Halaman

24 July 2009

Penyelidik 24 Negara Terokai Keindahan Marang

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Marang - 21 Julai 2009

Kunjungan 24 penyelidik luar negara ke Kampung Jenang, Marang mampu mengetengahkan lagi keunikan dan keistimewaan produk desa di Terengganu, sekaligus menaikkan industri pelancongan negeri.

Penyelidik dan pegawai alam sekitar dari Ghana, Namibia, Afghanistan, Kepulauan Ivory, Thailand, Somalia dan Nepal yang mengikuti kursus Pengurusan dan Perancangan Integrasi Alam Sekitar (IEPM) di Insititut Tadbir Awan Negara (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur mengadakan lawatan ke daerah itu, sejak semalam (21 Julai).

Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Encik Mohd Elias Nik, berkata kehadiran mereka seumpama duta kecil yang akan bertindak menyampai dan menyebarkan berita mengenai keindahan dan keunikan Terengganu kepada penduduk di negara masing-masing.


Pelancong disambut dengan seni silat Terengganu sebaik tiba di jeti bot Kampung Jenang, Marang.

"Kami amat mengalu-alukan kehadiran pelancong luar terutama ke daerah ini kerana ia mampu menjana pendapatan bukan sahaja kepada negeri, tetapi rakyat terutama peniaga kecil turut mendapat faedah.

“Apabila pulang ke negara masing-masing kelak, mereka akan menjadi duta kecil yang akan membantu mempromosi keistimewaan Marang kepada rakan dan keluarga masing-masing," katanya.

Encik Mohd Elias berkata, walaupun lawatan ke daerah itu hanya dua hari, ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh MDM bagi memastikan kunjungan itu membawa kesan positif dan diingati peserta terbabit.

“Kita dimaklumkan peserta dari kalangan penyelidik dan pegawai alam sekitar dari negara dunia ketiga dan selesai sahaja lawatan, mereka akan menyediakan kertas kerja bagi membentangkan laporan sepanjang kunjungan mereka ke sini.


Pelancong luar negara yang terdiri daripada penyelidik melihat sambil mencuba jahit atap nipah secara tradisional ketika mereka singgah di Kampung Jenang, Marang. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

"Malah, kita turut meminta mereka menghantar laporan berkenaan kepada MDM dan kerajaan negeri untuk meneliti jika ada cadangan bernas atau kelemahan kita yang perlu dikaji semula bagi tujuan penambahbaikan sama ada untuk sektor pelancongan atau isu konservasi," katanya.

Dalam lawatan itu, pelancong berkenaan yang diraikan dalam majlis di Marang Riverview Resort, dibawa menyusuri sungai dari jeti berhampiran untuk menerokai keindahan produk pesisir air sebelum tiba di Kampung Jenang, kira-kira sejam kemudian.

Mereka kemudiannya dijamukan dengan pelbagai makanan tradisional masyarakat kampung seperti ketupat, tapai pulut, rojak buah, air nira serta buahan-buahan tempatan.


Terpegun melihat manisan atau gula melaka yang dihasilkan secara kampung.

Sejurus kemudian, mereka dibawa meninjau persekitaran kampung bagi menyaksikan demonstrasi menghasilkan atap nipah, mengambil air nira dari pokok kelapa serta pemprosesan gula melaka.

Rombongan luar negara itu bukan sahaja teruja melihat setiap produk yang ada di kampung itu, malah mereka turut tidak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan dengan penduduk kampung terutama kanak-kanak yang ceria menyambut kehadiran mereka.

UKOM