Halaman

24 July 2009

Tiada Alasan Untuk Cemerlang

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kuala Terengganu - 21 Julai 2009

Golongan anak yatim di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menjadikan alasan ketiadaan kasih sayang serta sokongan daripada ibubapa menyebabkan mereka kurang berminat untuk belajar dan tidak cemerlang dalam peperiksaan.

Isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud, berkata mana-mana pelajar kematian ibu atau bapa tidak perlu berasa tersisih dalam menuntut ilmu kerana ada pihak bertanggunggjawab untuk membimbing dan memberi sokongan.

Katanya, di Terengganu, agensi kerajaan dan swasta mewujudkan pelbagai aktiviti serta program semata-mata ingin membantu meringankan beban selain mengelak golongan itu berasa tersisih.


To' Puan Norliza menyampaikan pakaian Hari Raya kepada anak yatim sambil diperhatikan oleh Dato' Dr Tengku Mahmud. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Oleh itu, mereka perlu merebut peluang yang ada bagi mendalami ilmu seterusnya berjaya menempatkan diri ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya ketika berucap di Majlis Sumbangan Pakaian Raya di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini (21 Julai).

Kira-kira 625 anak yatim Tahun Tiga dan Enam bagi sekolah rendah Kuala Terengganu Utara dan Selantan menerima sumbangan itu berjumlah RM60,000.

Majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) diadakan bertujuan meringankan beban selain mengembirakan hati pelajar yang kematian ibu atau bapa.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata pihaknya mengakui masih terdapat segelintir anak yatim di negeri ini masih ketinggalan dalam pelajaran selain kurang berjaya menempatkan diri di universiti tempatan.

“Faktor itu berlaku mungkin disebabkan kurangnya sokongan moral, insan diharapkan iaitu ibu atau bapa berkahwin lain, dihimpit kemiskinan dan ganguan emosi.

“Bagi mengurangkan tekanan itu, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti, termasuk kelas tambahan, sukaneka, lawatan sambil belajar, bantuan pakaian sekolah, program anak angkat, motivasi dan kem jati diri,” katanya

Menurutnya, Perkaya mensasarkan 200 anak yatim di negeri ini memperoleh diploma dan ijazah dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa ini, pihaknya sedang memberi tumpuan kepada aktiviti yang mampu merangsang minda bagi memastikan matlamat itu tercapai.

"Antara pendekatan diambil adalah melalui lawatan sambil belajar ke beberapa universiti terkenal di seluruh negara,” katanya.

Katanya, langkah itu mampu memberi pendedahan kepada mereka untuk mengetahui cara hidup sebenar di kampus

“Selain pihaknya sentiasa memantau bagi mengenal pasti golongan itu berpotensi mencapai kecemerlangan dalam setiap mata pelajaran dan peperiksaan utama..

“Bagi mereka yang cemerlang, ia tidak menjadi masalah untuk melanjutkan ke mana-mana IPTA kerana Perkaya sentiasa membantu daripada pelbagai aspek sama ada kewangan dan moral.

"Kita tidak ada halangan untuk memasukkan anak-anak yatim ke IPTA asalkan mereka berminat dan memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

UKOM