Halaman

07 September 2013

Contohi semangat peserta Ekspedisi Julang Jalur Gemilang

Oleh: Aida Abd Rahman

Generasi muda hari ini perlu sedar bahawa kejayaan tidak akan diperolehi dengan cara mudah, sebaliknya ia memerlukan usaha gigih serta tidak mudah menyerah kalah, kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelepasan Ekspedisi Julang jalur Gemilang 2013 Perlis-Tawau 30 Ogos -16 September, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Manoharan A/L Kanaparty dan Pegawai Pemerintah Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia Chendering, Kapten Prof Zainal Saharudin.

Hadir sama, Ketua Program Ekspedisi Julang jalur Gemilang 2013 Perlis-Tawau 30 Ogos -16 September, Encik Azhar Ariffin.

“Syabas dan tahniah kepada Encik Azhar Ariffin dan krew yang terlibat menjayakan ekspedisi ini yang bakal mengharungi perjalanan yang mencabar.

 “Pada hemah saya, ia sangat memerlukan semangat dan jiwa yang kental serta mencabar minda dan fizikal lebih-lebih lagi melibatkan cabaran yang amat getir dalam mengharungi Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata, ekspedisi ini menggunakan Bot Belacak 43 yang keseluruhan badan bot diperbuat daripada gentian kaca dengan ukuran panjang 43 kaki dan lebar 120 inci serta boleh memuarkan seramai lapan orang penumpang secara amnya.



Katanya, bot yang tercipta menerusi kajian dan penyelidikan serta inovasi yang melibatkan kepakaran tempatan itu dimiliki oleh Encik Azhar secara berdaftar berkaitan rekabentuk bot, selain turut didaftarkan dalam Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Hasil usaha beliau boleh menjadi contoh kepada generasi Y pada hari ini dalam menyahut cabaran wawasan 2020.

 “Kegigihan dan semangat yang ditonjolkan beliau wajar sekali dijadikan contoh dalam merealisasikan impian serta harapan kerajaan untuk melahirkan warga yang berinovasi serta berkreativiti,” katanya.

Untuk rekod, ekspedisi kali keempat sempena bulan kemerdekaan dan sambutan jubli emas Penubuhan Persekutuan Malaysia bermula 30 Ogos dari Langkawi dan berakhir di Tawau Sabah, pada 15 September ini dengan merentasi beberapa perhentian di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.



Kerajaan berlaku adil terhadap pelajar Malaysia di Mesir


Idris diarak kereta kuda  ketika merasmikan Program Jelajah Merdeka di Pantai Air Tawar.Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Biarpun berlainan fahaman politik dan sering menuduh kerajaan zalim namun semua itu tidak diambil kisah sebaliknya kerajaan tetap berlaku adil kepada semua pelajar yang memerlukan bantuan ketika menghadapi konflik di Mesir.

Malah, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ramai pelajar tajaan swasta dan persendirian di Mesir memihak kepada pembangkang tetapi dalam keadaan mereka memerlukan bantuan kerajaan tetap membantu pelajar terbabit.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut yang dihantar khas oleh Kerajaan Melaysia ke Mesir bagi membuat rundingan dengan kerajaan sementara Mesir membawa pulang ke tanah air berjaya membawa misi Perdana Menteri.

Berikutan itu, kira-kira 1,000 pelajar yang menuntuk di Negara berkenaan sudah dibawa pulang secara berperingkat-peringkat sejak akhir Ogos lalu selepas negara Mesir dilanda konflik politik berpanjangan.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Jelajah Merdeka pelajar Kolej Komuniti seluruh Malaysia di Pantai Air Tawar, dekat sini, hari ini Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, negara lain masih gagal membawa keluar pelajar mereka kerana belum mendapat restu kerajaan Mesir.

Pada majlis itu Idris melakukan pelepasan pesertai konvoi yang disertai 450 pelajar untuk menjelajah ke seluruh Terengganu mulai hari ini.

Berikutan pergolakkan yang masih berterusan di negara Mesir, Idris berkata semua penaja yang menaja pelajar baru ke negara itu dinasihatkan menangguhkan penghantaran pelajar masing-masing kerana keadaan di negara itu masih tidak stabil.

