Halaman

22 August 2013

100 hari pentadbiran

ANALISIS OLEH RUSLAN ABDUL RAHMAN
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA


Lebih kurang 100 hari pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerajui Terengganu bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional memenangi pilihanraya umum ke 13 yang baru lalu.

Dato’ Seri Ahmad mengangkat sumpah jawatan tersebut bagi penggal yang kedua di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah pada 11 Mei 2013.

Beliau dilantik semula memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar setelah juga berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kijal dalam pilihanraya tersebut dengan majoriti besar, 4, 204 undi menewaskan calon Pas.

Dato’ Seri Ahmad sebelum ini telah pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar pada 22 Mac 2008.
Tahniah diucapkan kepada Dato’ Seri Ahmad kerana telah memimpin semula Terengganu dan mengekalkan fokusnya untuk mempastikan rakyat mendapat faedah dari pentadbiran yang dijalankan.

Pendekatan Merakayatkan Pentadbiran dan Pembangunan akan diteruskan di bawah pentadbiran beliau. Justeru itu beliau meminta penjawat awam di negeri ini supaya bersikap profesional, menghormati dasar kerajaan dan melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Mereka yang diamanahkan perlu mengekalkan kaedah berkerja secara berkualiti dan mengamalkan budaya sihat sewaktu bertugas supaya mampu dipandang positif oleh masyarakat. Selaku pekerja dalam pasukan kerajaan yang sentiasa memberi bantuan serta mempermudahkan segala urusan berkaitan dengan rakyat, semuanya hendaklah menjalankan tugas dengan jujur, berdedikasi dan amanah.

 Ikhlaslah bekerja demi membantu kerajaan semasa, supaya dapat terus memerintah dan jangan sekali-kali bersekongkol dengan pihak lain yang belum tentu dapat mengekal kemakmuran Terengganu dan negara. Begitulah tingginya harapan pimpinan nombor satu negeri untuk melihat rakyat mendapat manfaat dan faedah yang sebaiknya dari pentadbiran kerajaan dengan kerjasama seluruh penjawat awam atau kakitangan kerajaan. Rakyat dan masyarkat juga hendaklah sama-sama membantu kerajaan pimpinannya untuk terus membangunkan negeri untuk faedah rakyat juga. Janganlah ada unsur-unsur hendak menimbulkan kekacauan, kerana rakyat telah pun membuat pilihan, termasuk dalam Piliharaya Kecil Kuala Besut baru-baru ini juga, rakyat telah memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional.

Dato’ Seri Ahmad yang berpengalaman lama dalam pentadbiran kerajaan sejak menjadi pegawai tadbir negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan seterusnya ketua kerajaan negeri begitu prihatin terhadap projek-projek yang membawa faedah kepada rakyat. Misalnya tumpuan Dato’ Seri Ahmad dalam hal-hal berkaitan perumahan rakyat tiada siapa dapat menyangkalnya, sehingga mendapat pujian kerajaan pusat. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memuji langkah kerajaan Terengganu pimpinan Dato’ Seri Ahmad yang berusaha menyediakan perumahan kepada rakyat, iaitu dengan sasaran 10 ribu unit pada tempoh lima tahun.

Langkah itu adalah menepati juga dengan dasar kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri , Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menyediakan perumahan kepada rakyat, termasuk golongan yang berpendapatan rendah. Tan Sri Muhyiddin memberitahu, dalam aku janji kerajaan BN dalam PRU 13 yang baru lalu, sebanyak 1 juta unit rumah akan di bina dalam tempoh lima tahun akan datang. Katanya, kementerian berkaitan sedang mengambil langkah-langkah wajar bagi menentukan taburan projek tersebut supaya meliputi seluruh negeri.

Oleh itu, pendekatan kerajaan negeri Terengganu ini begitu kehadapan sekali dalam menunaikan hasrat Perdana Menteri, bahkan itulah sebenarnya yang menjadi harapan rakyat. Sempena tempoh lebih kurang 100 hari Dato’ Seri Ahmad, akan menjadi permulaan awal untuk meneruskan pelbagai lagi perancangan dan pembangunan untuk faedah rakyat bagi penggal kedua pentadbirannya.