Halaman

05 December 2013

Banjir Sekitar Chukai, petang tadi (5.12.13)

Bantu..anggota tentera membantu mengeluarkan penduduk.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

CHUKAI: Banjir yang melanda hampir keseluruhan bandar Chukai, Kemaman dan beberapa kampung berhampiranya semalam melumpuhkan bandar itu. Hampir 80 peratus kawasan Chukai di tengelami air, antara yang teruk ialah penduduk di beberapa kampung dan taman di sepanjang jalan Chukai ke Air Putih.

Tinjauan Teganukita petang tadi mendapati, terdapat beberapa kawasan di sekitar Chukai masih ditengelami air, antaranya ialah Jalan Chukai ke Kampung Geliga, beberapa tempat di Jalan Chukai ke Air Putih dan berhampiran sungai di dalam bandar Chukai.

Bagaimanapun ia surut berbanding semalam malah ada beberapa tempat surut sepenuhnya manakala terdapat penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing dengan berjalan kaki atau menaiki bot untuk melihat keadaan rumah mereka.

Berikut ialah gambar-gambar yang sempat dirakam Teganukita di sekitar Batu 2, Jalan Chukai ke Air Putih dan Jalan Chukai ke Geliga, berhampiran Centre Point, petang tadi.

Tutup..Jalan Chukai-Kuantan melalui Geliga masih ditutup petang tadi.

Tutup..Jalan Chukai-Air Putih masih ditutup petang tadi
Masih tenggelam..keadaan sebuah taman perumahan.

Ronda..beberapa penduduk menaiki sampan.

Kenangan..sekumpulan remaja bergambar ketika melihat air

Turun..sebuah bot diturunkan ke atas jalan.

Tersadai..kenderaan yang ditenggelami air.

Lihat..orang ramai melihat banjir

Tutup sebelah..LPT2 ditutup sebelah jalan berhampiran susur Bukit Besi.

Berselut..sebatang jalan berhampiran Air Putih selepas banjir.

Sesak..kenderaan terpaksa diletak di kiri kanan jalan.
Masih dalam...pemandangan di depan sebuah perkedaian di Batu 2.


Air hampir cecah bumbung : mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Seorang mangsa banjir dari Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Wan Mohd Raimi Wan Ya, 27, menyifatkan banjir tahun ini lebih buruk berbanding sebelum ini apabila rumah yang didiaminya sejak tujuh tahun lalu ditenggelami air sehingga menghampiri bumbung.

"Kami sekeluarga hanya sempat mengalihkan sebahagian barangan rumah ke tempat tinggi berikutan air yang naik ke dalam rumah begitu mendadak.

"Tahun lepas, air naik tidaklah secepat ini tetapi kali ini sangat berbeza sehingga rumah saya boleh tenggelam hanya nampak bumbung," kata bapa kepada tiga anak ketika ditemui Teganukita di pusat pemindahan banjir Dewan Sivik Batu 24, Kuala Berang, hari ini.

Wan Mohd Raimi berkata, walaupun kemungkinan sebahagian barangan elektrik dan perabot di rumahnya tidak boleh digunakan lagi, dia dan isteri bersyukur kerana sempat menyelamatkan dokumen penting dan ketiga-tiga anak mereka sebelum bergegas ke pusat pemindahan itu.

Dia juga berpuas-hati dengan bantuan yang diberikan pihak berkuasa sepanjang dua hari berada di pusat pemindahan itu. Seramai 167 mangsa dari 52 keluarga berada di Dewan Sivik Batu 24, Kuala Berang itu, sehingga pagi ini.

Sementara itu, tinjauan Teganukita ke pusat pemindahan banjir SK Kampung Nibong mendapati 58 mangsa dari 28 keluarga yang kebanyakan tinggal di Kampung Nibong ditempatkan di pusat berkenaan.

Seorang mangsa, Engku Hasmah Kamarulzaman, 38, dari Kampung Nibong berkata, dia dan empat anaknya mengambil keputusan untuk berpindah buat sementara waktu ke sekolah terbabit kerana tidak mahu kejadian tidak diingini menimpa keluarganya.

“Saya dan anak-anak segera berpindah ke sini apabila air mula memasuki rumah kerana merasakan tidak selamat berikutan pada waktu itu suami tiada di rumah kerana bekerja di Kemaman,” ujarnya.