SMK Seri Nilam cipta Jalur Gemilang gergasi

Oleh; Esah Abdullah 

Hasil gabungan tenaga 25 orang guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam berjaya mencipta Jalur Gemilang gergasi dalam usaha menunjukkan semangat kecintaan kepada negara.

Jalur Gemilang sepanjang 180 kali panjang dan 15 kaki lebar itu disiapkan dalam tempoh tiga hari secara gotong royong melibat 10 guru dan 15 pelajar untuk menjahitnya.

Pengetuanya Encik Wan Mohd Abdullah berkata, sambutan Hari Kebangsaan peringkat sekolah berkenaan diadakan setiap tahun dalam usaha menanamkan semangat kecintaan pelajar kepada negara.

``Bagaimanapun sambutan tahun ini kita sepakat membuat kelainan sedikit dan disambut dengan lebih meriah dengan menyiapkan Jalur Gemilang gergasi,’’ katanya ketika ditemui pada pelancaran Jalur Gemilang Gergasi di Dataran Nilam, SMK Seri Nilam, semalam.

 Menurut beliau, idea menghasilkan Jalur Gemilang gergasi itu dicadangkan oleh beberapa guru yang diketuai Cikgu Abdullah Mamat dan Mohd Nor Taib dengan melibatkan kos kira-kira RM1,000.

Katanya, Jalur Gemilang gergasi itu akan direntangkan sepanjang pagar utama sekolah sebagai tanda penghargaan daripada warga SMK Seri Nilam yang melibatkan 120 guru dan 1,400 pelajar.

``Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan setiap tahun dengan penghasilan idea yang lebih kreatif bagi menaikkan semangat patriotik terutama di kalangan pelajar.

 ``Malah saya juga berbangga semangat kebersamaan dan penyatuan antara guru dan pelajar dalam menjayakan pelancaran Jalur Gemilang gergasi itu,’’ katanya.

Sempena dengan majlis pelancaran itu turut diadakan deklmasi puisi dan persembahan lagu-lagu patriotik oleh pelajar.

Selain itu sepanjang kempen sambutan Hari Kemerdekaan yang akan berakhir pada 17 September ini, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti penyerahan Jalur Gemilang kepada pelajar dan pertandingan yang bertemakan semangat kecintaan kepada Negara.
 

PMINT bangun projek RM80 juta

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membangunkan lima projek perumahan dan lima projek perkedaian membabitkan peruntukan RM80 juta di lokasi terpilih di negeri ini.

 Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda berkata, projek perumahan yang akan dibangunkan ialah di Kampung Tebing Tembah, Paka di Dungun melibatkan 56 unit rumah berkembar yang kini sedang ditender.

 "Manakala projek perumahan di Kampung Fikri, Jabor (Kemaman) melibatkan 20 unit rumah berkembar dan 36 unit rumah teres dua tingkat, Kampung Cabang Kertih pula sembilan unit rumah berkembar dua tingkat.

"Projek perumahan di Kampung Balai Besar (Dungun) dan Bukit Kuang (Besut) melibatkan peruntukan RM13 juta," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

 Katanya bagi projek perkedaian, PMINT akan membinanya di Pak Sabah (Dungun), Permint Perdana di Kampung Batin Seberang Takir (Kuala Terengganu), Bukit Keluang (Besut), pusat pameran di Jalan Kemajuan dan di pekan Kuala Berang (Hulu Terengganu).

 "Setelah semua urusan selesai, 10 projek ini dijangka dapat dimulakan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan," katanya.

 

350 pelajar pecah rekod di Program Kenali Setiu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Empat pelajar sedang tekun mewarna kolaj.

SETIU: SERAMAI 24 pelajar program Sukarelawan Remaja ASEAN dari sepuluh buah negara Asia Tenggara menyertai program "Kenali Setiu-Mari Berbudaya Setiu" yang diadakan di Penarik Inn, Kampung Penarik, di sini, semalam.

Program yang bertujuan untuk mempertengahkan budaya dan warisan Setiu itu turut disertai seramai 150 pelajar Sekolah Menengah dan 160 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT)termasuklah dari IPT Awam iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengurus Program, Nor Adlin Mohd Said, berkata pelbagai acara diatur sempena program itu antaranya ialah permainan tradisional antaranya ialah Bowling Kelapa, Tarik Upih, Kukur Nyior dan anyam ketupat manakala pertunjukan pula ialah permainan gasing, ayam serama dan wau bulan.

