Mr Shigeru Nakamura (kiri) kagum sambil melihat gambar santuari gajah ketika membuat kunjungan hormat Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said. |
Gambar oleh Zulkipli Putra
Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun, Mr Shigeru Nakamura dalam pertemuan di Hotel Primula Becah Resort, Kuala Terengganu, tengahari ini.
Dalam pertemuan pertama kali itu, kedua-dua pemimpin saling berkongsi pengalaman dan bercerita perkembangan dalam pelbagai sektor serta meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam bidang yang mampu menjana ekonomi kedua-dua pihak.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud (kanan) bertukar cenderahati meraikan lawatan isteri Duta Besar Jepun, Mrs Anna Nakamura. |
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis itu dengan diiringi Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.
Sejurus pertemuan di hotel yang berakhir dengan acara bertukar-tukar cenderati kenang-kenangan, rombongan kemudiannya dibawa mengunjungi Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man dengan menaiki tram khas bagi melawat monumen senibina Islam dan juga Masjid Kristal.
Mr Shigeru dan isteri turut berpeluang meninjau lebih dekat pemandangan dan khazanah semula jadi di sepanjang sungai Terengganu menerusi `river cruise' yang disediakan TTI.
Rombongan ternyata kagum dan tertarik dengan produk pelancongan yang terdapat di sepanjang pesisir sungai Terengganu dan TTI termasuk keunikan Tasik Kenyir menerusi buku khas mengenai tasik buatan manusia itu yang dihadiahkan kepada beliau sempena kunjungan ke negeri ini.