 Bagi dua warga emas, Semek Ahmad, 70, dan Mek Ismail, 80, turut mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan yang sama berikutan kawasan kediaman mereka tidak lagi selamat didiami sejak petang kelmarin.

 “Memandangkan usia kami yang sudah tua, lebih elok sekiranya kami berehat disini buat sementara sehingga keadaan banjir benar-benar pulih.

“Alhamdulillah, bantuan oleh pihak berkenaan juga sampai dan kami rasa bersyukur dengan keprihatinan semua pihak,” katanya.

 Sehingga pagi ini, seramai 1,758 mangsa ditempatkan di 31 pusat pemindahan di seluruh Hulu Terengganu.

Sebelum itu, semua mangsa terbabit dikunjungi Ahli Parlimen Hulu Terenggganu, Dato’ Jailani Johari yang turun padang meninjau keadaan di semua pusat pemindahan berkenaan.

Beliau turut menyampaikan bantuan makanan dan bertanya khabar dalam tinjauan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu.

 

Sedia pelan alternatif untuk komunikasi di kawasan terjejas

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengarahkan pihak berwajib menyediakan pelan alternatif di kawasan yang mengalami gangguan utiliti utama khususnya elektrik dan telefon supaya tetap boleh berhubung antara satu sama lain ketika berdepan kecemasan.

Timbalan Menterinya, Dato’ Jailani Johari berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menutup bekalan elektrik di beberapa pencawang yang ditenggelami air khususnya di Kuantan dan kawasan lain yang terjejas teruk akibat ditenggelami air bagi mengelak insiden lebih buruk.

“Saya difahamkan di beberapa kawasan terbabit bekalan elektrik ditutup kerana tidak mahu berlaku masalah. Kita telah maklumkan kepada pihak yang memberi perkhidmatan itu supaya ada pelan alternatif lain.

 “Kita tidak mahu dalam situasi begini kita tidak dapat menghubungi antara satu sama lain. Malah, saya percaya arahan telah dikeluarkan dan pihak berwajib serta yang berkaitan sudah berusaha sebaik mungkin supaya tidak timbul sebarang kesulitan terutama untuk berhubung antara satu sama lain,” katanya ketika meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di sekitar Hulu Terengganu, hari ini.

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu melawat dua pusat pemindahan di Dewan Sivik Batu 24, Kampung Tok Bat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nibong.

Seramai 167 mangsa dari 52 keluarga berada di Dewan Sivik , manakala 58 mangsa dari 28 keluarga di SK Kampung Nibong.

Sehingga pagi ini, seramai 1,758 mangsa ditempatkan di 31 pusat pemindahan di seluruh Hulu Terengganu. Bagaimanapun, semua mangsa di pusat pemindahan Menerong dan Peladang sudah pulang ke kediaman masing-masing selepas air mulai surut dan kawasan kediaman mereka selamat untuk didiami.


Proses pemindahan di Hulu Terengganu lancar, tiada masalah

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh 

Proses pemindahan dan penempatan mangsa banjir di semua pusat pemindahan yang beroperasi di seluruh Hulu Terengganu sejak dua hari lalu berjalan lancar.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari, berkata pihak berkuasa dan agensi yang terlibat dengan bencana alam itu dapat menjalankan kerja menyelamat mangsa banjir tanpa berdepan dengan kesulitan dan masalah besar.

 “Saya difahamkan dua hari lepas sejak dipindahkan ke sini, mereka tiada masalah. Di tempat lain apa yang kita dengar ada yang tidak mendapat bekalan makanan, unit untuk memindahkan mangsa lambat dan sebagainya.
“Alhamdulilah di kawasan saya di Hulu Terengganu ini, semuanya proses berjalan lancar, kerana difahamkan taklimat (mengenai banjir) sudah dibuat tiga bulan lalu dan persiapan awal untuk memastikan sekiranya bencana banjir berlaku di kawasan Hulu Terengganu, kita dapat menghadapinya dengan baik,”katanya  selepas meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sekitar Hulu Terengganu, hari ini.

Sebelum itu, beliau melawat dua pusat pemindahan di Dewan Sivik Batu 24, Kampung Tok Bat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nibong, pagi ini.

Seramai 167 mangsa dari 52 keluarga berada di Dewan Sivik , manakala 58 mangsa dari 28 keluarga di SK Kampung Nibong.

