Halaman

05 August 2009

Terengganu Biaya Pelajar Thai Belajar Falak

Oleh : Kamarudin bin Mat Akib

Kerajaan negeri akan membiayai pengajian 10 pelajar dari Selatan Thailand di bidang astronomi bagi meningkatkan pengetahuan penduduk di wilayah berkenaan berhubung ilmu falak, mulai tahun ini.




Pelajar berkenaan dipilih dari lima wilayah Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam dan ditempatkan di Universiti Darul Iman (UDM) serta menggunakan kemudahan balai cerap di Merang, bagi mengikuti pengajian di bidang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat permintaan daripada pihak berkuasa agama di Pattani yang kagum dengan kemudahan di bidang astronomi yang ada di Terengganu.

“Majlis Agama Islam Wilayah Pattani meminta pelajar mereka turut diberi peluang mempelajari bidang astronomi di Terengganu bagi membolehkan mereka menentukan tarikh awal bulan pada setiap bulan, secara lebih tepat menggunakan kaedah hisab.



“Tokoh-tokoh agama di Selatan Thailand berpendapat jika penduduk di kawasan itu mempelajari bidang astronomi, masalah ketidakseragaman penentuan tarikh permulaan puasa dan Hari Raya Puasa di wilayah-wilayah Selatan Thailand dapat diatasi,” katanya.



Haji Kazan yang mengetuai rombongan delegasi Islam dari Terengganu dan Kelantan melawat kawasan Selatan Thailand, berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Thailand di pejabat Kementerian Luar Thailand, baru-baru ini.

Sebelum itu, rombongan berkenaan dibawa melawat beberapa tempat pengajian agama dan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa agama di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, bagi meninjau masalah yang dihadapi mereka dalam melaksanakan urusan agama.

Mereka juga diberi taklimat mengenai pembangunan dan pelbagai projek yang dirancang di wilayah berkenaan oleh gabenor-gabenor wilayah terbabit.



Haji Kazan berkata, hasil lawatan tersebut ahli-ahli rombongan yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan dan organisasi berkaitan agama Islam, telah mendapat gambaran sebenar keadaan yang berlaku di wilayah Selatan Thailand.

“Selama ini kita hanya melihat apa yang berlaku di Selatan Thailand melalui televisyen atau membaca di akhbar. Melalui lawatan ini kita mendapat maklumat yang lebih tepat dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku di kawasan ini.



“Daripada penelitian dan taklimat yang disampaikan pihak berkuasa Thailand, saya dan ahli rombongan membuat kesimpulan bahawa keadaan di Selatan Thai selamat dan boleh dilawati pada bila-bila masa,” katanya.

UKOM

No comments: