Halaman

21 July 2009

RM90,000 Untuk Rawatan Adik Abieyatul

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kemaman - 18 Julai 2009

“Sumbangan kerajaan negeri sejumlah RM90,000 adalah hadiah paling berharga bagi diri saya serta keluarga untuk menyelamatkan nyawa anak kesayangan, Abieyatul Abidah Zaiki, 11.

“Budi dan jasa baik pihak berkenaan, terutama kerajaan negeri akan dikenang sehingga akhir hayat dan didoakan moga kebaikan itu dibalas sebaik mungkin oleh Allah S.W.T,” kata Encik Zaiki Jusoh, 49, bapa kepada pesakit kanser tulang atau dikenali osteosarcoma.


Abieyatul Abidah gembira kerana penderitaannya mendapat perhatian Kerajaan Negeri Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Bantuan itu yang disampaikan, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, membolehkan pakar perubatan merawat dan menanam tulang tiruan (femur implant) di paha kiri Abieyatul.

Rawatan tersebut dijangka dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu, 11 November depan.

Abieyatul menderita penyakit itu seawal usia tujuh tahun di mana dia terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang tulang dan menjalani rawatan tiga peringkat kemoterapi di hospital itu selama dua tahun.

Selepas rawatan itu, Abieyatul tidak mampu berjalan dan hanya mengensot untuk mengambil sesuatu atau melakukan aktiviti lain.

Dalam kesukaran itu, pesakit itu tetap bersemangat mengikuti alam persekolahan bersama rakan lain di Sekolah Kebangsaan Seri Bandi, Kemaman, walaupun tidak mengikuti pelajaran di Tahun Dua dan Tiga.

Sewaktu berada di sekolah, ibunya, Zarina Ismail, 43, membantunya, termasuk makan dan minum.


Dato' Ahmad dan To' Puan Norliza menziarah Abieyatul Abidah di rumahnya di Felcra Seri Bandi, Kemaman.


Menurut Encik Zaiki, selepas menjalani rawatan susulan itu, dia mengharapkan anaknya sihat, mampu berjalan serta dapat hidup berdikari seperti kanak-kanak seusianya.

“Kesihatan Abieyatul lebih penting daripada segalanya, jika boleh kami tidak mahu lagi mendengar tagisan menyatakan kaki adik sakit sebab kena cucuk.

“Sebelum menderita kanser tulang, anak saya pernah menghidapi penyakit uluran dan turut menjalani pembedahan iaitu di bawah perut,” katanya.

Katanya, kehidupan seharian Abieyatul sentiasa diiringi doa, semoga dirinya sihat dan tiada sebarang komplikasi berlaku.

“Kami sekeluarga rela kehabisan duit asalkan dapat asalkan anak yang sihat dan mampu tersenyum,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Ahmad berkata, beliau prihatin dengan nasib adik Abieyatul yang terpaksa bertarung nyawa melawan penyakit berbahaya itu.

“Diharapkan bantuan diterima ini, mampu mengubat penderitaan yang ditanggung selama ini selain berdoa supaya cepat sembuh dan mampu berjalan seperti kanak-kanak lain,” katanya

Dato’ Ahmad berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke rumah Abieyatul di Felcra Seri Bandi, Kemaman, semalam (18 Julai)


Dato' Ahmad menziarah seorang pesakit strok di Felcra Seri Bandi.

Selain Abieyatul Dato’ Ahmad turut melawat beberapa penduduk lain yang keuzuran, termasuk Che Embong Ibrahim, 64, dan Tuan Abu Hashim Tuan Abu Bakar, 44 di mana masing-masing disahkan menghidap strok.

Bagi meringankan beban, wang tunai dan beberapa jenis barangan keperluan dapur turut disampaikan sempena kunjungan kebajikan itu.

UKOM