Halaman

21 July 2009

MB minta JKKK Beri Khidmat Terbaik

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Kemaman - 17 Julai 2009

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diarah supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi memastikan mereka mengecapi semua bentuk bantuan dan program yang dirancang kerajaan.

Dalam hal ini, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengingatkan semua Pengerusi JKKK bahawa mereka telah diberi tempat oleh pucuk pimpinan bagi melaksanakan tugas sebaik mungkin manakala rakyat merupakan pelanggan.

Justeru itu, katanya, kerajaan mahu pelanggan mendapat khidmat terbaik daripada JKKK selaras dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”, agar tidak ada pihak yang tercicir daripada mendapat pembelaan kerajaan.

“Saya mahu semua Pengerusi JKKK menunaikan tugas mereka dengan berhemah bagi membangunkan kampung halaman masing-masing dan menjaga kepentingan penduduk yang diwakili,” katanya.


Dato' Ahmad bersama pengerusi JKKK pada majlis penyampaian watikah perlantikan Pengerusi JKKK daerah Kemaman bagi penggal 2009/2010 dan Bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Luar Bandar di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian watikah perlantikan Pengerusi JKKK daerah Kemaman bagi penggal 2009/2010 dan Bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Luar Bandar di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, Kemaman, 17 Julai lalu.

Pada majlis itu, 121 Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan bagi membolehkan mereka berkhidmat untuk masyarakat, membabitkan 29 JKKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, Kijal (26), Kemasik (28) dan Air Putih (28).

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menilai prestasi setiap JKKK berdasarkan sumbangan mereka kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan yang diberi kepada rakyat.


Sebahagian pengerusi JKKK yang hadir pada majlis penyampaian watikah perlantikan Pengerusi JKKK daerah Kemaman bagi penggal 2009/2010 dan Bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Luar Bandar di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman.

Langkah itu bertujuan memastikan JKKK memberi khidmat terbaik untuk rakyat, selaras dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” yang kini menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri mahu JKKK memahami pendekatan tersebut yang selari dengan hasrat 1 Malaysia yang mahu pentadbiran kerajaan mendekati rakyat, memahami masalah rakyat, menjiwai kehendak rakyat, menyelesaikan masalah dan memartabatkan rakyat.

“Pendekatan 5M ini akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk terus menyokong kerajaan yang ada untuk meneruskan khidmat cemerlang kepada mereka,” katanya.

UKOM