Sehingga pagi ini, seramai 1,758 mangsa ditempatkan di 31 pusat pemindahan di seluruh Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, semua mangsa di pusat pemindahan Menerong dan Peladang sudah pulang ke kediaman masing-masing selepas rumah mereka selamat didiami sejak pagi tadi.

Dato’ Jailani yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, bekalan makanan yang di pusat pemindahan juga mencukupi untuk tempoh tiga hari lagi sekiranya kesemua mangsa perlu terus berada di pusat pemindahan terbabit.

Malah, pihaknya bersiap-sedia menambah bekalan makanan ke penempatan pemindahan sementara itu jika perlu berbuat demikian dan bergantung kepada keperluan semasa.

“Pihak yang mengawal selia sudah membuat persediaan yang teratur, kita lihat dari segi semua bekalan makanan sudah dibekalkan. Bagaimanapun, masih ada penghuni yang tinggal di pusat penempatan ini kerana keadaan tidak mengizinkan mereka balik ke rumah masing-masing.

“Saya ucapkan tahniah kepada pihak jawatankuasa yang memberi kerjasama dan menempatkan mangsa banjir di SK Kampung Nibong. Saya lihat cuaca semakin baik dan berharap supaya keadaan pulih dalam masa terdekat agar mangsa-mangsa dapat pulang ke rumah masing-masing,” katanya.


TISB minta pengurus anak syarikat bersikap tegas

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB), syarikat pelaburan milik penuh kerajaan negeri, meminta mana-mana pengurus syarikat induk, anak-anak syarikat di bawah kumpulan itu bersikap tegas dalam mentadbir urus agensi dan bijak mengawal selia kewangan.

 Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Audit Kumpulan TISB, Dato’ Wan Jaafar Wan Mahamud, berkata pengurus anak-anak syarikat sewajarnya sentiasa memantau setiap tugasan dilaksanakan kakitangan, bagi mengelak sikap tidak jujur dan kurang amanah.

 Katanya, sistem dalam sesebuah organisasi terdiri daripada kaedah, peraturan, proses dan prosedur adalah untuk memastikan bahawa fungsi organisasi berjalan lancar untuk mencapai objektifnya. “Kesan boleh menjadi amat buruk jika terdapat kelemahan dalam pengurusan kewangan.

“Pengurusan kewangan yang lemah akan menyebabkan pelbagai kesan negatif seperti pembayaran tidak betul, penyelewengan, kerja atau bekalan tidak mengikut spesifikasi, berkualiti rendah atau tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, kelemahan dalam pengurusan produk dan aset,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar `Internal Audit Colloqium 2013’ di Bangunan TISB, Kawasan PerindustrianChendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Seminar berkenaan dihadiri 50 peserta yang terdiri daripada Jururaudit Dalaman merangkumi syarikat di bawah kumpulan TISB dan pelbagai agensi Kerajaan Terengganu.

Merupakan siri kedua dianjurkan oleh Jabatan Audit Dalaman Kumpulan TISB dengan objektif utama meningkatkan peranan Juruaudit Dalaman seiring dengan perubahan semasa dalam melaksanakan perkhidmatan pengauditan dan perundingan secara profesional dan berkualiti.

 Selain itu, seminar ini juga merupakan platform untuk perkongsian idea dan maklumat bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara syarikat induk, anak-anak syarikat di bawah kumpulan dan juga jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

 Dato’ Wan Jaafar turut memberitahu, ketua jabatan atau pengurus perlu prihatin terhadap sikap kakitangan mereka, supaya tidak berkelakuan seolah-olah dana itu hak mereka.

“ Apabila entiti membuat sesuatu keputusan pelaburan, ia mendedahkan dirinya kepada beberapa risiko kewangan. “Risiko tersebut bergantung kepada jenis kewangan, termasuk berlakunya inflasi yang tinggi, turun naik dalam pasaran modal, kemelesetan dan kebankrapan,” katanya.

 Katanya, pengalaman membuktikan tiada integriti, kejujuran, profesionalisme, kawalan yang lemah dan risiko andaian tidak sihat memang resipi pasti untuk peruntukan sub-sumber yang optimum dan sub-prestasi ekonomi.

