Halaman

01 August 2009

1 Terengganu, Foods, Fruits & Fiesta




KUALA TERENGGANU:

Warga Terengganu yang berada di perantauan khususnya sekitar Lembah Klang berpeluang mengubat kerinduan kepada makanan tradisional negeri ini dengan berkunjung ke Pesta Makanan dan Buah-Buahan Terengganu atau IT3F pada 1 Ogos 2009 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata program yang dianjurkan kerajaan negeri berkonsepkan perpaduan dengan tema 1Terengganu bermula dari jam 6 petang hingga 12 malam itu ditujukan khas buat anak Terengganu khususnya yang bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perhimpunan anak Terengganu di perantauan itu adalah sejajar dengan gagasan perpaduan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, program itu juga disasarkan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu di perantauan.

“Program IT3F dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) ini akan membabitkan semua daerah di negeri ini yang akan bertanggungjawab menyedia dan menyelaras makanan serta produk yang menjadi identiti sesuatu daerah itu.

“Sebagai contoh, Kemaman yang terkenal dengan lemang Kijal akan menyediakan bekalan lemang. Ia secara tidak langsung dapat memberi pulangan dan pendapatan kepada pengusaha makanan yang menjadi identiti negeri ini.

“Banyak lagi makanan tradisional Terengganu lain yang akan disediakan pada pesta itu nanti termasuk nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak, nasi kuning dan aneka jenis kuih. Pengunjung boleh menjamu selera sepuas-puasnya dengan menikmati makanan yang disediakan secara percuma,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, kelmarin.

Ahmad berkata, buah-buahan serta makanan tradisi Terengganu dijangka menjadi tarikan utama program itu selain persembahan rakyat dan kebudayaan serta hiburan oleh artis yang berasal dari negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga berharap program itu dapat menjadi landasan untuk mempromosi buah-buah serta makanan tradisi Terengganu kepada rakyat Malaysia serta pelancong yang berkunjung ke program itu nanti.