Halaman

19 August 2013

Bertanding secara sihat – Ketua Pemuda Umno KT

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki (gambar) , meminta pemimpin dan ahli
Umno yang bakal bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan tahun ini supaya berkempen secara sihat dan tidak melakukan kegiatan yang boleh menjejaskan parti.

Beliau berkata, tidak ada gunanya mereka memegang jawatan tinggi hasil perebutan kuasa hingga menimbulkan perpecahan kepada parti kerana ia akan menguntungkan pihak lawan.

 “Umno tidak mampu lagi menanggung pelbagai masalah selepas pemilihan kali ini kerana ia akan melemahkan parti dan menguntungkan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya yang juga Pegawai Khas Kepada Menteri Besar bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Badrol Hisham yang melepasi umur kelayakan Pemuda, ketika dihubungi Teganukita hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut bagi membantu memperkukuhkan parti, terutama dalam menghadapi parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

 “Jika diberi kepercayaan oleh para perwakilan, saya akan sama-sama membantu pimpinan di peringkat bahagian bagi menebus kekalahan Barisan Nasional (BN) di semua kerusi DUN dan Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya.

Katanya, beliau sedia bekerja sama dengan semua pemimpin yang bakal bertanding pada pemilihan peringkat bahagian nanti asalkan mereka tidak melampaui batas dan menjadikan perpaduan parti sebagai agenda utama.