“Nilai-nilai seperti kejujuran, keadilan dan integriti adalah sesuatu yang peribadi. Ia amat individu yang mesti membangunkan mereka,” katanya.

 

Banjir: Ladang Sentosa terputus hubungan.

Kandas..sebuah kenderaan tidak dapat memasuki Ladang Sentosa.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

FELDA BELARA: Kira-kira 38 keluarga termasuk tiga keluarga kakitangan Ladang Sentosa, dekat sini terputus hubungan apabila kedua-dua jalan yang menghubungkan kampung mereka dari luar dinaiki air sedalam kira-kira satu meter sejak petang semalam.

Tinjauan Teganukita pagi ini mendapati, di kilometer 0.5 jalan dari luar ke perkampungan ladang di bawah kelolaan Ladang Fikri dan milik TDM Berhad itu mendapati paras air masih bertahan.

Pengurus Ladang Fikri, Mohd Fauzi Mahamud, berkata kesemua yang tinggal di ladang itu ialah pekerja ladang dan kakitangan ladang Fikri Sentosa termasuklah seorang pegawai.

Mohd Fauzi..Pengurus Ladang Fikri.
"Semua yang tinggal di situ sudah tidak dapat keluar masuk sejak enam petang semalam lagi. Terdapat dua jalan yang menghubungkan ladang itu dengan luar iaitu Jalan keluar ke Jalan Kuala Terengganu ke Kota Baharu berhampiran kilang bata manakala satu lagi ialah yang keluar melalui Kampung Las ke Manir.

"Kedua-dua jalan itu tidak dapat dilalui dan segala bentuk bantuan dihantar dengan menaiki bot. Biasanya keadaan air di atas jalan itu memakan masa beberapa hari walaupun hujan sudah berhenti," katanya.

Mohd Fauzi menasihati kakitangannya dan buruh ladang yang tinggal di kawasan itu supaya bersabar dan sehingga kini bantuan makanan dan keperluan lain sudahpun dihantar JKM, katanya.

 

Banjir: MB Terengganu Utamakan Keselamatan Dan Kebajikan Rakyat

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad bin Said bertolak balik ke Kemaman pagi ini untuk bersama rakyat dan melawat kawasan banjir di sekitar daerah Kemaman, lapor Ruslan Abdul Rahman.


Beliau berada di Kuala Lumpur menyertai Perhimpunan Agung UMNO. Beliau dijangka ke Seberang Tayor terlebih dahulu pagi ini.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu dijadualkan akan berangkat jam 11.00 pagi ke Daerah Kemaman bagi melawat kawasan banjir dan bertemu rakyat Baginda yang terbabit dengan banjir.

Daerah Kemaman adalah di antara daerah yang paling teruk dilanda banjir sejak tiga hari yang lalu.

Suasana banjir yang dirakam di Kemaman, bandar Chukai dan sekitarnya:









Terkini Banjir Di Setiu: Mangsa pindah berpuashati.

Sebahagian mangsa pindah bergambar di Tadika Desa Jaya.
Teks dan Gambar Aminudin Ismail.

SUNGAI TONG: Kira-kira 80 penduduk dari Kampung Desa Jaya dan Kampung Paloh Licong, di sini yang berpindah ke Tadika Desa Jaya akibat banjir melanda kampung mereka, berpuashati dengan segala peruntukan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dearah Setiu. 

Rata-rata mangsa pindah yang ditemui di pusat perpindahan itu pagi ini, tidak mempunyai masalah mengenai keperluan barangan dan makanan yang disedikan JKM.

Seorang mangsa pindah, Dzaidiah Abdullah, 56, dari Kampung Paloh Licong, berkata dia yang pindah bersama lima ahli keluarganya kira-kira jam 8 malam semalam berterima kasih kepada JKM dan kerajaan kerana memberi peruntukan keperluan mangsa banjir yang mencukupi.

"Sampai di sini kira-kira pukul 8 malam semalam. Sampai tu semua sudah tersedia, Mak Cik hanya bawa bekalan pakaian keluarga sahaja. Tikar Bantal, berus gigi, sabun mandi dan barangan makanan semua sudah ada malah pada malam itu juga kami semua diberi nasi bungkus. Terima kasihlah pada JKM," katanya.

