Halaman

05 June 2009

Pandu Puteri Pra Tunas Diwujudkan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Permaisuri Nur Zahirah bersalaman dengan pemimpin Persatuan Pandu Puteri Malaysia. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bertitah, anak-anak yang terlibat dengan aktiviti kepanduan dari usia muda, berada di platform yang melatih mereka tentang ketahanan mental dan fizikal serta lebih bersedia dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.

Pelbagai aktviti yang dijalankan termasuk mewujudkan aktiviti baru iaitu Pandu Puteri Pra Tunas untuk kanak-kanak pra sekolah. adalah untuk memastikan ahli-ahli kepanduan yang berada di sekolah bukan sahaja terlibat dengan aktiviti di peringkat daerah dan negeri malah hingga ke peringkat antarabangsa.

Permaisuri Nur Zahirah bertitah demikian di majlis perasmian Mesyuarat Agung 2008/2009, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu hari ini (4 Jun).

Turut berangkat, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Intan Zaharah dan Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah; Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Yang Amat Mulia,Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.


Sebahagian Pesuruhjaya dan perwakilan yang hadir pada mesyuarat agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kuala Terengganu.

Turut hadir, Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu, Yang Amat Mulia, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia, Datin Zalillah Mohd Taib; Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said serta Isteri To’ Puan Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan isteri.

Titah Baginda, sebagai sebuah badan sukarela usaha berterusan persatuan untuk menyemai dan memupuk perpaduan serta semangat kesukarelaan di kalangan semua ahli dengan melibatkan mereka dalam pelbagai projek serta persetiaan dan undang-undang kepanduan menjadi sumber rujukan utama untuk memastikan program persatuan dapat memenuhi visi dan misi yang telah ditetapkan.

“Beta merasa bangga menjadi penaung persatuan ini dan berharap ianya terus maju disamping berbakti kepada agama, bangsa dan Negara malah beta sukacita dan berpuas hati dengan kejayaan yang telah dicapai selama ini,” titah Permaisuri Nur Zahirah selaku Penaung DiRaja Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Baginda Bertitah dalam usia persatuan yang telah menjangkau usia 92 tahun, persatuan ini telah berjaya meningkatkan penyertaan ahli sebanyak 79,847 orang termasuk 5,138 ahli sukarelawan.

“Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli kerana telah memenuhi misi Persatuan Pandu Puteri dan Pengangkap Puteri Sedunia dan meletakkannya di persada yang dikenali ramai,” titah Permaisuri Nur Zahirah.

Permaisuri Nur Zahirah kemudiannya berkenan menyampaikan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada 59 penerima seluruh Negara termasuk Johor (7), Negeri Sembilan (6), Pahang (50, Pulau Pinang (8), sabah (6), Selangor (10), Terengganu (10) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7).

Bersempena dengan majlis ini juga seramai 43 orang menerima Anugerah Kepanduan 2009, seperti Pingat Bintang Kehormat (8), Pingat Layang-layang (1), Pingat Agok Bakti Lebah (12) dan Pingat Jasa (22) manakala 27 penerima Anugerah Asia Pacific.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.