Halaman

24 July 2009

Pemangku Raja Terengganu Bertemu Rakyat

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Marang - 21 Julai 2009

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin ke Dataran Alor Limbat, Marang, mendapat sambutan meriah masyarakat dan penduduk sekitar yang begitu teruja untuk menatap wajah Raja kesayangan mereka dari dekat.

Kebawah DYMM Tengku Muhammad Ismail diiringi kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah dan Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja, berkenan menghadiri Majlis Bersama Rakyat telah disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan isteri.


Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah melihat demonstrasi membuat laksa pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Alur Limbat, Marang. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan isteri To’ Puan Rahmah A.Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, YB Alias Abdullah serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua-ketua Jabatan dan lebih 7,000 penduduk daripada pelbagai golongan dan peringkat usia.

Kebawah DYMM Tengku Muhammad Ismail kemudiannya berkenan melihat demonstrasi menumbuk emping dan membuat laksa tradisional serta persembahan Go Kart, Pocket Bike dan Helikopter alat kawalan jauh.

DYMM Tengku Muhammad Ismail seterusnya berkenan mengurniakan bantuan kepada anak-anak yatim, orang-orang tua dan fakir miskin dalam DUN Alor Limbat.


Tengku Muhammad Ismail berkenan menyampaikan bantuan kepada penduduk miskin sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad.

Sementara itu, Dato’ Ahmad dalam ucapannya menyifatkan kecenderungan dan perhatian Kebawah DYMM Pemangku Raja terhadap kebajikan rakyak menjadi pendorong dan menyuntik semangat rakyat untuk terus berusaha serta mengeratkan hubungan silatulrahim dikalangan masyarakat di sini.


Pertunjukkan `pocket bike' turut memeriahkan Majlis Bersama Rakyat di Kampung Alur Limbat.

Katanya sebagai rakyat yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, kesudian hadir Kebawah DYMM Tuanku akan menyuburkan semangat dan usaha untuk terus mengekalkan kemakmuran bumi tercinta ini.

UKOM