Seorang lagi mangsa pindah, Zah Awang Cik dari Kampung Paloh Licong berkata, dia dan semua yang berpindah dapat tidur lena pada malam itu walaupun tidak sebagaimana tidur di rumah. "

"Semua ok belaka, makan dan keperluan lain mencukupi. Tidurpun lena belaka. Terima kasihlah kepada Pejabat Kebajikan (JKM) dan kerajaan Malaysia atas segala bantuan ini," katanya yang berpindah bersama seorang lagi anaknya kira-kira jam enam petang kelmarin.

Berikutan keadaan cuaca sekarang di mana hujan sudahpun berhenti ketika ini, berkemungkinan mangsa-mangsa pindah ini boleh pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Bertahan..keadaan air di sebatang jalan di Bukit Nenas.
Sementara itu, tinjauan Teganukita di beberapa kampung sekitar Langkap, mendapati ada beberapa kampung yang airnya bertahan selepas naik malam semalam.

Terdapat beberapa kawasan yang menunjukan penurunan paras air termasuklah Kampung Sungai Bari yang sudahpun surut sepenuhnya.

Bagaimanpun, Jalan utama ke Kampung Bukit, Pak Ba dan ke Pelong di Kampung Pengkalan Merbau masih belum boleh dilalui kenderaan.

 

04 December 2013

Terkini banjir di Setiu (4/12/13): 26 keluarga berpindah.

ASYIK..sekumpulan remaja sedang asyik bermain air yang melintasi sebatang jalan di Kampung Sungai Bari, Langkap, Setiu petang tadi.

Air mulai naik di kampung itu kira-kira pukul 1 tengahari tadi dan sehingga lewat petang ini ia semakin surut sedikit. Bagaimanapun, hujan lebat mulai turun di kawasan Langkap lewat petang ini yang boleh membawa kenaikan semula paras air pada malam nanti.

Sementara itu, Tinjauan Teganukita di beberapa kampung di daerah Setiu petang tadi mendapati keadaan banjir tidak banyak berubah bagaimanapun pada petang tadi ada beberapa kawasan rendah mula dinaiki air antaranya di Kampung Buluh, Kampung Tasek dan Gong Terap tetapi tidak membimbangkan kerana ia naik secara perlahan-perlahan.

Beberapa jalan kampung yang ditutup akibat banjir pagi tadi, masih belum boleh dilalui oleh kenderaan ringan antaranya ialah Jalan Kampung Buluh-Kampung Besut dan Jalan Sungai Tong Pelong melalui Pengkalan Merbau manakala jalan utama ke Kampung Bukit dan Pak Ba juga belum boleh dilalui sehingga lewat petang tadi.

Manakala jalan-jalan utama di daerah ini termasuklah jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu yang melalui Bandar Permaisuri masih boleh dilalui semua kenderaan.

Dalam pada itu, Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu ketika dihubungi memberitahu sehingga jam 6 petang tadi, sebuah pusat pemindahan di buka di Setiu iaitu di Tadika Taman Desa Jaya, Sungai Tong iaitu seramai 26 keluarga berpindah ke situ.

Antara yang terbabit dengan perpindahan banjir itu ialah penduduk dari Kampung Paloh Licung dan Kampung Desa Jaya.- oleh: Aminudin Ismail.

 

Daerah Besut belum dilanda banjir


Penempatan rumah PPRT di Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Daerah Besut belum dilanda banjir seteruk Kemaman dan Kuala Berang dan penduduk masih menjalankan urusan seperti biasa walaupun hujan tidak berhenti-henti sejak empat hari lalu.

Sehingga jam 6.00 petang ini semua jalan utama menghubungi Bandar Jertih dengan kawasan lain masih boleh dilalui seperti biasa.

Tinjuan mendapati paras air Sungai Besut belum melimpah dan penduduk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir.

Bagaimanapun, penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampunh Pengkalan Atap, Kuala Besut, dalam keadaan berja-jaga berikutan kemungkinan berlakunya ombak besar melanda penempatan berkenaan.

Penduduk, Abdul Rahman Mohamad,74, berkata penduduk berjaga malam sejak Ahad lalu kerana khuatir air pasang dan ombak memukul tebing pantai di situ pada waktu malam.

Katanya, pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama penduduk memantau pada setiap malam bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Besut (PDB) juga sudah mengambil tindakan menimbus pasir untuk dijadikan banteng bagi mengelak air masuk ke rumah penduduk.