Halaman

21 July 2009

Kerajaan Sedia Lebih Banyak Ruang Niaga

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Kuala Terengganu - 19 Julai 2009

Sebahagian daripada wang hasil royalti minyak akan digunakan bagi membiayai projek penyusunan semula bandar Kuala Terengganu, secara berperingkat mulai tahun depan.

Projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembinaan ruang-ruang perniagaan baru bagi menempatkan peniaga tempatan serta kediaman untuk penduduk yang belum memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata bagi tujuan tersebut kerajaan negeri akan mengambil balik tanah milik persendirian dan membayar pampasan kepada penduduk terbabit.


Dato' Ahmad dan ADUN Alur Limbat, YB Alias Abdullah pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Alor Limbat, Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Kita akan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi membayar pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di kawasan yang dirancang,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Alor Limbat, 19 Julai lalu.

Beliau berkata, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dalam mesyuaratnya baru-baru ini memutuskan untuk mengambil balik sebahagian kawasan di Kampung Ladang untuk dibangunkan dengan projek perkedaian dan kediaman.


Sebahagian penduduk DUN Alur Limbat yang hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Alor Limbat.

“Cadangan ini merupakan sebahagian daripada proses untuk menyusun semula kawasan bandar Kuala Terengganu,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan menimbang pelbagai projek yang dicadang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Adun), Alor Limbat.

Beliau berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan mengikut keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan, agar rakyat mendapat faedah hasil perancangan projek berkenaan.


Dato' Ahmad menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang diadakan sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Alor Limbat.

Senarai projek yang dicadangkan di kawasan itu, termasuk pembinaan beberapa batang jalan baru, diserahkan Adun Alor Limbat, Haji Alias Abdullah, kepada Menteri Besar.

Dato’ Ahmad berkata, pihaknya akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap projek yang dicadang di kawasan itu bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak terpinggir.

UKOM