"Selain itu, satu acara yang mendapat pengiktirafan "Malaysia Book Of Record" ialah mencipta Rekod Kolaj Terbesar bertema Setiu "Wetland" turut diadakan di mana hampir 350 pelajar terlibat mewarna dan menyusun kolaj batik dan ianya dilancarkan oleh Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Muhammad", katanya.

Abdul Rahmad meletakan kolaj pertama simbolik pelancaran program.
Nor Adlin berkata, program anjuran "Hijau Event Management" itu juga bertujuan mempromosikan daerah Setiu dan Negeri Terengganu kepada dunia kerana daerah Setiu mempunyai pelbagai budaya yang menarik dan mempunyai potensi tinggi dalam eko-pelancongan di Asia.

"Saya mengharapkan ia dapat memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan eko-pelancongan itu secara mapan di Setiu. Ini akan memberi manfaat juga kepada penduduk setempat bagi jangkamasa panjang disamping dapat meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.


Zulkifli minta UMNO Setiu terus bersatu

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Zulkifli  berucap  ketika merasmikan mesyuarat UMNO Buluh Hilir, semalam.

SETIAP ahli UMNO di saran bersatu untuk memastikan parti tetap utuh bagi menjamin kejayaan berterusan Barisan Nasional untuk terus mentadbir daerah Setiu dan negeri Terengganu, kata Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifli Jusoh ketika merasmikan Mesyuarat Agong UMNO Cawangan Buluh Hilir, di Permaisuri, Setiu, semalam. 

Zulkifli berkata, jika sebelum ini ada berlaku perpecahan di kalangan ahli, bermula dari sekarang, beliau meminta semua ahli jangan berpecah belah kerana ia boleh merosakan UMNO dan boleh menghalang pembangunan dan kemajuan daerah Setiu.

“Kita betul-betul lah pilih kita jangan bergaduh antara kita, sebab rugi kalau kita macam taksub kepada seseorang pemimpin, bila pemimpin lain dipilih, kita akan rasa lain.

"Sebab kita kena ingat bahawa pemimpin datang dan pergi, yang kita hendak teruskan ialah UMNO.
Pemimpin ada hari ini, besok mungkin orang lain. Tapi perjuangan adalah kepada UMNO itu sendiri, Melayu apa yang kuat kalau kita sendiri yang berpecah.

"Antara kita hendaklah bersatu kerana bersatu itu teguh dan bercerai kita akan roboh, Jadi tidak perlu kita bergaduh.” katanya.

Dalam pada itu dalam ucapanya itu juga, Zulkifli akan berusaha membina lebih banyak rumah untuk penduduk daerah Setiu terutama belia yang tidak mempunyai rumah sendiri apabila menemui tanah yang sesuai untuk membina kawasan perumahan.

“Bila ada tanah saya akan usahakan mencari tanah di Setiu, kita akan pastikan tanah ini dibina dengan perumahan. Kita akan syor kepada pihak bertanggungjawab untuk membina rumah-rumah kepada mereka yang memerlukan, Insya Allah,” katanya.

Antara ahli UMNO yang hadir mesyuarat.
Sementara itu beberapa muka baru dilantik memegang beberapa jawatan dalam mesyuarat itu, antara ialah ialah jawatan Ketua Pemuda yang dahulunya disandang oleh Ismadi Ibrahim yang sudahpun melebihi had umur bertanding kini bertukar kepada Zulkifli Mohd manakala jawatan ketua Putri pula di pegang oleh Siti Sarah Abdul Rahim.

Jawatan Ketua Wanita menampilkan bekas Naib Ketua Wanita iaitu, Mariani Ibrahim manakala jawatan Ketua Cawangan UMNO Buluh Hilir masih disandang oleh Wan Sulaiman Wan Ahmad.


06 September 2013

ATM dan PDRM bersama jayakan majlis hari raya

Oleh; Esah Abdullah 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraia Malaysia (PDRM) buat julung kalinya bergabung tenaga menjayakan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Kebangsaan 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak esok (Sabtu).

Bersempena dengan majlis berkenaan, satu sidang media akan diadakan oleh Panglima Markas 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Ketua Polis Terengganu DCP Dato’ Haji Jamshah Mustafa di kawasan ruang legar stadium pada jam 1 petang.

