summer School On The Seagoos Monsoon Onset Monitoring and Its Social & Ecosystem Impact (MOMSEI) selama lima hari bermula hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, IOC Sub Commisioon for the western Pacific (WESTPAC) telah memilih UMT untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran kali ke-4 program berkenaan.

“Program Summer School pada kali ini mengumpulkan 30 peserta daripada sembilan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Maldive, Sri Lanka, Bangladesh, Vietnam, Amerika Syarikat dan Myammar.

"Seminar yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai keadaan monsun di Asia, dan pada masa yang sama mengkaji kesan perubahan monsun terhadap aspek sosial dan ekosistem negara telah diadakan buat pertama kalinya di China, diikuti Thailand dan kembali semula ke China dan baru di Malaysia.

"Summer School sebenarnya berkenaan mengkaji tengkujuh dan monsun di Asia serta kesan kepada ekosistem dan juga sosial. Kajian cuaca amat penting kerana ia memberi kesan besar kepada aktiviti sosio ekonomi masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program tersebut, di Auditorium Inos, UMT, hari ini.

Katanya, musim monsun di Asia memainkan peranan besar dalam perkembangan agrikultur dan kesejahteraan penduduk di kawasan sekitar Asia.

"Jika berlaku kelainan cuaca, ia akan mengakibatkan masalah seperti banjir dan kemarau yang boleh menyebabkan terganggunya operasi agrikultur dan perpindahan ke kawasan yang lebih selamat.

"Ditambah pula jika musim monsun tiba lebih lambat daripada biasa, kesan yang paling dapat dilihat adalah seperti pertambahan suhu lautan yang mengakibatkan kepupusan terumbu karang.

"Atas dasar tersebut, amat penting untuk penyelidik mengenalpasti keadaan monsun di kawasan Asia untuk pelbagai kepentingan ekosistem dunia.

Menurut beliau, selain kesan terhadap ekosistem kedatangan monsun turut memberi kesan kepada sosio ekonomi masyarakat khususnya yang terlibat dengan sektor pertanian, pembinaan dan sebagainya.

"Sebagai contoh, musim tengkujuh yang kebiasaanya melanda Pantai Timur bermula bulan November sehingga Mac menyukarkan nelayan mencari rezeki sehingga memaksa kerajaan memberi subsidi bagi meringankan beban kewangan mereka.

"Secara tidak langsung, fenomena ini akan mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat kerana kemungkinan kesukaran mendapatkan sumber kewangan menjerat mereka untuk terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti dadah dan sebagainya,” ujarnya.

Jelas beliau, UMT dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama dengan First Institute of Oceanography, China selama ini menjalankan kajian bersama berkaitan dengan monsun yang bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam perubahan cuaca yang berlaku dari dulu sampai sekarang.

"Kalau kita tahu perubahan yang mungkin berlaku pada masa hadapan hasil daripada kajian monsun yang terdahulu, ia memberikan kita lebih keupayaan untuk meramal kesan di masa hadapan.

"Monsun adalah proses semulajadi yang memainkan peranan penting ke atas ekosistem. Sekiranya mempunyai ramalan awal berdasarkan kajian yang dibuat ia akan memberi kita satu kelebihan untuk mengetahui adakah akan semakin teruk atau tidak dan sekiranya teruk apa pula kesan kepada ekosistem dan tindakan terbaik yang harus diambil untuk mengatasinya,” katanya.

Seminar tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas sains keadaan di kawasan Asia yang mengalami musim Monsun, cara terbaik untuk memantau keadaan monsun di Asia Tenggara serta memantau keadaan terumbu karang.

Selain itu, ia juga memberi penerangan mengenai projek yang sedang dijalankan dan peserta akan dibawa ke kawasan yang mempunyai kelengkapan yang cukup untuk pemerhatian serta cara yang betul untuk menyimpan data dalam bidang mengkaji monsun.