Halaman

20 August 2013

Maidam pelawa anak asnaf sertai Akademi Kulinari kemasukan Januari

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mempelawa anak golongan asnaf dan
miskin di seluruh Terengganu yang berminat di bidang kulinari supaya mendaftar bagi kemasukan sesi ketiga bermula Januari/Februari ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Salleh (gambar), berkata projek Akademi Kulinari di hadapan Penjara Terbuka Marang yang dibangunkan menerusi Yayasan Waqaf Malaysia menggunakan peruntukan RM2.1 juta di atas tanah wakaf am dengan konsep `Built-Operate-Transfer’.

“Bangunan itu akan diserahkan kepada Maidam selepas 10 tahun atau suatu tempoh yang lebih awal.

“Akademi kulinari ini dikendalikan bersama oleh Maidam, Yayasan Waqaf Malaysia dan Giat Mara,” katanya.

Dato’ Mohd Rozali berkata akademi itu sedang melatih seramai 40 orang pelajar sesi kedua di kalangan anak fakir dan miskin Terengganu dalam bidang pembuatan kek dan roti.

Menurutnya, seramai 37 pelajar sudah mengikuti kursus itu pada sesi pertama dan setiap pelajar mendapat bantuan mengikuti kursus berjumlah RM1,400 sebulan selama enam bulan (satu sesi), selain masing-masing wang saku RM200 disediakan oleh Giat Mara.

“Apabila tamat latihan, Maidam bersedia memberikan bantuan modal niaga untuk mengeluarkan keluarga mereka dari kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, selain akademi berkenaan, projek pembangunan Maidam menerusi peruntukan Yayasan Waqaf Malaysia termasuk pembinaan Hotel Wakaf, berhampiran Masjid Abidin melibatkan RM41 juta di atas tanah yang dimiliki Maidam sejak 1970-an.

Katanya, tanah itu dipajakkan kepada Yayasan Waqaf Malaysia selama 25 tahun dan tiada langsung menggunakan duit zakat dalam projek pembinaan hotel berkenaan.