Majlis yang bermula jam 12 tengahari hingga 4 petang itu akan menyediakan pelbagai menu untuk para tetamu di samping persembahan brass band dan pameran oleh ATM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan majlis.

Hala tuju pembangunan berpaksikan kepentingan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ kini dipraktikkan untuk penggal kedua pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebagai pihak yang bertindak sebagai `front liner’ bagi pihak kerajaan, pegawai dan kakitangan kerajaan menyahut pendekatan itu sebagai satu gagasan yang perlu dilaksanakan demi memuaskan hati rakyat sebagai `pelanggan utama’.

Menyedari hakikat itu, Penolong Kanan Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Cik Nur Kamilah Hamzah, berkata setiap perancangan dan hala tuju kerajaan negeri jelas berpaksikan kepada kepentingan dan manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Sebagai badan penggerak, kita akan berusaha mencapai dan mematuhi setiap perancangan yang sudah digariskan pihak kerajaan bagi memastikan matlamat ketua kerajaan dan pegawai atasan mampu kita laksanakan sebaik mungkin.

 “Setiap projek sama ada kecil dan besar yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak kerajaan semuanya adalah berfokuskan kepada rakyat,” katanya.

 Penolong Setiausaha Kerajaan (pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani pula berpendapat setiap projek yang dibangunkan kerajaan secara berterusan merupakan kesinambungan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan dan manfaat kepada rakyat.

“Bagi memastikan usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tercapai, kami sebagai agen pelaksana mengambil tanggungjawab memikul amanah itu dan berusaha melakukannya dengan lancar dan cekap.

 “Pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ amat tepat memandangkan kerajaan sentiasa mendahului rakyat dalam sebarang program, projek pembangunan dan juga pelbagai insentif disediakan sejak dulu lagi,” katanya.


TTI perkenal persembahan cahaya

Oleh: Suriati Ali 

Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu akan memperkenalkan persembahan berbentuk cahaya dan bunyi, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke taman itu.

 Pengurus Besar, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Dato’ Osman Muda, berkata persembahan itu dijangka bermula Januari depan, sekali gus membolehkan Taman Monumen TTI dibuka kepada pengunjung pada waktu malam.

 "Persembahan itu mempunyai komponen-komponen seperti hologram, video mapping, laser, 'sky tracker' dan juga air pancut," katanya.

Beliau berkata kerja pemasangan kelengkapan bagi persembahan itu sedang berjalan dan dijangka siap Disember ini.

 Sementara itu Dato’ Osman berkata TTI menerima 643,000 pengunjung, sepanjang tahun lalu.

 "Kita mensasarkan akan menerima lebih 800,000 pengunjung apabila siapnya persembahan baru ini.

 "Sejak dibuka pada tahun 2008 hingga sekarang, TTI menerima kedatangan lebih 4.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya

 

Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Setiu mencuit hati

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Telatah kanak-kanak bermain bolajaring mencuit hati penonton.

MAJLIS Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Setiu yang diadakan di Stadium Mini, Sungai Tarom, Setiu, semalam gamat dengan telatah kanak-kanak tadika bertanding dalam beberapa acara antaranya ialah Futsal dan Bolajaring.

Walaupun usia kanak-kanak itu dibawah enam tahun tetapi kelincahan mereka bertanding dalam beberapa acara mencuit hati penonton malah ada yang menunjukan bakat mereka bermain dengan baik.

Majlis yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan turut dihadiri oleh Pegawai Kemas Daerah Setiu Mohd Madrisham Mokhtar.

Iskandar sedang mendukong seorang kanak-kanak yang menang hadiah.
.
Setiausaha majlis, Cik Wan Shamsiah Wan Ismail, berkata antara tujuan hari potensi itu ialah untuk menggalakan perkembangan sosial, Emosi, Fizikal, Intelek dan Rohani kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan.

Selain itu, katanya, tujuan juga ialah untuk mengembangkan kemahiran asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul sebagai persediaan ke alam persekolahan dan membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik.

Dalam pertandingan yang diadakan itu, johan bagi acara silat, futsal dan gerakrama ialah Kemas Dun Langkap, johan acara selingan ialah Dun Jabi, galah panjang juga Dun Jabi manakala bolajaring wanita dimenangi Dun Permaisuri,”.